Konsep Orang Awam Dan Bukan Pejuang Dalam Hukum Jihad (Bah. 1)

Pelbagai insiden pengganasan oleh kelompok pinggiran di kalangan umat Islam yang mengorbankan mereka yang tidak bersalah atas nama Islam dan jihad telah menimbulkan perdebatan mengenai kedudukan orang awam (civilian) dan bukan pejuang (non-combatant) dalam peraturan jihad dalam Islam dan penerapannya di masa kini.

 

Berlatarbelakangkan demikian, artikel ini ditulis dengan tujuan untuk memberi penjelasan mengenai konsep orang awam dan bukan pejuang dengan berpandukan Al-Quran dan hadits dan membandingkannya dengan undang-undang antarabangsa berkaitan perang dan konflik bersenjata. Dalam proses menghuraikan konsep ini, artikel ini akan menunjukkan perbezaan yang wujud antara fiqh jihad dan undang-undang antarabangsa dan akibat dari perbezaan ini serta apakh yang perlu dilakukan dalam soal penerapan hukum jihad di masa kini.

 

Orang Awam dan Bukan Pejuang Dalam Islam

 

Orang awam dan bukan pejuang adalah dua istilah yang tidak terdapat secara tersurat dalam Al-Quran dan hadits, dua sumber utama hukum Islam, dan tidak pula digunakan secara berleluasa oleh para ulama dahulu dalam karya-karya mereka kerana kedua-dua istilah berkenaan sebenanya adalah kosakata moden.

 

Namun, Al-Quran, hadits dan dan karya-karya para ulama dahulu ada memberi petunjuk mengenai konsep orang awam dan bukan pejuang ketika menyentuh mengenai golongan yang tidak boleh dibunuh dalam peperangan.

 

Meninjau segala dalil-dalil dalam Al-Quran dan hadits, maka dapat dirumuskan senarai mereka yang dilarang pembunuhannya ketika perang sebagai berikut, 1) Wanita, 2) Kanak-kanak, 3) `Asif (buruh upahan yang berada di medan perang untuk menjaga ternakan, kelengkapan, makanan dan lain-lain tetapi tidak terlibat dalam pertempuran bersenjata), 4) Orang tua, 5) Penghuni biara, 6) Peniaga, dan 7) Tahanan perang.

 

Senarai di atas pula dapat dibahagikan kepada dua kategori, 1) golongan yang para ulama bersepakat mengenai larangan pembunuhan mereka, dan 2) golongan yang ulama berselisih pendapat mengenainya.

 

Sebahagian dari mereka yang disenaraikan di atas termasuk dalam golongan yang diperselisihkan mengenai larangan pembunuhan mereka seperti orang tua, penghuni biara dan buruh upahan. Begitu juga golongan yang tidak dinyatakan secara tersurat oleh dalil-dali syara’ seperti orang buta dan kurang upaya dan semua mereka yang lain yang tidak melibatkan diri atau menyumbang dalam peperangan.

 

Apa yang menyebabkan timbulnya perbezaan pendapat di kalangan ulama ialah, pertama,

penerimaan mereka terhadap sesetengah hadits. Sebagai contoh, sebahagian ulama berpendapat bahawa hadits yang melarang pembunuhan penghuni biara adalah lemah. Oleh itu, mereka tidak mahu berpegang dengannya.

 

Kedua, tafsiran mereka terhadap dalil-dalil tertentu. Sebagai contoh, Ibn Hazm berpendapat bahawa hadits dari Jabir bin Abdullah yang mana dia berkata, “Mereka [Muslim di zaman nabi s.a.w] tidak membunuh para pedagang Arab musyrik.” (Riwayat Ibn Syaibah), tidak semestinya bermakna tidak boleh membunuh. Di sisi Ibn Hazm, pernyataan itu hanya menunjukkan satu anjuran untuk tidak membunuh, bukan larangan membunuh. Demikian juga dalam masalah tawanan perang. Hukum tidak membunuh mereka hanya pilihan yang lebih disukai, bukan larangan sama sekali kerana nabi s.a.w pernah dilaporkan membunuh beberapa tawanan perang.

 

Ketiga, perbezaan mereka mengenai illah (sebab hukum) disebalik larangan pembunuhan. Segolongan kecil dari ulama berpendapat bahawa tiada illah disebalik larangan berkenaan. Atas dasar itu, tidak boleh dilakukan qiyas kepada kelompok lain yang tidak disebutkan secara tersurat dalam dalil-dalil syara’ seperti mereka yang buta atau kurang upaya. Mereka berpendapat bahawa, pada dasarnya, harus membunuh sesiapa sahaja rakyat Dar Al-Harb (negara bukan Islam yang memerangi negara Islam) kecuali dinyatakan sebaliknya oleh Al-Quran atau hadits. Walau bagaimana pun, majoriti ulama berpendapat bahawa illah larangan ialah sifat mereka sebagai bukan pejuang — tidak terlibat dalam perlawanan bersenjata. Pendapat mereka ini didasarkan pada sebuah hadits yang mana Rasulullah s.a.w dilaporan bersabda, apabila melihat mayat seorang wanita terbunuh dalam satu pertempuran, “Dia tidak turut bertempur [bagaimana boleh dia dibunuh?]”. Pernyataan itu menunjukan bahawa Rasulullah s.a.w tidak merestui pembunuhan wanita itu kerana dia tidak terlibat dalam perlawanan bersenjata.

 

Sungguh pun demikian, para ulama bersepakat bahawa apa jua perbuatan yang boleh ditafsirkan sebagai menyumbang kepada peperangan boleh menyebabkan seseorang itu hilang status sebagai orang awam. Oleh itu, membunuh mereka dalam peperangan diharuskan. Namun, mereka berselisih pendapat pula mengenai apakah yang boleh dikatakan sebagai sumbangan dalam perang. Hal ini adalah disebabkan perbezaan tafsiran terhadap hadits yang melarang pembunuhan `asif (buruh upahan) dan hadits yang mengharuskan pembunuhan wanita dan orang tua kerana sumbangan mereka dalam peperangan.

 

Dalam kes `asif yang tugasnya tidak melibatkan pertempuran bersenjata, Rasulullah s.a.w tetap melarang pembunuhannya walau pun dia berada di medan pertempuran dan membantu urusan logistic pasukan bersenjata. Rasulullah s.a.w bersabda, “Katakan pada Khalid untuk tidak membunuh wanita dan `asif (buruh upahan).” (Riwayat Abu Daud)

 

Kes orang tua yang dibunuh dapat dilihat dalam kes seorang tua bernama Duraid. Rasulullah s.a.w membenarkan pembunuhannya kerana sumbangannya dalam bentuk idea dalam perang Hunain. Kes wanita yang dibunuh pula boleh ditemui dalam hadits yang melaporkan Rasulullah s.a.w memerintahkan pembunuhan waanita di medan perang kerana sumbanganya dalam bentuk sorakan, galakan berperang dan mengejek pasukan tentera Muslim, bukan pertempuran bersenjata.

 

Orang Awam dan Bukan Pejuang dalam Undang-undang Antarabangsa

 

Di bawah undang-undang antarabangsa, orang awam dan bukan pejuang boleh ditakrifkan sebagai mereka yang tidak menganggotai pasukan bersenjata termasuk militia yang bergabung dibawahnya, tidak terlibat dalam perlawanan bersenjata ketika berlaku peperangan dan tidak mempunyai hak yang sah untuk melakukan sedemikian di bawah undang-undang antarabangsa yang berkaitan dengan perang dan konflik bersenjata. Antara orang awam yang mendapat perhatian istimewa di bawah undang-undang antarabangsa ialah wanita, kanak-kanak dan anggota pasukan pertahanan awam. Setiap mereka mempunyai hak perlindungan dari segala bentuk serangan ketenteraan atau apa jua kemudaratan perang yang sesuai dengan konteks masing-masing.

 

Istilah bukan pejuang mempunyai pengertian yang berbeza sedikit dengan istilah orang awam di bawah undang-undang antarabangsa. Bukan pejuang boleh merujuk kepada anggota pasukan bersenjata yang tidak terlibat dalam pertempuran bersenjata seperti anggota pasukan perubatan tentera dan pemimpin agama dalam pasukan bersenjata (chaplain), atau anggota pasukan bersenjata yang sudah lagi tidak berupaya untuk melakukan perlawanan bersenjata (hors de combat)  seperti tawanan perang, mereka yang tercedera atau sakit dan mangsa kapal yang karam. Mereka ini tidak boleh dijadikan sasaran serangan di bawah undang-undang antarabangsa

 

Maka, boleh disimpulkan bahawa semua orang awam adalah bukan pejuang tetapi bukan semua bukan pejuang adalah orang awam kerana orang awam digunakan hanya kepada mereka yang bukan anggota pasukan bersenjata.

 

Walau pun, setiap kategori orang awam dan bukan pejuang mempunyai hak perlindungan yang khusus dengan keadaan masing-masing, secara umum, mereka tetap berkongsi hak yanag sama iaitu mereka mesti dilindungi dari keganasan ke atas nyawa, penderaan ke atas tubuh, dijadikan tebusan, pencabulan kehormatan, layanan buruk dan hukuman di luar proses pengadilan. Mereka juga hendaklahh dilindungi dari segala bentuk operasi ketenteraan, serangan membabibuta, tindakan membalas dendam dan tidak boleh pula dijadikan sasaran serangan atau perisai dari serangan ketenteraan.

 

Penting juga diketahui bahawa undang-undang antarabangsa juga memperuntukkan bahawa semua orang awam akan hilang hak mendapat perlindungan, jika mereka ikut serta dalam pertempuran bersenjata. Namun, jika wujud keraguan mengenai status  seseorang, undang-undang  antrabangsa menetapkan bahawa dia hendaklah dianggap sebagai orang awam.

 

Kesimpulan

 

Sumber-sumber utama perundangan Islam and tafsiran para ulama dahulu terhadap dalil-dali syara’ tidak dapat memberi satu kefahaman konkrit yang muktamad mengenai konsep orang awam dan bukan pejuang di masa kini. Kesemuanya itu hanya meletakkan prinsip penting bahawa Muslim tidak mempunyai kuasa tidak terbatas untuk membunuh dan Islam menganjurkan prinsip diskriminasi dalam membunuh. Hakikat ini menyediakan dasar bagi membataskan sasaran dalam apa jua peperangan.dan konflik bersenjata.

 

Tidak syak bahawa dalam Islam terdapat aturan yang memastikan kesejahteraan dan perlindungan bagi orang awam dan bukan pejuang ketika perang. Walau bagaimana pun, jenis-jenis manusia dilindungi yang disebutkan dalam dalil-dali syara’ dan  disenaraikan oleh para ulama tidak meliputi seluruh kategori orang awam dan bukan pejuang yang difahami dalam konteks hari ini. Ini boleh menyebabkan jurang antara fiqh jihad dan undang-undang antarabangsa yang akan menimbulkan kesan tertentu dari segi teori dan amali.