Muhasabah….Berhadapan Dengan Kelemahan Dan Kesilapan Diri

Biasanya, setiap akhir tahun sesebuah organisasi akan melakukan sesi muhasabah bagi menilai pencapaiannya sepanjang tahun. Dalam sesi sebegini, pelbagai pandangan, cadangan dan teguran diberikan. Rumusan-rumusan untuk tindakan lanjut juga dibuat.

 

Namun proses muhasabah tidak semestinya berakhir setelah berakhirnya sesi sedemikian. Sebaliknya, ia mestilah diteruskan. Di peringkat individu, kita melakukan muhasabah kerana ia adalah sebahagian dari tanggungjawab keagamaan kita. Allah taala bukan hanya mewajibkan kita melakukan dakwah bahkan menuntut kita berdakwah dengan penuh ihsan (cemerlang) dan itqan (penuh ketekunan). Ihsan dan itqan tidak mampu untuk dicapai kecuali kita sentiasa muhasabah diri kita untuk pembaikan. Muhasabah juga adalah manifestasi terhadap penghayatan tuntutan agar agar hari ini lebih baik dari semalam dan seterusnya.

 

Namun muhasabah hanya akan bermakna apabila ia disertai oleh nilai-nilai tertentu antaranya;

 

·       Ikhlas dari pihak yang memberi muhasabah dan dari mereka yang menerima muhasabah.

·       Kelapangan dada dan fikiran untuk bersikap objektif dan mengakui kelemahan.

·       Amanah dan bertanggungjawab untuk membaiki keadaan yang ada dan melaksanakan rumusan yang disepakati.

 

Mengenalpasti kelemahan dan kesilapan bukan suatu yang sukar. Mengenalpasti siapa yang menyebabkan kelemahan dan pelaku kesilapan lagi mudah bagi kita kerana ia sememangnya naluri manusia yang mudah mencari kelemahan dan kesilapan orang lain.

 

Yang sukar ialah untuk kita mengakui kelemahan dan kesilapan diri sendiri samada diperingkat peribadi atau di hadapan khalayak ramai.

 

Apabila kita tidak mahu mengakui kelemahan dan kesilapan diri kita akan menafikannya.

 

Apabila kita mahu menafikannya, kita akan mencari bebiri hitam untuk dipikulkan kelemahan dan kesilapan itu kepadanya.

 

Apabila kita mula mencari seseorang yang layak menjadi bebiri hitam, kita akan cenderung untuk mencari kelemahannya.

 

Apabila kita melihat seseorang untuk mencari kelemahan dan kesilapannya, maka satu yang kita cari sepuluh kita akan jumpa.

 

Setelah sesi muhasabah ini, marilah kita berhadapan dengan kelemahan dan kesilapan yang pernah kita lakukan. Apa pun masalah yang dihadapi pada hari ini sebenarnya kita mempunyai saham terhadapnya dan kita semua bertanggungjawab untuk mengatasinya secara konstruktif.

 

Kita mungkin boleh mencuci tangan kita di dunia ini tapi tidak di akhirat kelak.