‘Jenayah’ Dalam Pelayanan Dakwah Kita

Jenayah adalah satu yang dikeji. Sebagai penggerak dakwah, kita seharusnya menjauhi perbuatan jenayah dan mencegahnya. Namun kadang kala, ramai di antara kita, tanpa disedari telah melakukan ‘jenayah’ sepanjang menyediakan pelayanan dakwah.

 

Berikut adalah ‘jenayah’ dakwah yang perlu dijauhi.

 

Jenayah Produk & Pelayanan

 

·         Apabila produk atau pelayanan yang kita sediakan rosak atau tidak berfungsi setelah digunakan seperti kaset dakwah yang kita jual rosak sejurus sahaja setelah dibeli atau CD ROM yang kita hasilkan tidak dapat berfungsi.

·         Apabila produk atau pelayanan yang disediakan mengakibatkan keburukan dan kemudaratan pada yang lain seperti perkhemahan yang kita buat mengakibatkan kemalangan kerana kecuaian atau pensyarah yang kita undang lambat hadir kerana kelewatan kita mengambilnya sehingga mengganggu pengurusan masa peserta.

·         Harga bagi program yang kita iklankan tidak jujur kerana banyak kos lain yang tersembunyi.

·         Tidak menepati janji dalam memberi pelayanan.

 

Jenayah Dalam Sistem Penghantaran

 

·         Surat atau barangan dihantar ke Penama yang salah atau ke tempat yang salah atau tidak dikirimkan sama sekali.

·         Tempahan tidak dipenuhi atau maklumat lanjut tidak dikirimkan setelah menerima pesanan.

·         Mengirimkan kepada seseorang bukan barang sebenar yang ditempah olehnya.

Jenayah Dalam Pemikiran (Mindset)

 

·         Petugas dakwah didapati biadab, sombong, kasar dan bersikap tidak endah. Mereka mentertawakan ‘pelanggan’ yang tidak faham dan menghina mereka yang bermasalah. Mereka mengadu secara terbuka mengenai kerja, rakan sekerja dan pelanggan mereka.

Jenayah Dalam Perhubungan

 

·         Apabila organisasi seolah-olah memberi perhatian pada keuntungan jangka panjang tetapi hanya membuat tindakan-tindakan bagi keuntungan jangka pendek.

·         Apabila organisasi menipu, berhelah atau mencuri dari ‘pelanggan’ khidmat dakwahnya atau mendedahkan maklumat-maklumat sulit orang lain untuk maslahatnya sahaja.

 

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik dari apa mereka kerjakan.” (Al-Ankabut : 7)

 

Ayat ini memberitahu kita bahawa Allah taala sentiasa memberi balasan yang lebih baik dari apa yang dilakukan oleh hambanya. Oleh itu, hendaklah kita juga sentiasa menyediakan dan memberi yang lebih baik dari apa yang diberikan oleh ‘pelanggan’ dakwah kita.

 

Diubahsuai dari Up Your Service, Ron Kaufman.