Konsep Ringkas Perubatan Rohani Dalam Islam

Perubatan rohani yang dimaksudkan di sini ialah perubatan penyakit dengan kaedah kerohanian atau perubatan penyakit rohani samada menggunakan kaedah perubatan rohani atau jasmani.

Perubatan rohani yang dinyatakan di atas wujud dan boleh ditemui dalam banyak dalil. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Berkata Abu Hurairah ‘Rasulullah s.a.w melihatku sedang aku baring menahan sakit diperutku’. Beliau berkata ‘Adakah kamu ditimpa sakit perut?’ Aku berkata ‘Ya ! wahai Rasulullah’ Ia berkata ‘Bangunlah dan lakukan solat. Sesungguhnya solat itu adalah penawar” (Riwayat Ibn Majah)

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Bangunlah wahai Bilal! Rehatkanlah kami dengan solat” (Riwayat Abi Daud)

Al-Imam As-Suyuti dalam buku At-Tib An-Nabawi memberi komen mengenai hadits di atas bahawa di sana terdapat aspek psikologi dalam hal ini, iaitu seseorang yang sakit akan lupa akan sakitnya apabila ia mengerjakan solat dengan itu segala keperitan sakitnya akan hilang sehingga akhirnya tenaganya akan mengatasi sakit itu dan menghilang seluruh penyakit itu. (As-Suyuti, Jalal Ad-Din cAbdul Rahman, Medicine of Prophet (terj.), Taha Publishers, London, 1994, ms 172.)

Hadits menunjukkan bagaimana Rasulullah mengubati kepenatan dirinya dan mencari hiburan melalui kaedah kerohanian iaitu solat. Hadits ini juga mengajar kita bahawa solat juga boleh berfungsi sebagai penawar.

Daripada Ali r.a beliau meriwayatkan:

“Seekor kalajengking telah menyengat Rasulullah s.a.w sedang ia bersolat. Apabila ia selesai ia berkata ‘Semoga Allah melaknat kalajengking tadi yang menyengat tanpa kira orang bersolat atau selainnya. Ia kemudian meminta air dan garam kemudian ia menggosokkannya ke atas tempat yang disengat dan ia membaca surah Al-Kafirun, Al-Falaq dan An-Nas”

Hadits ini menunjukkan bagaimana Rasulullah s.a.w menggunakan kaedah perubatan jasmani dengan mengguna air dan garam dan menggunakan kaedah rohani dengan membaca ayat Al-Quran untuk menyembuhkan sakit.

Rasulullah s.a.w juga menganjurkan penggunaan kedua-dua kaedah perubatan melalui sabdanya yang bermaksud:

“Hendaklah kamu menggunakan dua penawar; madu dan al Quran” (Riwayat Ibn Majah)

Dari Abu Sacid Al-Khudri r.a menceritakan:

“Rasulullah s.a.w masuk ke masjid pada satu hari. Beliau mendapati seorang lelaki dari Ansar yang dikenali sebagai Abu Umamah. Beliau berkata “Wahai Abu Umamah! Kenapa aku dapati engkau duduk di masjid pada bukan waktu solat. Abu Umamah berkata ‘Kesedihan yang mendampingiku dan hutang-hutang wahai Rasulullah!’ Rasulullah s.a.w ‘Mahukah engkau aku ajarkan beberapa kalimat jika engkau membacanya, Allah akan menghilangkan dari engkau kesedihan kau dan hutang-hutang engkau. Ia berkata ‘ Ya! Wahai Rasulullah’ Rasulullah s.a.w bersabda katakanlah apabila engkau di waktu pagi dan petang ‘Ya Allah! Aku berlindung denganMu dari kesedihan dan kedukaan dan aku berlindung denganMu dari kemah dan malas dan aku berlindung denganMu dari takut dan bakhil dan aku berlindung denganMu dari dikuasai oleh hutang dan kekejaman lelaki-lelaki’ Abu Umamah berkata ‘Aku membacanya maka Allah menghilangkan dari ku kesedihanku dan membayar hutangku.”

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Jika seseorang merasa takut ketika tidur maka hendaklah ia membaca ‘Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna dari kemarahanNya daan seksaNya dan kejahatan hamba-hambanya dan dari bisikan-bisikan syaitan dan dari (syaitan -syaitan) yang mendatangiku” (Riwayat At-Turmuzi)

Hadits ini menunjukkan bagaimana amalan kerohanian dapat mengatasi masalah kejiwaan seseorang.

Aisyah r.a meriwayatkan yang bermaksud:

“Bahawa Rasulullah s.a.w meniup (menjampi) ke atas dirinya pada sakit yang ia wafat kerananya dengan Al-Mucawwizat (surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas). Apabila ia semakin tenat, aku pula meniup (menjampi) dengan Al-Mucawwizat ke atasnya dan aku sapu dengan tangannya mengharapkan keberkatannya” (Riwayat Al-Bukhari)

Kesimpulan dari segala hadits-hadits di atas ialah kaedah perubatan rohani mempunyai asas di dalam Islam bahkan di amalkan sendiri oleh Rasulullah s.a.w. Walaupun demikian ia bukan bermakna, umat Islam hanya cukup membataskan pada penggunaan perubatan rohani sahaja kerana Rasulullah s.a.w sendiri menggabungkan penggunaan perubatan rohani dan jasmani. Perubatan rohani boleh berlaku dengan melaksanakan amalan rohani seperti solat, doa, jampi dengan ayat-ayat al Quran dan lain-lain. Perubatan rohani bukan hanya untuk merawat penyakit rohani sahaja bahkan juga boleh mengubati penyakit jasmani.

Apa yang yang dinyatakan di dalam hadits-hadits di atas juga membenarkan apa yang telah difirmankan oleh Allah taala yang bermaksud:

“Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu, apa yang menjadi obat dan rahmat”

Al-Qurtubi mengatakan bahawa terdapat dua pendapat dalam mentafsirkan Al-Quran sebagai penawar. Pertama iailah ia menjadi penawar bagi hati-hati dengan menghilangkan kejahilan darinya dan keraguan dan utuk menyingkap tabir dari hati dari penyakit kejahilan untuk memahami mukjizat-mukizat dan perkara-perkara yang menuju kepada Allah taala. Yang kedua pula ialah ia menjadi penawar bagi penyakit-penyakit yang zahir melalui kaedah jampi dan sebagainya. (Al-Qurtubi, Al-Jamic Li Ahkam Al-Quran, Dar As-Syuab, Kahirah, jld 10, ms 139.)

“Katakan Al-Quran itu adalah tuntutan dan obat penawar”

Al-Quran berperanan sebagai penawar melalui pelbagai cara iaitu ia menjadi penawar kepada hati-hati dan akal-akal dari penyakit-penyakit kufur, syirik, kepercayaan yang batil, khurafat, keraguan dan yang kedua ia menjadi penawar bagi jiwa-jiwa dari penyelewengan dan kerosakan akhlaq dengan beriltizam dengan pengajaran-pengajarannya dan obat kerohanian bagi penyakit-penyakit jasmani. (Al-Qurtubi, Al-Jamic Li Ahkam Al-Quran, ms 139).