Perbuatan Mengungkit Sumbangan dan Tidak Mahu Menghalalkannya Oleh Pihak-pihak Yang Tidak Berpuas hati Dengan Mendaki

Baru-baru ini saya diberitahu akan satu thread forum di facebook Mendaki yang mengandungi luahan rasa tidak puas hati pelbagai pihak terhadapnya. Terkandung di dalam thread ini pula, luahan-luahan yang bersifat mengungkit sumbangan dalam bentuk potongan wajib yang diberi.

Secara peribadi pun, saya sering berjumpa dengan luahan seperti ini dan ada pula yang sampai ke peringkat tidak mahu menghalalkannya dan bahkan akan menuntut di Akhirat kelak.

Meluahkan rasa tidak puas hati, kritikan dan maklumbalas pada Mendaki adalah sesuatu yang tidak salah sama sekali. Bahkan ia sesuatu yang dianjurkan, jika dilakukan atas niat yang baik i.e. untuk membaiki atau menegur apa yang dirasakan sebagai satu kesilapan. Namun, perlulah diingat bahawa Islam juga anjurkan agar kita lakukannya dengan cara yang baik.

Saya berpendapat sikap mengungkit dan tidak mahu menghalalkan sumbangan wajib yang diberi sebagai sesuatu yang tidak wajar dan sepatutnya ditinggalkan demi memelihara amal baik kita dan iltizam pada akhlaq yang mulia.

Saya bimbang mereka yang melakukan perbuatan seperti ini telah melakukan apa yang dilarang oleh agama kerana mengungkit sedekah kita adalah dilarang dan merosakkan ibadah kita. Hal ini berdasarkan firman Allah taala yang bermaksud:

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik dari sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun. “Hai orang-orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena ria kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.” (Al-Baqarah:262-4)

Dalam ayat-ayat ini, Allah taala menjelaskan adab bersedekah dan memuji mereka yang melakukannya tanpa mengungkit-ungkit untuk menyakiti si penerima. Namun, Allah taala tidak memadai di situ sahaja. Dia ikuti pula dengan larangan yang jelas. Kedua-dua ini saling menguatkan antara satu dan yang lain.

Bagi penyumbang Melayu, mereka mempunyai kuasa untuk tidak menyumbang pada Mendaki, jika mereka tidak reda. Proses membatalkan sumbangan boleh dirujuk kepada pihak pengurusan kewangan atau sumber manusia di tempat kerja masing-masing. Jika mereka tidak melaksanakan hak ini, sumbangan mereka dianggap satu sedekah yang sah. Oleh itu tidak timbul soal dipaksa di sini.

Ketidakwajaran sikap ini juga boleh dihujahkan seperti berikut pula.

Pertama, undang-undang yang mewajibkan sumbangan kepada Mendaki pada dasarnya adalah satu yang baik kerana ia memenuhi maslahat umum masyarakat Islam:

  • Misi dan peranan Mendaki adalah sesuatu yang mulia dan baik di sisi agama. Saya tidak dapati apa-apa alasan untuk mengatakan bahawa misi dan peranan yang dimainkan oleh Mendaki sesuatu yang terlarang oleh agama dan tidak patut disokong.
  • Prinsip siayasah syariah (pembikinan dasar-dasar awam) dalam Islam membenarkan penggunaan mekanisme sumbangan wajib sebegini bagi menyokong usaha yang dapat mencapai maslahat umum masyarakat Islam.
  • Mekanisme potongan wajib sebegini mempunyai maslahat tersendiri berbanding kaedah pengumpulan dana cara biasa kerana ia menjimatkan kos dan membolehkan lebih banyak dana terkumpul untuk tujuan yang baik.
  • Kewujudan kelemahan dalam pelaksanaan polisi dan program tidak seharusnya menafikan misi dan peranan Mendaki yang diakui oleh agama. Ertinya ia tidak menyebabkan hukum melaksanakan sumbangan wajib menjadi tidak sah

Kedua, apabila sumbangan wajib ini dianggap sah di sisi agama, maka perbuatan mengungkit dan tidak menghalalkannya mengambil hukum yang seperti yang dinyatakan dalam ayat Al-Quran di atas.

Ketiga, ketidaksempurnaan, kelemahan dan kekurangan yang ada pada penerima sumbangan seseorang bukan satu alasan untuk seorang Muslim tidak berlaku ihsan dan bersedekah kepadanya. Hal ini boleh difahami dari maksud dan tafsiran firman Allah taala yang bermaksud:

“Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahwa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat (nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahwa Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al-Nur:22)

Menurut ahli tafsir, ayat ini merujuk kepada Abu Bakr r.a. Beliau mempunyai kerabat yang miskin. Atas dasar ihsan, beliau menampung kekurangan sumber kehidupannya melalui sumbangan yang berterusan. Tapi, kerabatnya ini kemudian terlibat dalam menyebarkan fitnah bahawa Aisyah r.a.(isteri nabi dan anak Abu Bakr r.a.) telah berzina. Di sebabkan marah terhadap kerabatnya ini, Abu Bakr r.a. bersumpah untuk tidak akan meneruskan bantuan kepada kerabatnya ini. Allah taala lalu menurunkan ayat di atas sebagai teguran. Setelah itu, Abu Bakr r.a. pun membatalkan sumpahnya dan meneruskan sumbangan kepada kerabatnya yang telah melakukan kesilapan kerana kelemahan diri.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, saya berpendapat perbuatan mengungkit dan tidak menghalalkan sumbangan tidak memudaratkan si penerima sumbangan itu, tapi sebenarnya memudaratkan si penyumbang berkenaan kerana merosakkan amal solehnya seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Dari apa yang saya huraikan, saya berharap para pegawai Mendaki tidak perlu rasa tertekan dan bimbang dengan komen-komen berkenaan i.e. bahawa mereka telah makan harta yang tidak halal.

Sebagaimana yang saya katakan, misi dan peranan Mendaki adalah baik dan sah di sisi agama. Jika kita ikhlas, dan berusaha melakukan sebaik mungkin, Allah pasti akan memberi ganjaran, walau apa pun penilaian manusia.

Akhir kata, janganlah pula ketidakwajaran dalam menyampaikan komen dan maklumbalas menyebabkan pihak Mendaki mengenepikan segala komen dan maklumbalas begitu sahaja kerana ia akan menafikan pula kita dari membuka ruang untuk membaiki diri.

Sekian, moga bermanfaat.