Pelajaran 14 – Wajib Menghormati Keyakinan Orang Lain

Allah taala berfirman

وَلَا تَسُبُّواْ ٱلَّذِينَ يَدۡعُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ فَيَسُبُّواْ ٱللَّهَ عَدۡوَۢا بِغَيۡرِ عِلۡمٖۗ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمۡ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرۡجِعُهُمۡ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ ١٠٨

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti (mereka) akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah, tempat kembali mereka lalu Dia memberitahukan mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Al-An`am : 108)

Pelajaran

1. Islam menganjurkan sikap hormat terhadap kepercayaan dan amalan agama lain. Walau pun, kita meyakini kebenaran agama kita dan keagungan Allah taala, namun ia bukan satu alasan untuk kita memperlekeh, mempersenda dan mempermainkan tuhan atau amalan atau kepercayaan penganut agama lain seperti mentertawakan kepercayaan Hantu Lapar masyarakat Cina atau mempersendakan rupa bentuk patung sembahan agama Hindu. Perbuatan sedemikian bukan hanya melanggar tata susila masyarakat umum tetapi juga menyebabkan orang lain akan memaki hamun Allah taala dan Islam pula.

2. Jika kita tidak suka orang lain mempermainkan agama kita, adalah satu kejahilan jika kita pula mempermainkan agama orang lain. Mempermainkan agama lain adalah satu dosa kerana melanggar perintah Allah taala.

3. Dalam proses ‘inter religious/culture engagement’, tidak perlu bersifat apologetik atau bermanis mulut dengan mengatakan semua agama adalah sama atau mengharapkan orang lain berpandangan sedemikian. Allah taala mengatakan ‘Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka’ yang bermaksud keyakinan setiap penganut agama bahawa agama mereka adalah benar dari yang lain adalah satu perkara yang wajar dan lumrah. Kita tidak perlu merasa marah terhadap orang Kristian yang mengatakan agama Kristian ialah agama sebenar dan yang betul kerana kita juga berkeyakinan sedemikian.

4. Asas pada keharmonian kehidupan beragama dan dialog antara agama bukan terletak pada pengiktirafan terhadap persamaan darjat semua agama tetapi pada keupayaan untuk menghormati dan bertoleransi terhadap agama lain walau pun kita meyakini kebenaran agama kita.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.