Melihat Kembali Konsep Dar Al-Islam (negara Islam) dan Dar Al-Harb (negara perang)

Satu lagi idea yang dipegang oleh kelompok penjihad yang melakukan pelbagai tindakan pengganasan atas nama jihad seiring dengan idea perang berpanjangan antara Muslim dan bukan Muslim yang dijelaskan dalam artikel yang lalu ialah kefahaman mengenai konsep Dar Al-Islam dan Dar Al-Harb.

 

Di sisi kelompok penjihad, Dar Al-Islam ialah bumi yang diperintah oleh seorang Muslim dan syariah dijadikan sebagai undang-undang dan sistem negara. Sebaliknya, Dar Al-Harb adalah bumi yang tidak diperintah oleh seorang Muslim atau apabila sistem kenegaraan dan undang-undang yang berkuatkuasa bukan berteraskan syariah. Namun perlu dipertegaskan, walaupun kelompok penjihad berpegang dengan kefahaman seperti ini tapi bukan semua yang berfahaman ini boleh dikategorikan sebagai penjihad.

 

Sememangnya, konsep Dar Al-Islam dan Dar Al-Harb mempunyai akar dalam penulisan para ulama dahulu, yang sering kali menjadi rujukan kelompok penjihad. Walau bagaimanapun, di sisi kelompok penjihad penggunaan istilah Dar Al-Harb bagi negara bukan Muslim oleh para ulama dahulu memberi kefahaman bahawa semua negara berkenaan pada dasarnya berada dalam keadaan berperang dengan Dar Al-Islam.

 

Penerapan sedemikian oleh kelompok penjihad masa kini tanpa mengambil kira konteks pada ketika kedua konsep itu diwujudkan oleh para ulama dahulu menguatkan lagi pola pemikiran yang bersifat hitam-putih yang telah sedia terbentuk dari pemikiran jihad sebagai perang berpanjangan. Hal ini pula menyumbang kepada penonjolan imej Islam yang seolah-olah seperti sebuah agama yang simplistik dan sentiasa melihat golongan bukan Muslim sebagai  musuh.

 

Atas dasar itu, amat penting untuk diperjelaskan kefahaman ini bagi menghalang umat Islam dari terseleweng oleh pemikiran kelompok penjihad.

 

Hakikatnya pembahagain negara kepada Dar Al-Islam dan Dar Al-Harb bukanlah sesuatu yang ditentukan oleh Al-Quran atau hadits yang sahih. Sebaliknya ia hanyalah ijtihad para ulama di kurun pertama Islam sebagai respon kepada realiti yang mereka hadapi. Antara faktor-faktor yang mempengaruhi para ulama dahulu untuk membahagikan negara kepada dua jenis ialah untuk membolehkan mereka membuat hukum yang sesuai untuk diamalkan oleh seorang Muslim berdasarkan negara di mana seorang Muslim berada kerana pengamalan hukum Islam boleh berbeza ketika seorang Muslim berada di persekitaran yang berlainan.

 

Kedua, para ulama dahulu juga dipengaruhi oleh situasi perang yang berpanjangan antara negara Islam dan empayar Rom dan Parsi di masa awal Islam. Pengaruh dari konflik yang berpanjangan ini menjadikan konsep Dar Al-Islam dan Dar Al-Harb menjadi dua konsep yang dominan dalam penulisan para ulama dalam membicarakan  mengenai hubungan antarabangsa antara umat Islam dan umat yang lain.

 

Ketiga, budaya politik antrabangsa di masa itu amat condong dan terbiasa untuk menjadikan perang sebagai huraian masalah antara negara. Maka, istilah-istilah dan perbahasan yang berbau perang menyelinap dalam hasil karya para ulama dahulu.

 

Keempat, sirah nabi yang dipenuhi oleh konflik antara Madinah selaku Dar Al-Islam dan Mekah selaku Dar Al-Harb turut memainkan peranan dalam mempengaruhi pembahagian jeniss-jenis negara oleh para ulama dahulu.

 

Juga penting untuk diketahui ialah para ulama berselish pendapat mengenai pengertian Dar Al-Islam dan Dar Al-Harb itu sendiri. Berlainan deegan pandangan tiga mazhab yang lain, para ulama mazhab Hanafi membahagi negara kepada dua jenis itu adalah berdasarkan pertimbangan keamanan dan bukan perbezaaan agama. Ertinya Dar Al-Islam ialah  bumi yang pada dasarnya dapat menjamin keamanan dan keselamatan umat Islam untuk menjalani hidup sebagai seorang Muslim. Mengetahui perbezaan pendapat ini penting kerana ia menunjukkan bahawa konsep Dar Al-Islam dan Dar Al-Harb adalah  satu persoalan yang berdasarkan ijtihad dan kefahaman kelompok penjihad mengenai Dar Al-Islam dan Dar Al-Harb bukanlah satu-satunya kefahaman yang ada untuk dipertimbangkan bagi menghadapi konteks hari ini.

 

Berpegang pada dua pembahagian itu secara muktamad dan jumud juga tidak sejajar dengan hakikat bahawa sebahagian para ulama dahulu tidak berpegang pada pembahagian hitam-putih berkenaan. Mazhab Syafi’ii, misalnya, berpendapat bahawa bumi yang majoriti penduduknya bukan Muslim tetapi tidak memerangi umat Islam tidak boleh diklasifikasikan ssebagai Dar Al-Harb. Ini bermakna jihad bersenjata tidak boleh dilancarkan ke atas sebuah negara semata-mata kerana ia adalah negara bukan Muslim. Ia juga mengenalkan jenis negara ketiga iaitu Dar Al-Amn (Negara Berdamai) yang merujuk kepada negara bukan Islam yang  menandatangani perjanjian damai dengan satu atau beberapa negara Islam, samada untuk tempoh selama-lamanya atau sementara. Dalam hal ini, maka bolehlah dihujahkan bahawa di sisi mazhab Syafi’ii, mana-mana negara hari ini yang t idak memerangi sebuah negara Muslim tidaklah boleh dikatakan sebagai Dar Al-Harb

 

Jika dibaca dengan mendalam karya para ulma dahulu, akan didapati pula bahawa Dar Al-Islam dan Dar Al-Harb bukanlah satu-satunya istilah yang boleh ditemui. Karya apara ulama dahulu juga mempunyai dengan istilah-istilah dan pembahagian-pembahagian lain terhadap negara.

 

Berdasarkan segala penerangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa pembahagian Dar Al-Islam dan Dar Al-Harb di sisi ulama dahulu sebenarnya tidak sama ssekali boleh dijadikan hujah bagi menyokong fahaman jihad sebagai perang yang berpanjangan ke atas golongan bukan Muslim. Tambahan pula sistem dunia antarabangsa hari ini telah berkembang begitu berbeza dari realiti zaman para ulama dahulu ketika menulis karya-karya mereka dan ini menuntut pemikiran dan perspektif baru dari kalangan ulama mengenai bentuk hubungan antarabangsa yang sejajar dengan prinsip Islam.

 

Atas dasar itu jugalah sebahagian ulama kontemporari mencadangkan bahawa amalan politik antarabanga Muslim hari ini mestilah berpindah dari pola perhubungan yang menjurus kepada perang yang berpanjangan ke atas golongan bukan Muslim kepada pola yang menjurus kepada perdamaian dan kewujudan bersama secara aman sebagai satu masyarakat dunia melalui perjanjian-perjanjian damai dan hubungan diplomatik. Oleh, dalam konteks hari ini, mana-mana negara Muslim yang menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu secara otomatik berada dalam perjanjian damai dengan semua anggota-anggota PBB yang lain sebagaimana yanag dinyatakan dalam Piagam PBB. Hal ini adalah kerana apabila sebuah negara Muslim bersetuju menjadi anggota PBB ia sebenarnya telah memasuki satu kontrak perjanjian dan Islam menuntut penganutnya untuk memenuhi tanggungjawab kontrak yanag dipersetujui (Al-Baqarah: 177, Al-Maidah: 1).

 

Penjelasan yang bersifat kontekstual di atas boleh disokong pula oleh teori hubungan anatarabangsa aliran ofensif realisme. Aliran ini berpendapat bahawa sifat anarki dunia antarabangsa memberi insentif yang kuat kepada sebuah negara untuk sentiasa berusaha untuk menguatkan kuasa dan kekuatannya sehingga menjadi sebuah kuasa besar yang tidak tercabar kerana hanya dengan demikian sahaja ia dapat menjamin keselamatannya sendiri dari ancaman negara lain. Atas dasar itulah, sebuah negara melaksanakan polisi yang bersifat imperialistik jika manfaatnya lebih besar dari kos. Kuasa yang tidak bersifat hegemonik dalam dunia antarabangsa sentiasa dalam keadaan bimbang bahawa negara lain akan menyerang atau u menguasainya. Oleh itu, idea jihad sebagai peranag bepanjangan hanyalah satu respon teologi yang dibangunkan oleh para ulama terhadap realiti politik antarabangsa bagi menjamin keselataman Dar Al-Islam, dan bukan wahyu dari tuhan.