Muhammad: Nabi Bengis atau Penyayang??

Di bawah ini adalah artikel yang ditulis bersama seorang teman sekerja dan diterbitkan oleh Berita Harian (9 Mac 2009)

Versi asal BH dan versi bahasa Inggeris boleh didapati dilampiran.

————————–

KELOMPOK RADIKAL SALAH TAFSIR SIFAT NABI

Oleh
Sharifah Thuraiya S A Alhabshi dan Ustaz Muhammad Haniff Hassan

KECINTAAN umat Islam kepada Rasulullah terutama dalam menyambut kelahirannya pada setiap 12 Rabiulawal memang ketara.

Semasa kecil, pasti kita semua inginkan ayah yang penyayang dan bukan seorang ayah yang kasar, garang dan bengis. Ia hampir menjadi satu impian bagi semua anak-anak, tanpa kira agama.

Rasulullah boleh diibaratkan sebagai seorang bapa. Beliau berperanan mendidik dan mengasuh manusia ke jalan benar (Al-Jumuah: 2).

Oleh itu, sebagaimana kita dambakan seorang ayah pengasih dan penyayang, pastinya kita lebih suka mempunyai seorang nabi yang sedemikian, bukan yang bengis dan garang.

Malangnya, kelompok radikal yang melancarkan serangan atas nama Islam lebih condong mempamerkan imej baginda sebagai seorang yang garang dan bengis seperti yang digambarkan dalam hadis-hadis yang sering mereka tukil:

‘Aku diutus dengan pedang di ketika hampirnya Hari Kiamat sehinggalah hanya Allah-lah yang disembah, tidak ada sekutu bagi-Nya. Dan Allah menjadikan rezekiku di bawah naungan tombak…’ dan ‘Sesungguhnya aku telah diutus untuk menyembelih (mereka yang kufur)’.

Hadis sedemikian dilaungkan bersama propaganda kelompok radikal dengan tujuan membakar semangat Muslim untuk turut sama berjuang dengan mereka.

Hakikatnya, kelompok radikal ini telah menggambarkan Rasulullah sebagai model ‘bapa’ kepada manusia sejagat dengan imej yang pastinya mereka sendiri tidak suka untuk ada pada bapa mereka.

Jika diteliti, sikap mereka ini sebenarnya seumpama kepercayaan golongan orang Musyrik terdahulu yang dicela Allah swt kerana menyandarkan untuk Allah anak perempuan sedangkan mereka sendiri tidak menyukainya dan lebih mendambakan anak lelaki.

Firman Allah yang bermaksud: ‘Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Dia. Sedang bagi mereka pula mereka sediakan apa yang mereka sukai (anak-anak lelaki)’ (An-Nahl: 57).

Akibat terlalu kemaruk berjihad, kelompok radikal sebenarnya telah menghina peribadi mulia Rasulullah.

Mereka gagal mengaitkan hadis berkenaan dengan hadis dan ayat Al-Quran lain yang memberi imej Rasulullah yang berlawanan dengan apa yang mereka gambarkan.

Contohnya, firman Allah bermaksud: ‘Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu, (dan) terhadap orang-orang Mukmin pula ia sangat mengasihi dan menyayangi,’ (At-Taubah: 128).

Dan firman-Nya: ‘Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati tentulah mereka lari daripada kelilingmu,’ (Ali-Imran: 159).

Selain itu, sejarah melaporkan bagaimana Rasulullah membebaskan kesemua penduduk Makkah yang pernah memusuhinya setelah berjaya menawan kembali kota itu, kecuali beberapa individu sahaja.

Beliau bertanya kepada mereka, ‘Wahai kaum Quraisy, apakah kamu fikir aku akan lakukan terhadap kamu?’

Mereka lalu menjawab: ‘Kami tidak harapkan daripada kamu kecuali layanan baik.’

Rasulullah lalu bersabda: ‘Aku katakan kepada kamu sama seperti Yusuf pernah berkata kepada saudara-saudaranya (yang pernah menganiaya dirinya) ‘Tiada cercaan ke atas kamu’ (Yusuf: 92). Pergilah! Sesungguhnya kamu semua bebas.’

Kelompok radikal sebenarnya telah mengabaikan pendekatan menyeluruh yang diambil ulama dalam menghuraikan hadis-hadis sedemikian tanpa meletakkan hadis tersebut pada konteksnya dan mengambil kira dalil lain.

Hakikatnya, ulama berpendapat bahawa imej tegar yang disandarkan pada Rasulullah itu merujuk kepada sikap baginda terhadap musuh yang memeranginya, bukan ditujukan kepada semua orang bukan Muslim.

Sikap kekerasan itu bukanlah merupakan sifat asasi Rasulullah tetapi ia adalah reaksi terhadap situasi-situasi khusus dan terkecuali.

Penelitian jujur terhadap sirah Rasulullah juga membuktikan bahawa tidak sekalipun baginda menganjur atau menggalakkan peperangan demi menyebarkan Islam mahupun memusnahkan orang bukan Muslim.

Beberapa peperangan yang berlaku sepanjang perjalanan dakwah Rasulullah pada dasarnya bersifat mempertahankan diri dan ditujukan ke atas musuh yang memulakan permusuhan ke atas beliau dan pengikutnya.

Panduan untuk orang awam

Orang awam hendaklah berjaga-jaga supaya jangan mudah terpedaya dengan propaganda seperti ini walaupun ia bersalut hadis-hadis yang disandarkan pada Rasulullah.

Jika anda terbaca sesuatu berkenaan Islam tetapi ianya bercanggah dengan naluri kemanusiaan anda (seperti menghina, mencela atau membunuh sesama manusia), maka berwaspadalah dengannya.

Dalam hadis daripada Abi Wabishah bin Ma’bad ra dia berkata: ‘Bahawa aku datang kepada Rasulullah lalu baginda bertanya: ‘Kamu datang bertanyakan erti kebajikan? Aku menjawab: Ya’.

Sabda Rasulullah lagi: ‘Tanyalah hati kamu. Kebajikan itu ialah apa yang mententeramkan dirimu kepadanya serta mententeramkan hati.

‘Manakala dosa pula ialah apa yang mengganggu jiwa dan meragui dalam dada, walaupun orang ramai telah memberikan kamu fatwa dan terus menfatwakan sesuatu.’

Jika apa yang bercanggah dengan naluri kemanusiaan anda itu disampaikan kepada anda dengan sokongan hadis atau ayat Al-Quran, rujuklah pada mereka yang berilmu. Firman Allah yang bermaksud: ‘…maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.’ (Al-Anbiya’: 7).

Kesimpulan

Awasilah bahaya salah tafsiran yang boleh menyebabkan kita menerima apa sahaja perkara walaupun ianya bertentangan dengan naluri dan fitrah kita.

Ulasan mengenai konteks hadis serta panduan yang dikongsi di atas dapat menjauhkan kita daripada terpengaruh dengan pendapat yang mencemarkan Junjungan kita sebagai seorang yang garang dan bengis. Padahal, baginda ialah rahmat seluruh alam dan seluruh kemanusiaan.

Nota: Ustaz Muhammad Haniff ialah Zamil Bersekutu dan Sharifah Thuraiyah pula penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.