Kemusykilan Agama – Melukis inai corak bunga dan pohon ala Indo-Pakistan haram?

(Nota: Dipetik dari ruang Ask_Ustaz di rantauan.com)

Assalamu’alaikum wrt wb.

Ustaz, saya nak tanya pendapat mengenai pandangan di bawah?

“Sekarang ini ramai orang perempuan (pengantin) memakai inai dengan mengukir ala tatu di tangan.

Mari kita sama-sama merenung hadis Nabi ini:

1. Dari Ibnu Umar ra katanya: Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan. Dan (Rasulullah s.a.w) mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu..(Hadis bil. 2003 : Sahih Muslim).

2. Dari Abu Hurairah r.a Nabi s.a.w bersabda : Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain, wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)..(Hadis bil. 1685 : Sahih
Bukhari)

Jelas Dato Abu Hasan Din Al-Hafiz : inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah.. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu dalam kategori tatu, kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul hujung jari…

Marilah kita membuat pengislahan dalam diri kita agar kita tidak tergolong dalam hamba-hamba Allah yang melanggar syariatNya..

Wallahuaalam

* Dato Abu Hasan Din Al-Hafiz bekas Pegawai Agama Islam
di Istana Negara, Kuala Lumpur”

—————————————-
Jawaban

Salam

Pertama pendapat saya yang berikut bukanlah bertujuan untuk mengkritik Dato Abu Hasan Din Al-Hafiz, seorang tokoh agama yang dihormati, kerana saya tidak dapat memastikan samada ia sememangnya pendapat beliau. Fokus saya ialah isu yang dipertanyakan.

Kedua, kalau pun benar ia adalah pendapat beliau, apa pun perbezaan pendapat saya, bukanlah kerana tidak menghormati akan ketokohan beliau, tetapi ia adalah kerana perbezaan pendapat dalam isu sebegini adalah sesuatu yang lumrah dan tidak terelakkan.

Secara jujur, saya kurang bersetuju dengan pandangan yang berbahagia dato’ ustaz.

Pada pandangan saya untuk menghasilkan hukum yang tepat kita tidak seharusnya hanya melihat pada aspek teks sahaja tapi kita juga perlu memahami dari segi budaya, antropologi dll i.e apa dia yang dimaksudkan dengan bertatu di zaman nabi itu kerana sesuatu hukum itu tidak diberikan dalam vakum tetapi berdasarkan konteksnya.

Memahami budaya bagi menghasilkan hukum sesuatu perkara yang baru dan asing dalam ilmu fiqh. Ia termasuk dalam bab memahami illah (sebab) sesuatu hukum, jika ada illah, adalah hukum tu. Jika tidak ada, tidak adalah hukum tu.

Apa dia budaya dan falsafah bertatu di zaman itu?? Adakah ia hanya haram kerana aspek lukisannya, atau kerana ia tidak mensahkan wudu’ atau kerana ada pemikiran khurafat disebaliknya atau kerana ia menggunakan jarum yang menusuk kulit.

Saya tidak buat kajian mendalam, tetapi sekali imbas saya perhatikan ada banyak perbezaan dari segi falsafah dan teknik antara bertatu sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat asli i.e. badwi Arab di zaman nabi, dayak di Amerika Selatan, iban dll dengan budaya berinai yang berukiran bunga-bunga yang kita lihat di kalangan masyarakat Indo-Pakistan ygan popular di hari ni di kalangan orang melayu.

Dalam hal ini, mengqiyaskan hukum dalam hadis tu kepada amalan berinai yang berukir awan larat oleh kaum perempuan pada pandangan saya adalah, dalam istilah hukum, qiyas ma`al fariq. Erti mudahnya ia bukan apple to apple analogy.

Namun, ada juga kecenderungan hari ini yang mahu menggunakan inai sebagai alternatif bagi tatu konvensional. Iaitu melukis imej-imej tertentu tetapi dengan menggunakan inai atau bahan-bahan yang tidak kekal semata-mata kerana terpengaruh dengan budaya tatu konvensional. Sifat ketidakkekalan tatu tu, dijadikan helah untuk bertatu, tapi rupanya hampir sama dengan yang kekal.

Yang seperti ni memang wajarlah dilarang, tetapi larangannya ialah kerana niat melakukannya tidak betul, iaitu terpengaruh dengan satu budaya yang mempunyai unsur-unsur negatif, berbangga dengan sesuatu yang terdapat larangan oleh agama, apatah lagi kalau imej-imej itu, adalah imej yang memang islam tidak suka.

Namun untuk extend aplikasi hadis tu kepada semua bentuk lukisan berinai ala Indo-Pakistan yang biasa kita nampak di tangan pengantin-pengantin perempuan, lalu kita katakan mereka semua tu kena laknat Allah, saya tidak bersetuju.

Hukum bentuk inai yang sedemikian tidak jatuh dalam hadis berkenaan, tapi jatuh dalam hukum bersolek dan berhias bagi orang perempuan.

Lihat juga pandangan ulama lain yang membenarkan berinai secara umum di sini http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?pagename=IslamOnline-English-Ask_Scholar/FatwaE/FatwaE&cid=1119503547254 

Wallahu A`alam