Membina ‘Masjid’ Dalam Diri Kita

taubat-2Masyarakat Islam telah melabur jutaan dolar untuk pembinaan masjid. Di lihat dari sudut jumlah pelaburan dan nilai aset hari ini, nilai masjid adalah begitu besar apatah lagi jika digandingkan dengan peranan dan kepentingan masjid bagi pembangunan satu masyarakat yang soleh.

Dengan melihat masjid dari perspektif kebendaan dan keagamaan, kita tidak mempunyai pilihan kecuali memastikan bahawa institusi masjid kita berfungsi sebagai sebuah institusi yang cemerlang yang akan menjadi pemangkin bagi kewujudan sebuah masyarakat Islam yang cemerlang.

Asas bagi sebuah institusi masjid yang cemerlang ialah sumber manusia yang soleh dan program-program yang soleh. Manusia soleh menghasilkan program yang soleh. Program yang soleh pula menghasilkan manusia soleh. Namun dari mana kita bermula? Persoalan ini seolah-olah seperti persoalan ayam dan telur.

Tidak sukar untuk menjawab persoalan ini kerana ia telah pun dinyatakan dalam Al-Quran. Allah taala berfirman yang bermaksud

“Tidak mungkin orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah dalam keadaan mereka bersaksi atas diri mereka dengan kekufuran. Mereka itu telah musnah segala amal-amal dan di dalam neraka mereka kekal. Sesungguhnya yang dapat memakmurkan masjid-masjid Allah adalah mereka yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan tidak takut kecuali Allah. Moga-moga mereka itu menjadi di kalangan orang-orang yang mendapat hidayat.” (At-Taubah : 17 – 18)

“Dan masjid yang didirikan atas takwa pada hari pertama ia dibina lebih berhak untuk engkau beribadat di dalamnya. Di dalamnya terdapat lelaki-lelaki yang suka untuk membersihkan diri. Dan Allah suka golongan yang membersihkan diri.” (At-Taubah : 108)

Kedua-dua ayat di atas secara menyatakan jelas bahawa proses pemakmuran masjid bermula dari manusia. Dalam konteks zaman Rasulullah s.a.w ia bermula dari diri Rasulullah s.a.w. Beliau kemudiannya melahirkan program-program yang soleh yang menghasilkan para sahabat yang soleh dan dari para sahabat pula lahir manusia soleh yang lain, yang memakmurkan masjid di merata tempat, dan seterusnya.

Ayat di atas juga menerangkan apa yang perlu ada pada manusia yang ingin memakmurkan masjid. Yang paling penting untuk ada, bukanlah kemahiran pengurusan dengan memiliki ijazah MBA, BBA atau pengalaman menjawat jawatan kanan dalam bidang pengurusan tetapi adalah nilai taqwa.

Walau pun ketiadaan taqwa bukan satu-satunya punca masalah yang wujud di masjid-masjid kita hari ini tapi ia adalah antara punca utamanya. Ketiadaan taqwa menimbulkan fitnah, sengketa, hilangnya keikhlasan dan lain-lain. Semuanya ini menjadi pengahalang kepada terealisasinya masjid sebagai institusi kita yang cemerlang. Lebih buruk dari itu, ia merupakan pengabaian terhadap amanah agama dan harta masyarakat Islam.

Kita perlu bina ‘sebuah masjid yang cemerlang’ dalam diri kita, barulah akan terbina institusi masjid yang cemerlang di atas bumi kita.