Pandangan mengenai hukuman bunuh ke atas tiga pengebom Bali

PANDANGAN : BERITA HARIAN, 10 NOVEMBER 2008

MEMAHAMI HUKUMAN KE ATAS MEREKA YANG TERSASAR JIHADNYA

Oleh
Muhammad Haniff Hassan & Mohamed Redzuan Salleh

INDONESIA kini diselubungi debar selepas pelaksanaan hukum mati ke atas Imam Samudra, Mukhlas dan Amrozi. Hukuman tembak dijalankan ke atas mereka sejurus selepas tengah malam semalam.

Pada Oktober 2002, mereka telah mengebom dua kelab malam di Bali – meragut 202 jiwa termasuk 88 warga Australia.

Setelah didapati bersalah pada 2003, mahkamah Indonesia telah menjatuhkan hukuman mati ke atas mereka.

Namun, hukuman tersebut telah berulang kali ditunda akibat faktor-faktor agama serta proses rayuan yang berterusan.

Setelah tertangguh selama lima tahun, akhirnya pada 24 Oktober 2008, hukuman mati ke atas mereka ditetapkan antara 1 hingga 20 November 2008. Penantian kini berakhir sudah.

PERNYATAAN TIGA SERANGKAI

Baru-baru ini, satu kenyataan lapan perkara oleh tiga yang bersalah itu tertinta di Internet. Antara lain, ia menyifatkan hukuman mati itu tidak sah kerana ia berdasarkan hukuman taghut (zalim), walaupun para pengebom tersebut menerimanya sebagai takdir Tuhan.

Mereka menggesa kaum Muslimin, terutama pejuang sejihad di Indonesia, serta para pemimpin besar jihad iaitu Osama Bin Laden dan Ayman al-Zawahiri, supaya membalas kematian mereka dengan mengisytiharkan perang ke atas kesemua yang bertanggungjawab ke atas hukuman tersebut.

Orang-orang dinamakan mereka adalah Presiden Indonesia serta naibnya, para pendakwa, hakim, pasukan pelaksana hukuman; Encik Hasyim Muzadi, Ketua Umum Nahdatul Ulama; dan lain-lain yang menyokong hukuman tersebut.

Kenyataan itu diakhiri dengan doa agar Tuhan menerima mereka sebagai syuhada.

Dalam perkembangan lain, sebuah video yang disiarkan di muslimdaily.net, satu halaman berita mengenai umat Islam berbahasa Indonesia di Internet, menunjukkan Mukhlas dan Amrozi sekeras-kerasnya menafikan bahawa mereka pernah meminta hukuman ke atas mereka ditangguhkan.

Mereka juga mendakwa tidak pernah meminta hukuman pancung sebagai ganti hukuman tembak, dan tidak juga pernah menyatakan bahawa dasar hukuman pancung itu lebih Islamik daripada hukuman tembak.

Kesemua dakwaan itu, menurut mereka, hanyalah rekaan media semata-mata.

Senada dengan kenyataan di atas, Encik Abu Bakar Bashir, mewakili Jamaah Ansharut Tauhid (JAT), mengeluarkan kenyataan melalui sidang media mengutuk hukuman yang bakal dijalankan.

Menurut beliau, hukuman yang dijatuhkan adalah zalim, melanggar hukum Allah dan tidak berasaskan fakta.

Selanjutnya, beliau menegaskan bilangan mangsa Islam di Ambon dan Poso, sebagai contoh, adalah jauh lebih besar daripada mereka yang terbunuh di Bali.

Namun, pemerintah tidak mengenakan hukuman setimpal sebagaimana dijatuhkan ke atas para pengebom Bali. Beliau seterusnya menyuarakan mereka bertiga bukan pengganas, bahkan pejuang jihad sejati.

Walaupun mereka mengakui melakukan pengeboman tersebut, pada pengamatan beliau, Agensi Risik Pusat (CIA) Amerikalah dalang utama kepada kemusnahan besar yang berlaku di Bali kerana Imam Samudra, Amrozi dan Mukhlas tidak mampu menyebabkan kemusnahan sebesar apa yang berlaku di Bali.

Dalam perkembangan berkaitan, anak Imam Samudra iaitu Umar Bin Abdul Aziz didakwa mengeluarkan kenyataan melalui e-mel yang menegaskan bahawa doa orang yang dizalimi lambat laun pasti dikabulkan.

PANDANGAN MUSLIM SEDUNIA

Walaupun para pengebom Bali serta JAT mendakwa perbuatan mereka adalah jihad di jalan Allah, masyarakat Islam sedunia tetap menolak perbuatan serong mereka.

Bahkan ulama dan pertubuhan Islam antarabangsa sepakat mengeluarkan mesej umum mengenai hakikat Islam dan fatwa khusus mengutuk konsep pengganasan begitu.

Antaranya ialah Shaikh Al-Azhar Muhammad Sayyid al-Tantawi, Ayatollah Seyyid Ali al-Sistani dan Shaikh Yusuf al-Qardawi serta kesemua ulama daripada semua lapan mazhab pemikiran Islam yang diakui.

Mereka mengutuk konsep pengganasan masa kini yang berkait rapat dengan amalan songsang, tidak kira siapa yang melakukannya, atau dalam bentuk apa sekalipun.

Mereka turut menegaskan tiada siapa yang berhak mengkafirkan seseorang. Kesemua mazhab perundangan dalam Islam telah, secara kolektif, membangunkan kriteria yang kukuh dalam mengeluarkan fatwa (fatwa tidak berhak dikeluarkan orang yang jahil, fanatik atau ujub), sebagaimana dinyatakan dalam Pernyataan Amman (2004) yang bersejarah.

Majoriti umat Islam sedunia menolak keabsahan pengeboman Bali. Jelas ini menunjukkan ketiadaan sokongan umum dan para pakar bagi para pengebom Bali berkenaan.

Seyogia, Nabi Muhammad saw juga telah bersabda yang bermaksud, ‘Jika kamu melihat perselisihan, ikutlah kelompok (golongan pakar) yang lebih besar’. (Hadis riwayat Ibn Majah)

Tambahan pula, terdapat ramai pemimpin kumpulan penjihad yang pernah di satu masa dahulu menyeru kepada keganasan itu sudah pun berubah fikiran. Mereka kini menentang sekeras-kerasnya idea keganasan seperti yang berlaku di Bali.

Antara mereka adalah para pemimpin Jemaah Islamiyah di Mesir, dan Sayyid Imam al-Sharif yang merupakan bekas ketua Pertubuhan Jihad Islam Mesir.

Mereka juga telah menghasilkan buku-buku menangkis ideologi ganas yang dibawa orang orang-orang seperti pengebom-pengebom Bali.

Perlulah dipertegas bahawa para pengebom itu disabitkan bersalah adalah kerana pengakuan mereka sendiri. Dalam Islam, pengakuan seseorang atas kesalahannya dianggap bukti konklusif dalam mensabitkan sesuatu jenayah.

Dengan mengakui mereka memang yang melakukan pengeboman tersebut, sekali gus para pengebom tersebut telah mensabitkan sendiri jenayah yang mereka lakukan.

Oleh kerana Islam menetapkan pembunuh boleh dihukum dengan hukuman mati, maka keputusan mahkamah adalah wajar. Apakah mereka patut digantung, dipancung atau ditembak bukanlah perkara yang utama di sisi hukum Islam.

Justeru, untuk membalas kematian mereka sekarang bak anjuran sesetengah pihak, adalah sesuatu yang sepatutnya dilarang kerana ini bukanlah jihad demi menegakkan perjuangan saudara Muslim.

Nota: Ustaz Muhammad Haniff Hassan ialah zamil madya dan Ustaz Mohamed Redzuan Salleh ialah penganalisis penyelidikan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Universiti Teknologi Nanyang.