Kemusykilan Agama – Masalah Buang Air Kecil Ketika Outdoor

Soalan

Tugasan saya kebiasaannya melepasi waktu zohor baru balik ke tempat kediaman. Dalam jangka waktu tersebut saya membuang air kecil dan tidak yakin pakaian bersih selepas itu. Bagaimanakah cara terbaik untuk mengatasi masalah ini? Bolehkah saya menunaikan solat dengan pakaian tersebut untuk menghormati waktu kerana tugasan saya menyukarkan untuk menukar pakaian dan mengkadarkan solat zohor apabila balik ke tempat kediaman? Atau cara lain yang lebih sesuai?

Pekerjaan saya ialah UN Military Observer di Gurun Sahara. Tugas membuat rondaan bermula dari pagi hingga ke petang pada hampir setiap hari menggunakan uniform tentera. Tiada tempat khusus membuang air kecil di gurun dengan tiupan angin lebih kurang 15-25 knot pada kebiasaannya. Pelbagai kaedah untuk menjaga kebersihan pakaian semasa membuang air kecil telah diusahakan dan sukar untuk menjaganya disebabkan tempiasan angin yang agak kuat. Kalau nak tukar pakaian, mungkin kena tukar semua. Pilihan lain adalah menahan diri dari membuang air kecil sehingga tiba waktu zohor. Mohon nasihat. Terima kasih atas perhatian Ustaz.

———————————–

Jawaban

Assalamualaikum

1. Satu cara ialah bertanya dengan orang alim tempatan. Apa pandangan mereka dan bagaimana mereka mengatasi masalah berkenaan. Masalah yang bersifat kontekstual seperti ini sebaiknya dapatkan pendapat tempatan.

2. Jika setiap hari patrol meliputi daerah jauh yang jauh dan kesulitannya seumpama orang bermusafir, maka boleh anda dikira bermusafir dan bolehlah lakukan jama’ solat zohor dan asar.

3. Dalam Islam, antara najis yang dimaafkan ialah darah yang sedikit. Ertinya, najis yang sedikit dimaafkan dan boleh dibawa bersolat. Jika anda pasti, yang terpercik itu sedikit sahaja dibanding dengan keseluruhan pakaian anda, maka ia boleh dianggap sebagai najis yg dimaafkan.

4. Jika najis berkenaan tidak bersepah merata di pakaian anda i.e. ia tertompok di kawasan tertentu, simbahkanlah air sedikit ke tempat berkenaan.

5. Gunakanlah apa jua kaedah bagi meminimakan masalah i.e. jadualkan masa buang air kecil sebelum patrol, berselindung mengikut angin, pakai botol atau beg plastik untuk tadah kencing ke dll yang munasabah.

6. Jika anda bercuti dan berkesempatan untuk pergi ke kedai jualan barang-barang camping dan adventure, cuba tanya mengenai perkakas yg membolehkan adventurer di North/South pole atau Everest untuk buang air kecil tanpa buka banyak pakaian. Saya yakin, pasti ada teknologi yang berkenaan yang boleh dibeli dan digunakan.

Selamat bertugas.