Kemusykilan Agama – Khasiat surah-surah Al-Quran

(Nota: Dipetik dari ruang Ask_Ustaz di rantauan.com)

Soalan

Assalamualaikum Ustadz.

Di sebuah buku Mujarrobat Besar oleh M. ALi Chasan Umar terbitan CV.Toha Putra Semarang, ada banyak panduan untuk itu dan ini. Misalan nya MS 18 nomor 3 Khasiat Surat Yusuf.

Untuk Memudahkan rezki dan pengasihan.

Surat Yuusuf. Khasiat surat Yusuf ini adalah jika ditulis dilebur air, lalu diminum. Sesudah itu lalu mohon mudahnya reski kepada Allah. InsyaAllah diberi kemudahan dalam soal rezki.

Khasiatnya lagi adalah: jika di tulis lalu dibungkus kain dan digembol, maka isterinya sangat mencintai, begitu pula orang lain pun mencintai dan mengasihinya. Adapun cara menulisnya harus dengan tinta misik za’faran. Cobalah!

Nomor 4 Khasiat Surat Ar-ra’du

Untuk memecat pangkat orang dhalim.

Surat ” Ar-Rad’du” . Khasiat surat Ar-Ra’du jika ditulis pada piring , waktu menulisnya dimalam hari yang gelap bulan dan waktu hujan yang terdapat guntur dan kilat, lalu dilebur dengar air hujan tadi. Maka apabila disiramkan dimuka pintu rumah seorang yang pangkat,jika orang itu menginjak atau melangkah air itu, insyaAllah pangkatnya segera dipecat atau dilepas pangkatnya oleh Allah.

Didalam buku yang sama juga ada banyak doa doa yang rasa nya biasa saja. Maksud saya doa yang disuruh kita membaca nya seperti doa untuk berjumpa dengan Rasullullah saw.

Apa pendapat Ustadz dengan amalan begini tulis tulis di kertas dan di pakai dipakaian…rasa nya seperti amalan orang dulu dulu yang suka bertangkal. Ada kah ini satu pekerjaan yg sesat? Tapi ayat ayat AlQuran digunakan. Ini sangatlah meragukan. Buku ini saya rasa masih lagi dipasaran.

Jazakallah khair.

—————————————-
Jawaban

Salam

Kesemua Al-Quran adalah penawar. Hal ini sememangnya dinyatakan dalam Al-Quran.

Adapun menetapkan fadilat atau kelebihan surah-surah atau ayat-ayat tertentu dalam Al-Quran, sebaik-baiknya ia dengan berpandukan hadits-hadits sahih.

Jika dinyatakan sesuatu surah itu mempunyai kelebihan tertentu kerana ada hadits yang menyatakan sedemikian, maka perlulah dipastikan hadits tu sahih, bukan hadits bohong kerana tidak boleh menetapkan pandangan agama berdasarkan hadits kecuali dipastikan hadits tu benar.

Menerima bahawa sesuatu surah atau ayat mempunyai kelebihan tertentu untuk diamalkan dari sumber-sumber yang tidak bersandarkan hadits i.e. pendapat manusia sahaja, dibenarkan jika:
a. dipastikan bahawa sumber itu boleh dipercayai kesolehannya
b. tidak diniatkan mengamalkannya sebagai sunat atau wajib dalam agama kerana menetapkan sesuatu sebagai sunat dan wajib tanpa sandaran Al-Quran dan hadits boleh membawa kepada bid`ah. Ia diamalkan semata-mata kerana ia anjuran orang yang soleh yang mungkin ada kebaikannya berdasarkan pengalamannya. Ia boleh jadi betul, boleh jadi tidak. Oleh itu, kalau nak, bolehlah cuba.

Ulama berbeza pendapat mengenai hukum menulis ayat-ayat Al-Quran atau doa-doa yang boleh difahami maknanya dan baik isinya di kertas kemudian memakainya untuk tujuan tertentu:
a. sebahagian melarangnya berdasarkan larangan memakai tangkal.
b. sebahagian membenarkannya jika digunakan untuk bayi atau mereka yang tidak mampu lagi untuk membaca ayat atau doa itu. Ini berdasarkan sebuah hadits dari ibn abbas yang pernah menulis ayat Al-Quran lalu dipakaikan kepada seorang bayi agar dipelihara dari gangguan jin dan syaitan.
c. sebahagian pula membenarkan kepada semua.

Pegangan saya ialah sebaiknya dielakkan amalan sedemikian kerana boleh membuka kepada mensosialisasikan amalan bertangkal. Alternatif saya ialah.
a. bagi yang memerlukan, amalkanlah membaca ayat atau doa berkenaan sebagai zikir dan doa harian.
b. bagi bayi atau kanak-kanak, orang dewasa yang mampu boleh membacakan untuk mereka sesering mungkin lalu disapukan ke tubuh badan mereka.
c. bagi orang dewasa yang tak mampu membaca, sesiapa yang mampu boleh membaca ayat atau doa tu ke air untuk diminum oleh yang memerlukan.

Saya ingin menasihatkan orang awam agar sebaiknya tidak membaca buku-buku mujarrabot Melayu sendirian, tanpa bimbingan agar tidak terkeliru antara apa yang sahih dan apa yang lemah, pendapat manusia dan ketentuan Al-Quran dan hadits. Alternatif yang baik ialah membaca buku At-Tib An-Nabawi i.e. perubatan nabi yang telah diterjemahkan atau buku Al-Azkar oleh Imam An-Nawawi (telah diterjemahkan juga) untuk beramal dengan doa, zikir atau ayat-ayat bagi tujuan tertentu.

Wallahu a`alam