Nabi Sulaiman a.s & Budaya Organisasi Yang Cemerlang (Bahagian 2)

islamic pattern

…. bersambung dari bahagian 1

6. Berkongsi maklumat dan pengetahuan.

Hari ini pengurusan ilmu (knowledge management) menjadi satu tuntutan bagi sebuah organisasi untuk cemerlang.

Hakikat ini adalah kerana perubahan persekitaran yang menjurus kepada sesuatu yang berteraskan ilmu (knowledge based).

Sebahagian dari pengurusan ilmu ialah keterbukaan dan keupayaan sebuah organisasi untuk berkongsi maklumat dan ilmu.

Amalan ini telah pun diamalkan oleh nabi Sulaiman a.s di dalam organisasinya.

Lihat bagaimana burung Hud-hud berkongsi maklumat dengan nabi Sulaiman a.s mengenai Balqis, tanpa diminta oleh beliau.

Lihat juga bagaimana dua pengikut Sulaiman s.a, Jin Ifrit dan seorang yang mempunyai ilmu, berkongsi keupayaan dengan nabi Sulaiman a.s untuk melaksanakan misi membawa istana Balqis.

Allah taala berfirman yang bermaksud;

“Berkata ‘Ifrit (yang cerdik) dari golongan jin: “Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgasana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi dapat dipercaya. Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari Al Kitab: “Aku akan membawa singgasana itu kepadamu sebelum matamu berkedip.” (An-Naml : 39-40)

Apabila Sulaiman a.s mahu membawa istana Balqis ke tempatnya, dia tidak terus mengarah pengikutnya atau melontarkan ideanya untuk dikomen oleh pengikutnya.

Sebaliknya beliau melontarkan satu soalan yang terbuka;

“Berkata Sulaiman: “Hai pembesar-pembesar, siapakah di antara kamu sekalian yang sanggup membawa singgasananya kepadaku sebelum mereka datang kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri.” (An-Naml : 38)

Demikianlah gaya kepimpinan Sulaiman a.s yang menatijahkan budaya bagi sebuah organisasi yang cemerlang.

7. Bersyura dalam segala perkara.

Islam amat mementingkan amalan syura.

Oleh itu, ia haruslah menjadi sebahagian dari budaya penting sebuah organisasi.

Budaya syura dalam organisasi nabi Sulaiman a.s dapat dilihat dalam An-Naml : 38 yang menceritakan beliau bersyura dengan pembesarnya mengenai misi membawa istana Balqis.

8. Berjiwa besar (Magnanimity).

Sikap jiwa besar (magnanimous) jelas tergambar dalam diri nabi Sulaiman a.s sebagai pemimpin sebuah organisasi.

Beliau tidak menganyiaya semut yang berada di laluannya semata-mata kerana saiznya yang kecil.

Dia mendengar pandangan si Hud-hud sebagaimana dia berunding dengan para pembesarnya.

Kemuliaan dirinya sebagai seorang nabi tidak menyebabkan ia merasa hina untuk mendengar pandangan si Ifrit.

Dia tidak menerima cadangan Ifrit bukan kerana ia adalah makhluk jin yang dikenali jahat tetapi kerana ada cadangan yang lebih baik.

Jiwa besar dalam dirinya tidak menjadikan ia lupa diri.

Setiap kali dia berhadapan dengan kejayaan, dia tidak berbangga dengan dirinya.

Sebaliknya dia mengembalikan segala itu kepada Allah taala dan berterima kasih kepada kedua orang tuanya.

Sikap ini haruslah dibudayakan kepada setiap ahli organisasi sehingga ia menjadi imej organisasi itu.

Organisasi yang cemerlang ialah organisasi yang berjiwa besar, bukan organisasi yang berlingkar dengan orang-orang besar sahaja.

Apatah lagi, jika tidak mempedulikan si kecil sedangkan ia dahulunya juga bermula dari kecil.

9. Rasional dan strategik

Kecemerlangan organisasi nabi Sulaiman a.s dapat dilihat dari sikapnya yang rasional.

Marahnya kepada Hud-hud tidak menutup telinganya dari mendengar maklumat dari burung itu.

Kesilapannya dimaafkan kerana maklumat penting yang dibawa olehnya.

Lihat bagaimana dengan penuh rasional dan objektif dia mengadakan rundingan dengan para pembesarnya.

Dia tidak secara membabi buta menyerang kerajaan Balqis, walau pun dia berupaya.

Sebaliknya dia membuat pertimbangan dan perancangan yang rapi.

Dia tidak membuli atau mengabaikan yang kecil kerana sikap rasionalnya.

Sikap rasionalnya membolehkannya meletakkan sesuatu ditempatnya.

Langkahnya penuh strategi, bukan emosi.

Organisasi yang cemerlang ialah organisasi yang bertindak secara rasional yang dipandu oleh ilmu dan maklumat yang benar.

Sikap ini haruslah menjadi budaya segenap lapisan ahlinya dana semua keadaan.

Organisasi yang cemerlang harus jauh dari apa jua tindakan yang berdasarkan emosi, ikut-ikutan dan semangat semata-mata.

10. Cinta perdamaian dan utamakan huraian secara aman.

Apabila berhadapan dengan utusan Balqis, nabi Sulaiman a.s berkata:

“Kembalilah kepada mereka sungguh kami akan mendatangi mereka dengan bala tentara yang mereka tidak kuasa melawannya, dan pasti kami akan mengusir mereka dari negeri itu (Saba) dengan terhina dan mereka menjadi (tawanan-tawanan) yang hina dina.” (An-Naml : 37)

Walau pun nabi Sulaiman a.s berupaya untuk menentang kerajaan Balqis dan mengalahkan mereka secara ketenteraan tetapi dia menggunakan jalan yang aman untuk menguasai Balqis dan kerajaannya.

Ini adalah simbol kehebatan seorang dan kecemerlangan budi yang ada padanya.

Ia adalah simbol keupayaan untuk mengawal diri.

Bukan mudah bagi seorang yang begitu besar status dan kekuasaannya untuk tidak menggunakan apa yang ia ada dan berpada dengan huraian sedemikian.

Organisasi yang cemerlang ialah organisasi yang sentiasa mencari jalan yang damai, selama mana mungkin, dalam berinteraksi dengan pesaing-pesaingnya atau menyelesaikan masalah yang dihadapinya.

(c) Muhammad Haniff Hassan