Kemusykilan Agama – Hukum Melakukan Qiyamullail Berjemaah

Soalan

 

Apakah dasar bagi amalan qiyamullail berjemaah yang banyak dilakukan di masjid-masjid hari ini.

 

Jawaban

 

Solat Qiyamullail berjemaah hukumnya adalah harus dan dibolehkan. Ini berdasarkan kepada hadits yang berikut;

 

“Ibn Abbas berkata ‘Aku bermalam di rumah makcikku, Maimunah r.a, isteri Nabi s.a.w. Maka Nabi s.a.w bangun di waktu malam untuk berhajat lalu membasuh wajah dan kedua tangannya kemudian tidur. Beliau s.a.w kemudian bangun kembali menuju ke tempat air. Setelah membuka tutupnya, beliau s.a.w berwudhu’ dan tidak membazir air tetapi cukup sempurna. Maka bangunlah aku berpura-pura menggeliat, khuatir kalau disangka aku tidak tidur. Lalu aku berwudhu’ kemudian berdiri di sebelah kiri Nabi s.a.w. Tetapi beliau kemudian memegang telingaku dan memindahkanku kesebelah kanannya lalu sembahyang tiga belas rakaat. Kemudian Nabi s.a.w berbaring sehingga tidur dan mendengkur sebagaimana biasa, sehingga datang Bilal memberitahu akan waktu sembahyang, maka langsung nabi s.a.w sembahyang tanpa membaharui wudhu’.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Hadits ini jelas menunjukkan bahawa Ibn Abbas r.a mengikuti solat malam Rasulullah sebagai makmum tanpa diingkari oleh beliau s.a.w.

 

Maka dengan itu, hukumnya adalah harus. Ini bermaksud, jika dilakukan tidak ada apa-apa salahnya. Hukum harus juga bermaksud bahawa berjemaah dalam qiyamullail asalnya bukanlah satu amalan yang berstatus sunat. Iaitu sesuatu yang memang dianjurkan oleh agama dan diberi pahala jika melakukannya.

 

Walau pun solat qiyamullail berjemaah asalnya adalah harus, namun majlis qiyamullail yang sekali-sekali dianjurkan oleh masjid-masjid adalah satu program yang baik dan bermanfaat kerana ia menjinak-jinakkan orang lain untuk melazimi qiyamullail, menguatkan mereka yang telah pun melaziminya, membudayakan amalan qiyamullail, mengumpulkan masyarakat dalam kebaikan dan lain-lain lagi.

 

Walau bagaimana pun, seorang muslim tidaklah harus menanti majlis qiyamullail di masjid untuk melakukan amalan yang sangat dianjurkan olah Islam ini. Majlis qiyamullail di masjid hanyalah sebagai wadah untuk membina motivasi agar kita mempunyai kebiasaan dan kekuatan untuk melakukan sendiri di rumah di waktu-waktu yang lain.

 

Bagi mereka yang tidak gemar melakukan solat qiyamullail berjemaah, tidak perlulah menyanggahi apa yang dilakukan oleh masjid-masjid berkenaan kerana ia adalah amalan yang mempunyai dasar dari hadits yang sahih dan mempunyai maslahat bagi masyarakat umum.

 

Wallahu A`alam.