Konsep Ajal Dalam Al-Quran Dan Menjadi Muslim Yang Cemerlang

 

Oleh Muhammad Haniff Hassan

 

Ajal pada fahaman orang awam dan kegunaan bahasa Melayu hanya dikaitkan dengan kematian iaitu masa apabila tempoh hayat seorang itu berakhir.

 

Sebenarnya, konsep ajal dalam Al-Quran mempunyai makna yang luas dan tidak terhad pada tempoh berakhirnya hayat.

 

Ajal dalam bahasa Arab sebenarnya bermakna tempoh dan batas sesuatu perkara. Pengertian bahasa ini kekal wujud dalam Al-Quran. Ertinya ajal dalam Al-Quran tidak hanya merujuk pada berakhirnya hayat atau kematian, walaupun tidak syak ia adalah salah satu pengertian yang ada (Al-Munafiqun: 11).

 

Konsep dan pengertian ajal yang luas boleh dilihat dalam ayat-ayat:

·           Tempoh masa pembayaran hutang, lihat Al-Baqarah: 282

·           Tempoh masa kelahiran/kematian janin dalam kandungan, lihat Al-Haj: 5

·           Tempoh masa penangguhan sesuatu perkara, lihat Al-Nisa’: 77

·           Tempoh masa sesuatu umat atau tamadun, lihat Al-A`araf: 34, Yunus: 49. Dalam konteks tempoh masa bagi satu tamadun, ia tidak semestinya bermakna kepupusan sesuatu kaum berkenaan tetapi hanya hilangnya tamadun secara mutlak atau wujud tetapi tidak lagi relevan.

·           Tempoh masa umur bagi alam atau makhluk lain, lihat Al-Ra`ad: 2, Fatir: 13

·           Tempoh masa bagi berakhirnya nikmat, lihat Al-Haj: 33

 

Intipatinya ajal merujuk kepada konsep tempoh luput (expiry/due date). Iaitu setiap perkara dan fenomena, Allah tetapkan baginya tarikh luput kecuali diriNya sendiri dengan tujuan untuk membezakan makhluk dari Tuhan dan menunjukkan kelemahan makhluk dan keagungan Sang Pencipta. Ajal bukan satu konsep yang berlaku hanya pada nyawa sahaja.

 

Jika ajal difahami dengan erti yang luas, ia bakal mempunyai potensi besar untuk membentuk hidup seorang Muslim yang cemerlang dalam pelbagai dimensi kehidupannya, bukan hanya dalam soal kematian. Di bawah ini diberikan beberapa sudut kefahaman ajal yang luas dan kesannya kepada kecemerlangan Muslim.

 

Konsep ajal yang luas mampu mendidik Muslim untuk sedar akan kepentingan menjaga waktu dalam menunaikan kewajiban dan tanggungjawab serta kepentingan untuk memanfaat waktu atau peluang sebelum tiba ajal (masa luput)nya. Kesedaran yang sebegini berpotensi untuk mengikis sikap suka bertangguh-tangguh dalam menunaikan sesuatu perkara dan kewajiban yang sering kali menatijah pengabaian sesuatu perkara dan pembaziran masa serta pembentukan imej individu yang tidak cekap. Ertinya sebagaimana kita perlu bersegera dan berbanyak melakukan amal sebelum tiba ajal kematian, hendaklah juga kita jangan bertangguh dan bersegera melakukan apa jua kewajiban dan tugas yang ada. Di bidang pekerjaan, sudah menjadi pengetahuan umum, bahawa sikap suka bertangguh tidak disukai oleh majikan dan pekerja yang tidak bertangguh dan mampu menunaikan tugas sebelum tarikh luput sentiasa dilihat sebagai lebih cekap.

 

Konsep ajal yang luas juga mengajar kita bahawa apa jua nikmat yang kita perolehi pasti ada masa luputnya. Oleh itu, Muslim hendaklah sentiasa bersedia menghadapi kehilangan nikmat dari segala segi i.e. psikologi, kebendaan dan lain-lain. Menyedari ini, Muslim seharusnya berusaha pula untuk mencari apakah alternatif bagi nikmat yang bakal hilang i.e. pekerjaan, kesihatan, rumah, agar dengan itu kesan negatifnya dapat dielakkan atau paling kurang diminimakan. Oleh itu, pada ketika nikmat berkenaan masih ada, hendaklah jangan lupa diri tetapi dimanfaatkan untuk persediaan bagi hari hujan dan melakukan usaha-usaha penanggulangan risiko (risk mitigation). Contoh di sini ialah untuk memanfaatkan masa berpekerjaan dengan membuat simpanan yang memadai bagi menampung hidup jika hilang pekerjaan.

 

Demikian juga dengan kesulitan. Ajal mengajar Muslim bahawa setiap kesulitan juga ada tempoh luputnya. Ini berpotensi untuk membina sifat optimisme. Natijahnya, Muslim yang berhapadan dengan kesulitan tapi optimis akan lebih berasa ringan bebannya dan lebih terdorong untuk berusaha mengatasi masalah dan kesulitana yang dihadapi kerana ia tahu, kesulitan itu pasti dapat di atasi dengan usaha gigih dan tidaklah pula dia terperangkap dalam keluhan berpanjangan sahaja.

 

Ajal juga mengajar Muslim untuk sentiasa berusaha untuk kekal relevan dengan mencipta semula (reinvent) diri kerana menyedari kemahiran, pengetahuan dan teknologi yang dikuasai juga ada masa luputnya. Dia akan mengambil iktibar dari pelbagai perkara yang telah melalui masa luputnya seperti kaset yang digantikan oleh cakera padat dan filem gambar Kodak yang digantikan oleh penyimpan digital.

 

Dalam kepimpinan pula, ajal mengajar seorang pemimpin sejak dari hari pertama menjawat tugas kepimpinan akan tarikh luput jawatan berkenaan bagi dirinya. Ini dengan sendirinya menyedarkan dirinya agar tidak merasa jawatan berkenaan seperti milik peribadi yang hendak dipegangnya sehingga tiba ajal (kematian) i.e. kepimpinan seumur hidup. Oleh itu, perlulah dipersiapkan barisan kepimpinan seterusnya dengan segera. Kesedaran ini juga berpotensi untuk mengajar seorang pemimpin agar menetapkan sendiri tarikh luput kepimpinannya untuk diserahkan kepada pengganti yang lain dan tidak menanti masa dan keadaan untuk menetapkannya sehingga harus mengalami tarikh luput kepimpinan dengan cara yang memalukan seperti yang berlaku ke atas banyak para pemimpin kuku besi disebabkan revolusi rakyat.

 

Namun, merelevankan erti ajal pada kehidupan harian jangan sampai melupakan kita juga pada ajal  dalam erti kematian. Hanya sanya, iktibar yang boleh kita ambil dari erti ajal yang luas mengajar bahawa persiapan Muslim terhadap ajal kematian tidak seharusunya bersikap pasif i.e. menyerah pada keadaan dan menanti sahaja ketibaanya. Sebaliknya, Muslim boleh bersikap pro-aktif dengan mempersiapkan mereka yang ditinggalkan dengan bekalan kehidupan yang diperlukan agar kematiannya tidak menyebabkan yang dtinggalkan hidup melarat dan menderita. Ini boleh dilakukan dengan pendidikan kerohanian yang betul pada ahli keluarga yang disayangi dan pengurusan aset kebendaan yang baik sebagai warisan, tanpa melalaikan pula persiapan bekalan bagi kehidupan setelah kematian dalam bentuk amal ibadah yang banyak.

 

Ajal adalah satu konsep yang kuat berakar dan banyak disentuk dalam Al-Quran. Ini menunjukkan kepentingan pesanan yang terkandung dalamnya i.e. hakikat makhluk yang lemah dibanding Tuhan yang maha Agung. Namun, sejauh mana konsep ini relevan dalam mencorak peribadi Muslim yang cemerlang bergantung pada bagaimana kita memahaminya.

 

Kembali kepada kefahaman ajal yang luas dan merenung implikasinya secara mendalam pada kehidupan berpotensi untuk melahirkan nilai-nilai penting kecemerlangan hidup.

 

Didiklah anak-anak kita dengan konsep ajal seperti yang diajarkan dalam Al-Quran agar mereka faham setiap sesuatu ada batas, tidak bertangguh dan membuang masa, urus nikmat dengan baik untuk hari hujan dan optimis apabila hadapi kesulitan, kerana kesulitan pun ada ajalnya.