Pembangunan Agama Di Alaf 21: Apa Agenda Kita?

Islam adalah agama yang sentiasa menanam sifat optimis kepada umatnya. Berita-berita gembira berkaitan kemenangan umat Islam masih terus relevan walau pun ianya dinyatakan pada 14 abad yang lalu. Begitulah juga janji-janji Allah taala kepada umatnya.

 

Kesemua ini memberi harapan bahawa masa hadapan yang cemerlang akan kembali bagi umat Islam. Arus kebangkitan umat Islam yang tidak mereda dan kadar kemasukan penganut lain ke agama Islam menguatkan lagi harapan ini.

 

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi dalam kata pengantar bagi bukunya Ummatuna Bainal Qarnain (versi terjemahan bertajuk Umat Islam Menyongsong Abad ke 21, terbitan Era Intermedia) menulis

 

“Obor peradaban pernah dipegang oleh Timur pada masa Mesir Kuno, Venessia, Babilonia dan Persia. Kemudian obor itu berpindah ke Barat pada masa Yunani dan Romawi. Lalu kembali ke Timur pada masa peradaban Islam Arab. Namun pada ketika kamu muslimin mengalami kejumudan dan keterbelakangan yang disebabkan oleh kesalahannya dalam memahami agama dan aplikasinya, obor peradaban pun dengan cepat berpindah ke Barat…….. Sunnatullah (hukum alam) dan logika historis menyatakan bahawa kitaran peradaban pada masa akana datang akan berada di tangan kita, kaum muslimin…”

 

Walau bagaimana pun, seorang muslim yang optimis tidak harus hanya seronok dengan janji dan berita gembira ini sahaja. Persoalannya ialah adakah kita hanya menanti sejarah ini berlaku atau kita yang mencipta sejarah itu? Adakah kita mahu melihat ia berlaku dalam masa hidup kita atau kita merintis jalan bagi generasi sesudah kita? Adakah kita mahu mengikut atau memimpin, menjadi penumpang atau pengemudi?

 

Soalan-soalan ini adalah penting kerana kita bukan hanya disuruh bersifat optimis dan percaya akan janji-janji Allah taala tetapi juga diperintah untuk beramal bahkan berlumba-lumba dalam beramal untuk memainkan peranan bagi masa depan yang lebih baik untuk umat Islam. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan berlumba-lumbalah untuk melakukan kebajikan”(Al-Baqarah : 148)

 

Rasulullah s.a.w pula bersabda yang bermaksud

 

“Sesiapa yang memulakan satu sunnah (amal) yang baik, baginya pahala (amal itu) dan pahala mereka yang mengamalkan amal tersebut.”(Riwayat Muslim)

 

Inilah yang menjadi motivasi kita bagi mencipta dan mengorak sejarah di permulaan alaf 21 ini.

 

Alaf 21 hadir dengan membawa bersama-sama beberapa arus perubahan yang deras dan mendadak. Walau pun arus ini merupakan cabaran, tetapi ia juga menyediakan peluang bagi umat Islam Singapura untuk membaiki kedudukannya dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Perubahan-perubahan di alaf 21 sebahagiannya tidak dijangka lebih awal yang membolehkan masyarakat Islam Singapura untuk mengambil peluang bagi mendekatkan jurang dengan kaum-kaum lain dan membuat lomptan berganda (quantum leap).

 

Namun ini hanya akan dapat dilakukan jika wujud faktor-faktor berikut;

 

·         kesedaran dan celik dengan persekitaran yang ada.

·        wujudnya satu perancangan induk yang komprehensif bagi penggemblengan sumber-sumber masyarakat.

·        wujudnya usaha kolektif yang berkesan berteraskan budaya kepimpinan dan kepengikutan yang baik.

 

Hari ini pelbagai pelan induk yang berperanan untuk memandu pelbagai bidang kritikal di Singapura bagi menghadapi alaf 21. Untuk keperluan ekonomi, masyarakat Islam Singapura bertungkus lumus dengan konvensyen KBE (Knowledge Based Economy) yang menghasilkan pula pelan untuk memajukan ekonomi masyarakat Islam selari dengan kepentingan nasional.

 

Bagaimana pula dalam bidang pembangunan agama di Singapura? Apakah pelan kita? Apakah panduan yang dapat diberikan oleh para ulama dan umara dalam hal ini?

 

Episod-episod CE, hijab di sekolah pemerintah, insiden 911 dan pendedahan terhadap Jemaah Islamiah mempunyai pengajaran dan iktibar bagi kita khususnya berkaitan kekompakan dan keupayaan kita secara kolektif dalam menghadapi sesuatu isu. Apakah kita mahu mengulangi pengalaman-pengalaman ini?