Muslim Menolak Ekstremisme & Pengganasan

(Nota: Artikel ini dipetik dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

 

Muslim Menolak Ekstremisme[1] & Pengganasan[2]

 

Dalam bahagian pertama dari kertas ini dan dari permulaan lagi, kita menegaskan komitmen kita terhadap kesederhanaan dalam beragama. Kita komited terhadap gagasan Muslim sejati yang sememangnya sederhana.

 

Kita nyatakan dalam bahagian berkenaan akan sifat kesederhanaan dalam Islam dan menghujahkan bahawa ia mempunyai asas-asas yang kuat untuk bersifat dengan kesederhanaan.

 

Atas dasar itu, kita secara dasarnya menolak pelampauan dan mengutuk pengganasan dalam erti kata yang sebenar; pengganasan yang mencabul prinsip keadilan dan undang-undang sejagat, pengganasan yang mencabul hak asasi manusia dan pengganasan yang mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah dan merosakkan harta benda tanpa hak.

 

Namun kita amat maklum bahawa hari ini terdapat penyalahgunaan terhadap label pelampauan dan pengganasan. Maka kita menolak label pelampauan dan pengganasan semata-mata atas sifat seseorang sebagai Muslim. Bagi kita, tindakan sedemikian itu sendiri adalah satu tindakan yang melampau.

 

Pengganasan & Jihad

 

Dalam mengutuk pengganasan, kita maklum akan kebimbangan sesetengah pihak terhadap syariat jihad dalam Islam. Dalam hal ini, kita mempertegaskan komitmen kita terhadap kefahaman jihad yang luas. Kita bersama dengan ulama dahulu yang memahami jihad dalam erti kata yang luas sebagai mengerahkan usaha sedaya upaya di jalan Allah taala yang meliputi usaha pembaikan diri, usaha pembangunan masyarakat, dakwah melalui lisan dan media. Sebagaimana juga jihad dalam erti kata yang khusus iaitu berperang bagi membela agama Allah taala.

 

Prof. Dr. Ala`Eddin Kharofa menulis;

 

“Akan tetapi penelitian ilmiah menunjukkan bahawa kata ‘jihad’ ini tidak khas untuk peperangan sahaja, bahkan ia mencakup semua perbuatan baik untuk mendapat keredaan Allah. Apabila mengorbankan nyawa itu adalah jihad, maka demikianlah pula mengorbankan harta benda, menolong orang yang terluka, menyingkirkan musuh daripada kaum Muslimin dengan lisan mahupun pena. Setiap perbuatan yang bersifat kebendaan atau rohaniah, jika mempunyai bahayanya dan bertujuan untuk mendapatkan keredaan Allah taala dan mendatangkan kebaikan bagi umat Islam, maka itu semua adalah jihad.”[3]

 

Hakikat ini wujud dalam sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

 

“Berjihadlah kamu melawan orang-orang musyrik dengan hartamu, jiwamu dan lisanmu.” (Riwayat Abu Daud)

 

Jihad dalam erti kata yang luas tidak bermakna kita menafikan jihad bersenjata. Kita menolak pandangan yang menyempitkan jihad dalam konteks hari ini terbatas kepada dakwah dengan hikmah. Kita juga menolak mereka yang berpandangan bahawa jihad bersenjata adalah satu-satunya jalan bagi mengembangkan Islam.

 

Kita meyakini, bahawa jihad telah tsabit dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

 

Allah taala telah berfirman yang bermaksud:

 

“Dan berjihadlah terhadap mereka dengan jihad yang yang besar.” (Al-Furqan : 78)[4]

 

“Dan perangilah di jalan Allah mereka yang memerangi kamu dan janganlah kamu melampau, sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang melampau.” (Al-Baqarah : 190)

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

 

“Berperanglah dengan nama Allah, dan untuk jalan Allah. Perangilah mereka yang kufur terhadap Allah. Berperanglah dan jangan melampau. Jangan berkhianat. Jangan merosakkan mayat (yang terbunuh dalam peperangan). Jangan bunuh kanak-kanak.” (Riwayat Muslim)

 

Kita menolak kaitan langsung antara jihad dengan pengganasan. Tidak semestinya seorang yang berjihad itu adalah pengganas (terrorist) dan tidak semestinya mereka yang beriman dengan jihad dalam erti kata yang sebenar dan melaungkan semangat jihad dalam erti kata yang sebenar dianggap tidak sederhana.

 

Namun kita juga berpendapat bahawa Islam yang secara dasar bersifat aman dan damai sentiasa mengutamakan jalan-jalan yang aman dari jalan peperangan. Hakikat ini telah dinyatakan dalam bahagian pertama dari kertas ini.

 

Walau bagaimanapun, kita juga menegaskan bahawa sifat Islam yang cinta pada damai juga mengakui bahawa jihad bersenjata sebagai satu langkah praktikal apabila di sana tiada lagi jalan yang aman yang dapat digunakan. Apabila ia dilaksanakan pula, hendaklah dengan mengikut adab-adabnya (lihat hadits di atas[5]) dan aturan undang-undang antarabangsa.

 

Komitmen kita ialah untuk sentiasa menggunakan jalan-jalan yang aman dan mengikut lunas undang-undang dalam mengamalkan agama dan memperjuangkannya.

 

Tidak penting bagi kita sifat defensif atau ofensif dalam berjihad selama mana ia dilaksanakan atas tujuan yang benar dan sejajar dengan undang-undang antarabangsa. Hakikat ini tidak perlu dicurigai kerana dalam bidang ketenteraan telah dinyatakan bahawa ofensif ialah sebaik-baik pertahanan.

 

Jihad bagi kita bukan hanya untuk membela Islam dan umatnya atau menjaga kepentingan mereka sahaja. Kita ingin mempertegaskan bahawa ia juga adalah untuk membela keadilan bagi manusia sejagat. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah taala yang bermaksud:

 

“….. dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesunguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.[6]” (Al-Haj : 40)

 

Atas dasar itu, jika ada sekelompok penganut agama tertentu yang dizalimi semata-mata kerana agamanya atau negara tertentu yang diceroboh secara tidak adil, kita  bersedia untuk bersama membela dan mempertahankan mereka.

 

Atas dasar itu juga, jihad adalah sandaran kita untuk mempertahankan Singapura dari pencerobohan terhadap kedaulatannya secara tidak sah.

 



[1] Diambil dari perkataan ekstrem bermakna keterlaluan, melampau, radikal. Ekstremis pula bermakna (orang yg) melampaui garis-garis yang sederhana atau musabah pada sikapnya (pendiriananya, tuntutannya, dll dalam sesuatu hal (spt politik), orang yang keterlaluan atau melampau pendiriannya (tuntutannya dll), pelampau. Lihat Kamus Dewan (Edisi Baru), Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, 1989.

[2] Pengganasan di sini bermaksud terrorism bukan violence. Terrorism adalah satu istilah yang mempunyai makna yang tersendiri. Di negara Amerika, pengganasan dalam negeri diertikan sebagai tindakan yang melibatkan bahaya kepada nyawa manusia yang melanggar undang-undang Amerika Syarikat atau mana-mana negeri dan bertujuan (i) untuk mengugut atau memaksa penduduk awam; (ii) untuk mempengaruhi dasar kerajaan melalui ugutan dan paksaan; atau (iii) untuk memberi kesan kepada tingkah laku pemerintah melalui kemusnahan yang besar (mass destruction), pembunuhan (assassination) atau penculikan. Adapun pengganasan antarabangsa pula ia mempunyai makna yang hampir sama kecuali ia dilakukan di luar negara Amerika. Lihat http://www.terrorismfiles.org/encyclopaedia/terrorism.html . Lihat juga seksyen 802, USA Patriot Act.

 

Di Singapura erti pengganas (terrorist) boleh dilihat pada Terrorism (Suppression of Financing) Act 2002, section 2, iaitu

 

2. —(1)   In this Act, unless the context otherwise requires

 

“terrorist” means any person who —

(a) commits, or attempts to commit, any terrorist act; or

(b) participates in or facilitates the commission of any terrorist act,

and includes any person defined in regulations made under the United Nations Act 2001 (Act 44 of 2001) to be a terrorist;

 

“terrorist entity” means any entity owned or controlled by any terrorist or group of terrorists and includes an association of such entities.

(2)   Subject to subsection (3), for the purposes of this Act, “terrorist act” means the use or threat of action

(a) where the action

(i) involves serious violence against a person;

(ii) involves serious damage to property;

(iii) endangers a person’s life;

(iv) creates a serious risk to the health or the safety of the public or a section of the public;

(v) involves the use of firearms or explosives;

(vi) involves releasing into the environment or any part thereof, or distributing or otherwise exposing the public or any part thereof to

(A) any dangerous, hazardous, radioactive or harmful substance;

(B) any toxic chemical; or

(C) any microbial or other biological agent, or toxin;

(vii) disrupts, or seriously interferes with, any public computer system or the provision of any service directly related to communications infrastructure, banking and financial services, public utilities, public transportation or public key infrastructure;

(viii) disrupts, or seriously interferes with, the provision of essential emergency services such as the police, civil defence and medical services; or

(ix) involves prejudice to public security or national defence; and

(b) where the use or threat is intended or reasonably regarded as intending to

(i) influence or compel the Government, any other government, or any international organisation to do or refrain from doing any act; or

(ii) intimidate the public or a section of the public,

and includes any action specified in the Schedule.

(3)   Notwithstanding anything in subsection (2), a terrorist act does not include the activities undertaken by military forces of a State in the exercise of their official duties, to the extent that those activities are governed by other rules of international law.

(4)   For the purposes of subsection (2)

(a) a reference to any person or property is a reference to any person or property wherever situated, within or outside Singapore; and

(b) a reference to the public includes a reference to the public of a country or territory other than Singapore.

(5)   In subsection (3), “military forces of a State” means the armed forces of a State which are organised, trained and equipped under its internal law for the primary purpose of national defence or security and persons acting in support of those armed forces who are under their formal command, control and responsibility.

 

[3] Prof. Dr. Ala`Eddin Karofa, Mengadili Pemikiran Al-Dawalibi (Penasihat Khadim Al-Haramain) tentang Nasionalisme, Sekularisme, Riddah, Riba, Pustaka Antara Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 2000, ms 181. Lihat Hasan Ayob, Al-Jihad Wa Al-Fidaiyah Fi Al-Islam, Dar An-Nadwah Al-Jadidah, Beiru, 1983, ms 27 – 45, penulis membicarakan mengenai jihad nafsu dan jihad dalam masyarakat dengan hikmah dan peringatan yang baik.

[4] Ayat ini adalah ayat Makkiyah. Semasa berdakwah di Mekah umat Islam sentiasa diperintah bersabar terhadap gangguan orang-orang musyrik dan dilarang memerangi mereka. Maka penggunaan perkataan jihad di sini merujuk kepada jihad dalam bentuk yang lain. Oleh itu ia menjadi dalil akan fahaman bahawa jihad bukan hanya terhad dalam erti perang semata-mata.

[5] Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud; “Janganlah kamu membunuh orang tua yang telah uzur dan jangan membunuh anak-anak kecil dan wanita dan janganlah melampau, kumpulkan harta peperangan, buatlah perbaikan, berlaku ihsanlah sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berbuat ihsan.” (Riwayat Abu Daud)

[6] Antara pengajaran dari ayat ini ialah:

a.     Sebahagian dari sunnah alam ini ialah Allah akan membangkitkan sekelompok manusia bagi menolak keganasan manusia yang lain.

b.     Umat Islam diajar bukan hanya untuk membela sesama umat Islam tetapi juga membela umat dari agama lain jika mereka dizalimi. Ini boleh difahami dari pernyataan biara, geraja, rumah ibadat Yahudi bersama dengan masjid dari dirobohkan oleh keganasan sebahagian manusia.

c.     Jika ada sekelompok penganut agama lain yang dizalimi dan ditindas, umat Islam adalah lebih utama untuk bangkit membela mereka, menyuarakan suara mereka dan membebaskan mereka dari kezaliman itu.

d.     Allah taala bukan hanya akan membantu kita dalam membela agama Islam tetapi juga agama lain yang ditindas, kerana membela penganut agama lain dari penindasan itu sebahagian dari ajaran Islam.

e.     Walau pun Islam tidak sependapat dengan akidah agama lain tetapi Islam menghormati kehidupan beragama.

f.      Apabila Islam menganjurkan kita memelihara rumah ibadat dari dimusnahkan, ia menunjukkan bahawa rumah ibadat dan hidup beragama mempunyai peranan yang positif dalam kehidupan manusia serta sosial. Mereka yang beragama dengan erti yang sebenar dan jujur lebih baik dari tidak beragama.

g.    Jika ada sekelompok manusia bukan Islam yang bangkit menentang kezaliman, dalam erti kata sebenar, adalah wajar umat Islam bersama dalam usaha melawan kezaliman itu berdasarkan erti umum ayat. Sebagai contoh, sekelompok penganut Kristian Katolik dizalimi oleh penganut ajaran Kristian dari mazhab lain. Lalu diputuskan oleh PBB agar dikirim pasukan pengaman bagi menghentikan pertikaian dan kezaliman. Jika kezaliman itu benar terbukti, wajarlah negara Islam untuk terlibat sebagai sebahagian dari pasukan berkenaan walau pun ia diketuai oleh ketua yang bukan Islam.