Pelajaran 12 – Nilai Kepimpinan Dalam Al-Fatihah

Allah taala berfirman

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ١

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢

ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ ٣

مَٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ٤

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ٥

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ ٦

صِرَٰطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ ٧

“Dengan nama Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang”

“Segala puji bagi Allah taala, Tuhan semesta alam. Maha pengasih lagi maha penyayang. Yang menguasai, hari pembalasan. Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka dan bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan pula (jalan) mereka yang sesat.” (Al-Fatihah : 1 – 7)

Pelajaran

1. Allah taala menyatakan sifat pengasih dan penyayang bagi Dia dahulu sebelum sifat kekuasaan. Begitulah para aktivis dakwah/pemimpin, ia harus mengutamakan sifat pengasih dan penyayang sebelum menonjolkan aspek kekuasaan yang ada padanya.

2. Allah taala bukan sekadar menuntut manusia agar beribadah (taat) kepadaNya tetapi juga terbuka untuk menerima aduan hamba-hambaNya. Bahkan dalam pelbagai hadits, Allah taala merasa gembira jika hamba-hambaNya meminta kepadaNya. Demikianlah aktivis dakwah/pemimpin, dia bukan hanya menuntut atau mengharap orang untuk mendengar seruannya atau laksanakan ajarannya tetapi juga haruslah bersedia untuk mendengar rintihan dan masalah orang lain atau berkhidmat untuk mereka.

3. Sesiapa pun yang memainkan peranan sebagai pemimpin khususnya para aktivis dakwah, dia memikul tangungjawab untuk membimbing pengikutnya ke jalan yang lurus. Aktivis dakwah/pemimpin bukan hanya mempunyai hak (ditaati, dihormati, kekuasaan) tetapi juga tanggungjawab (pengasih, berkhidmat kepada orang lain, membimbing ke jalan yang benar).

4. Allah taala mengajar kita agar mengikuti jalan orang yang baik dan juga menjauhi jalan orang yang jahat. Demikianlah juga aktivis dakwah/pemimpin bukan hanya menunjukkan kebaikan tetapi juga menunjukkan apa dia kejahatan.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.

Trackbacks

  1. […] article was originally written in Malay (see http://haniff.sg/dakwahalquran/petunjuk-12-nilai-kepimpinan-dalam-al-fatihah/). This English version was translated by sis. Azira. May God reward her for the […]