Meluruskan Kefahaman Mengenai Konsep Berjemaah Dalam Islam 2/2

…….bersambung

(Nota: Artikel ini dikutip dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

 

Menanggapi Kepelbagaian Kumpulan Islam

 

Jika badan-badan Islam atau jemaah Islam yang mengumpulkan manusia atas tujuan untuk menunaikan tanggungjawab dakwah bukan yang dimaksudkan sebagai Jemaah kaum Muslimin, maka jadilah ia sebagai perkumpulan orang-orang Islam atas tujuan untuk tolong-menolong dalam perkara yang baik dan ketakwaan.

 

Sekiranya badan-badan itu berpegang dengan ajaran Islam yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan memperjuangkan Islam yang benar samada secara menyeluruh atau sebahagian darinya, maka kesemua itu dianggap sebagai sebahagian dari Jemaah kaum Muslimin yang besar.

 

Kewujudan kepelbagaian badan-badan Islam yang seperti itu adalah satu perkara yang lumrah yang sememangnya tidak dapat dielakkan kerana hakikat usaha dakwah itu mempunyai ruang yang besar bagi melakukan ijtihad. Di dalam apa jua bidang yang berlaku ijtihad, akan pasti wujud khilaf dan perbezaan pendapat.

 

Kewujudan pelbagai jemaah dan badan dakwah yang sedemikian di mana-mana tempat sekalipun tidak lain kecuali ibarat kewujudan pelbagai mazhab dan tarikat dalam Islam. Setiap satu harus menerima kewujudan yang lain dan menghormati pendirian masing-masing.

 

Setiap satu dalam meyakini kebenaran manhaj dakwahnya tetapi juga berkata mungkin yang lain itu betul dan padanya ada kesalahan.

 

Kesemua kumpulan-kumpulan itu jika pandangannya didasari oleh kaedah istidlal dan istinbat yang muktabar yang boleh diuji dan dinilai, maka ia adalah ijtihad yang jika benar mendapat dua pahala dan jika salah mendapat satu pahala.

 

Para imam mazhab yang terdahulu tidak pernah mencela antara satu sama lain dan tidak pernah menuduh yang lain sebagai sesat atau terkeluar dari Islam kerana tidak bersama dalam kumpulannya. Mereka tidak mejadikan perbezaan ini sebagai sebab perpecahan atau alasan untuk menjauhkan hati masing-masing.

 

Walaupun badan-badan Islam yang bekerja dalam bidang dakwah bukanlah Jemaah kaum Muslimin yang dimaksudkan dalam hadits-hadits di atas tetapi ini tidak bermakna bahawa kita meringan-ringankan penglibatan seorang Muslim di dalam kumpulan-kumpulan dakwah.

 

Penglibatan dalam kumpulan-kumpulan dakwah adalah amat dianjurkan oleh Islam dan boleh sampai ke tahap wajib. Hal ini adalah kerana keadaan masyarakat Islam yang jauh dari ajaran Islam memerlukan usaha pengislahan. Usaha islah dan dakwah ini telah disepakati oleh para ulama sebagai satu kewajiban agama.

 

Sesiapapun yang merenungi masalah umat Islam, baik di Singapura atau di dunia akan sedar bahawa ia tidak akan dapat diatasi melalui usaha individu-individu. Sebaliknya ia hanya boleh dicapai melalui usaha kolektif atau jama`ii. Maka jatuhlah hukum penglibatan dalam kumpulan-kumpulan dakwah di bawah kaedah;

 

“Jika satu kewajiban tidak dapat disempurnakan kecuali dengan sesuatu perkara, maka jadilah perkara itu juga satu kewajiban.”

 

Maka kita menetapkan bahawa tanggapan seseorang bahawa kumpulannya adalah jemaah yang sebenar yang wajib setiap Muslim bergabung dengannya, jika tidak dihukum berdosa, dan haram berpisah darinya, kerana boleh menyebabkan kekufuran adalah satu sikap taksub yang dicela dalam Islam. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;

 

“Bukan dari kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyah. Bukan dari kalangan kami orang berperang atas asabiyah. Bukan dari kalangan kami orang yang mati atas asabiyah.” (Riwayat Abu Daud)

 

Yang dilarang oleh Islam ialah kewujudan firqah, iaitu kumpulan yang berpisah dari masyarakat Islam.