Mengesan Pandangan ‘Bapa Penjihad’ Abdullah Azzam – Berita Harian (Singapura), 6 April 2009

Artikel terbaru tulisan bersama. Salinan asal terbitan Berita Harian boleh dibaca dilampiran.

—————————————-

MENGESAN PANDANGAN ‘BAPA PENJIHAD’ ABDULLAH AZZAM

Berita Harian, 6 April 2009

oleh Muhammad Haniff Hassan dan Mohamed Redzuan Salleh

BAGI Al-Qaeda, menyerang warga Barat seperti peristiwa 9 September 2001 (9/11) dibolehkan menurut tafsiran Islamnya.
 
Namun, kajian membuktikan bahawa pendirian itu bercanggah dengan fahaman Abdullah Azzam, ‘bapa’ penjihad (mujahidin) Arab di Afghanistan dan pengasas Biro Khidmat Mujahidin (Maktab al-Khadamat).

Hal ini dapat dinilai pada sumber-sumber asal (primary sources) daripada Abdullah Azzam (1941-1989) yang lahir di Palestin. Beliau meraih sarjana perundangan Islam dari Universiti Damsyik dan doktor falsafah dari Universiti Al-Azhar.
 
Beliau terlibat dalam perjuangan membebaskan watannya Palestin daripada pendudukan Israel. Sewaktu bersuaka di Jordan, beliau berjaya menjadi tenaga pengajar di Universiti Jordan tetapi kemudian diberhentikan kerana hubungannya dengan gerakan pembebasan Palestin dan sikap anti-pemerintah.

Beliau berpindah ke Universiti King Abdul Aziz di Arab Saudi. Setelah Afganistan diserang oleh Soviet Union, beliau menyambung tugas sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa di Islamabad demi memantau perkembangan Afghanistan dengan lebih dekat.

Akhirnya, beliau mengambil keputusan untuk berkhidmat sepenuh masa bagi jihad di Afghanistan dengan merekrut pejuang Muslim dari luar Afghanistan dan mengumpulkan dana dari seluruh dunia bagi membiaya jihad di sana.

Pada tahun 1989, Abdullah Azzam terbunuh bersama dua anak lelaki serta seorang anak teman baiknya di Peshawar dek letupan bom kereta yang disasarkan kepadanya ketika dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

Dalam sebuah transkrip ceramahnya, Fi Zilal Surah Al Taubah (Di Bawah Naungan Surah Al-Taubah), surah yang menjadi rujukan utama bagi para penjihad, Abdullah Azzam menegaskan bahwa perbuatan membunuh orang Kristian di Afghanistan atau di mana jua negara Muslim adalah dilarang Islam. Dalilnya ialah apabila seseorang itu diberikan visa, ia dianggap telah diberikan keamanan dan perlindungan. Apabila ia memilih untuk datang ke sebuah negara melalui visa, sudah tentu ia menjangka nyawa dan harta bendanya bakal dilindungi.

Oleh itu, Abdullah Azzam menegaskan bahawa seorang Muslim tidak dibolehkan menceroboh harta dan nyawa pelawat bukan Muslim yang telah diberikan visa, melainkan jika ia melanggar perjanjian tersebut dan menjadi ancaman terhadap keselamatan negara. Pelawat berkenaan haruslah terlebih dahulu diberi amaran agar meninggalkan negara berkenaan sebelum apa-apa tindakan diambil terhadapnya. Justeru itu, perbuatan menyerang dam membunuh pelawat yang datang dengan visa merupakan perbuatan khianat terhadap perjanjian. Ia dicela Islam.

Apabila seorang Islam memasuki sebuah negara bukan Islam melalui visa, dia tidak dibenarkan oleh Islam terlibat dengan perbuatan yang melanggar peraturan negara berkenaan. Dia tidak boleh menipu, mencuri, atau mengancam keselamatan negara tersebut. Tiada negara, sama ada Islam atau bukan, yang membenarkan sesiapa memasuki wilayahnya itu melanggar undang-undang atau mengancam keselamatannya.

Mengenai golongan Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian), Abdullah Azzam menyatakan bahawa mereka tidak boleh diperangi kecuali jika mereka terlebih dahulu memerangi kaum Muslim. Golongan Muslim tidak mendapat apa-apa keuntungan daripada membunuh seorang Kristian jika tindakannya akan membawa mudarat besar seperti tindak balas yang mengakibatkan ramai Muslim terkorban.

Menurut keterangan anak lelaki dan balu Abdullah Azzam, Osama bin Laden pertama kali bertemu dengan beliau pada tahun 1984 di Universiti Raja Abdul Aziz. Ketika itu, beliau sangat aktif mengumpulkan sumbangan derma bagi jihad di Afghanistan.

Beliau telah pergi ke Afghanistan dan kemudian disusuli Osama Bin Laden. Abdullah Azzam telah menubuhkan Biro Khidmat Mujahidin (Maktab Al-Khadamat) dengan dibiayai Osama Bin Laden sebagai pusat sehenti bagi para sukarelawan yang ingin berjuang bersama pejuang tempatan di Afghanistan dan agensi pengumpul dana bagi jihad di sana.

Ketika itu, Osama Bin Laden bak nadi ekonomi relawan Arab dan Abdullah Azzam pula nadi intelektual dan rohaninya. Namun, mereka ternyata berbeza pandangan dalam beberapa hal.

Osama Bin Laden diyakinkan oleh Ayman Al Zawahiri dan konco-konconya agar keluar dari Maktab Al-Khadamat untuk mengasaskan kelompok lain yang kemudiannya berkembang menjadi Al Qaeda.

Antara isu perselisihan mereka ialah persoalan takfir (amalan mengisytiharkan seorang Islam sebagai kafir) yang dipelopori oleh kelompok takfir Mesir di Afghanistan. Kedua ialah persoalan pemisahan kem dan kemudahan perang di Afghanistan.

Osama Bin Laden cenderung untuk mewujudkan kem dan kemudahan latihan yang berasingan bagi para pejuang Arab. Manakala, Abdullah Azzam tidak melihat perkara itu perlu dan mahukan semua sukarelawan Arab bernaung di bawah mana-mana kumpulan pejuang Afghanistan dan tidak terasing.

Pandangan Abdullah Azzam dalam mengharamkan serangan ke atas orang asing tidak berbeza daripada pandangan ulama semasa. Umpamanya, Kesatuan Antarabangsa Ulama Islam menegaskan bahwa para penduduk bukan Muslim yang diam di negara Islam merupakan penduduk yang harus dilindungi serupa dengan penduduk Muslim.

Visa lawatan pula adalah satu perjanjian keamanan apabila digunakan untuk memasuki negara Islam. Oleh itu, keselamatan bukan Muslim di negara Muslim baik sebagai pelawaat atau sebagai penduduk tetap tidak boleh dicerobohi.

Syaikh Abdul Majeed Subh, alim besar di Al Azhar, menegaskan bahawa orang awam atau para pendatang yang bukan Islam sepatutnya diberi hak perlindungan bagi harta dan nyawa mereka. Dengan itu, kehidupan dan hartabenda adalah “kawasan larangan” menurut Islam.

Dalam perundangan Islam, hal ini dinamakan ‘ahd al-aman, iaitu perjanjian keamanan dan perlindungan.

Bagaimana pula status seorang Muslim memasuki sebuah negara bukan Islam?
Syaikh Munajjid, alim besar Arab Saudi, berpendapat:

“Dia seolah-olah telah memasuki perjanjian damai dengan mereka, iaitu melalui visa yang diberikan agar ia memasuki negara tersebut. Lalu, jika ia mengambil harta mereka secara haram, ia dianggap melanggar perjanjian tersebut, dan dikira seorang pencuri. Jika ia mengkhianati mereka dan mencuri harta mereka, ini salah dan dianggap pengkhianatan yang haram (dilarang), sebagaimana Nabi (s.a.w.) dilaporkan bersabda, ‘pada hari kiamat, setiap pengkhianat akan membawa sepanduk di belakangnya sebagai tanda pengkhianatannya’.”

Syaikh Muhammad Hanooti dari Majlis Fiqh Amerika Utara berkata: “Apa yang haram adalah haram bagi semua orang, di manapun mereka berada. Menggolongkan sesebuah daerah sebagai dar al-harb (daerah perang) atau dar al-Islam (daerah Islam) tidak sejajar dengan realiti Islam, terutama sekali bila anda mendiami negara Barat.”

Walaupun ramai peneliti mendapati Abdullah Azzam mempunyai pengaruh yang besar dalam fahaman kelompok penjihad seperti Al Qaeda, namun beliau mempunyai perbezaan dengan Osama bin Laden dalam beberapa sudut operasi dan ideologi. Namun, perbezaan ini tidak mendapat sorotan dan kajian mendalam.

Buah fikiran Abdullah Azzam dapat digunakan sebagai garis pemisah antara fahman yang menghormati (perjanjian) dengan retorika yang membenci (dan melanggar perjanjian). Dengan demikian, terbongkarlah taktik Al Qaeda hanyalah memperalat nama Abdullah Azzam dalam mengabsahkan (legitimise) operasi songsang mereka.

Ustaz Muhammad Haniff Hassan ialah Zamil Bersekutu dan Ustaz Mohamed Redzuan Salleh ialah Peneliti Penyelidikan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.