Menunaikan haji tanpa izin suami

Soalan

 

Saya telah mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menunaikan fardhu haji. Saya juga mempunyai mahram untuk menunaikan haji bersama saya.

 

Walau bagaimana pun, suami saya tidak mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk menunaikan haji bersama saya. Beliau telah tidak mengizinkan saya untuk pergi menunaikan haji, walau pun saya mempunyai mahram.

 

Saya berasa sedih dan ingin bertanya pendapat ustaz samada saya tetap berkewajiban menunaikan haji. Jika saya tidak pergi adakah saya berdosa kerana telah berkemampuan dan mempunyai mahram?

 

Jawaban

 

Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam bukunya Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu, terbitan Darul Fikr, jilid 3, mukasurat 62, dalam topik halangan menunaikan haji, menyatakan bahawa di sisi mazhab Asy-Syafi’ii, suami boleh menghalang isteri untuk menunaikan haji yang fardhu dan sunat. Hal ini disebabkan kerana kewajiban menunaikan haji adalah kewajiban yang boleh ditangguh (wajib ‘ala at-tarakhi). Manakala kewajiban menunaikan hak kepada suami adalah kewajiban yang berterusan dan perlu ditunaikan segera (wajib ‘ala al-faur). Namun dibenarkan untuk menunaikan haji tanpa izin suami. Jumhur ulama pula berpendapat bahawa tidak boleh suami menghalang isteri menunaikan haji yang fardhu kerana kewajiban haji di sisi mereka bukan kewajiban yang boleh ditangguh. Oleh itu, tidak wajib mematuhi kehendak suami yang tidak membenarkan menunaikan haji.

 

Saya lebih cenderung untuk mencadangkan puan berpegang kepada pandangan mazhab Asy-Syafi`ii dalam persoalan ini. Hal ini adalah kerana ikatan suami isteri adalah ikatan yang berpanjangan sehingga akhir hayat. Meneruskan hasrat puan tanpa izin suami puan boleh mengakibatkan masalah hubungan antara puan dan suami puan yang boleh berpanjangan dan menjejas rumahtangga puan kemudian.

 

Puan hendaklah bersabar menghadapi permasalahan ini dan berdoa agar Allah taala membuka hati suami puan untuk memberi keizinan atau memurahkan rezeki beliau untuk mempunyai simpanan wang yang cukup bagi menunaikan haji bersama.

 

Jika puan membatalkan hasrat untuk menunaikan haji kerana patuh kepada suami, bukan kerana mengambil ringan terhadap kewajiban agama, sesungguhnya Allah taala Maha Mengetahui akan niat puan yang ikhlas dan halangan yang puan hadapi. Allah taala Maha Pengasih, Dia tidak akan menzalimi puan dengan menghukum puan atas sesuatu yang di luar kemampuan puan.

 

Ada pun tindakan suami puan tidak memberi keizinan, Allah taala Maha Mengetahui akan niat dan isi hatinya dan ke atas niatnya, dia akan dihisab sewajarnya.

 

Wallahu A`alam