Pelajaran 16 – Jika Merajuk Di Jalan Dakwah…

Allah taala berfirman

وَإِنَّ يُونُسَ لَمِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ ١٣٩

إِذۡ أَبَقَ إِلَى ٱلۡفُلۡكِ ٱلۡمَشۡحُونِ ١٤٠

فَسَاهَمَ فَكَانَ مِنَ ٱلۡمُدۡحَضِينَ ١٤١

فَٱلۡتَقَمَهُ ٱلۡحُوتُ وَهُوَ مُلِيمٞ ١٤٢

فَلَوۡلَآ أَنَّهُۥ كَانَ مِنَ ٱلۡمُسَبِّحِينَ ١٤٣

لَلَبِثَ فِي بَطۡنِهِۦٓ إِلَىٰ يَوۡمِ يُبۡعَثُونَ ١٤٤

“Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul. (ingatlah) Ketika ia lari, ke kapal penuh muatan. Kemudian ia ikut berundi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah. Nescaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.” (Al-Saffat: 139-144)

Pelajaran

1. Ayat ini menceritakan kisah nabi Yunus yang meninggalkan kaumnya kerana kedegilan mereka. Di sebabkan nabi Yunus ‘lari’ dari kaumnya, Allah taala ‘menghukum’ dia dengan ditelan oleh ikan.

2. Melarikan diri dari medan dakwah semata-mata kerana mengikut perasaan tanpa pertimbangan terhadap maslahat adalah satu perbuatan yang boleh menarik kemurkaan Allah taala. Allah taala telah menyatakan bahawa sunnah dakwah ini akan penuh dengan kesukaran. Adalah menjadi kewajiban atas kita untuk memahami sunnah ini dan bersabar. Melarikan diri atau merajuk adalah petanda putus asa dan tidak disukai oleh Allah taala.

3. Adalah penting bagi kita untuk memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan hubungan dengan Allah taala sepanjang masa. Sehingga, jika kita melakukan kesalahan atau dosa, ibadah dan hubungannya yang rapat itu memelihara dirinya dari azab atau kemurkaan Allah taala, atau meringankan hukuman atas perbuatannya, atau menjadikan Allah taala lebih kasihan dari memurkainya.

4. Mereka yang dikasihi Allah taala mendapat keistimewaan untuk ditarbiyah oleh Allah taala secara langsung.

5. Jika ditakdirkan kita tercampak bersendirian, maka gunakanlah kesempatan itu untuk perbanyakkan zikir dan ibadah bagi bekal jalan dakwah selanjutnya.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.