Pelajaran 23 – Apabila Dikurniakan Kemenangan

Allah taala berfirman

إِذَا جَآءَ نَصۡرُ ٱللَّهِ وَٱلۡفَتۡحُ ١

وَرَأَيۡتَ ٱلنَّاسَ يَدۡخُلُونَ فِي دِينِ ٱللَّهِ أَفۡوَاجٗا ٢

فَسَبِّحۡ بِحَمۡدِ رَبِّكَ وَٱسۡتَغۡفِرۡهُۚ إِنَّهُۥ كَانَ تَوَّابَۢا ٣

“Apabila telah datang bantuan Allah dan kemenangan. Dan kau melihat manusia masuk ke agama Allah secara beramai-ramai. Maka Bertasbihlah dengan memuji Tuhan kamu dan pohonlah keampunan (beristighfar). Sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat.” (Al-Nasr : 1-3)

Pelajaran

1. Kemenangan dan kejayaan dalam usaha dakwah, apa pun projeknya, adalah datang dari Allah taala dan atas bantuanNya. Jangan sekali-kali lupa akan hakikat ini. Jangan sampai keseronokan dan kegembiraan dengan kejayaan mengkaburkan mata kita, sehingga kita hanya melihat usaha, penat lelah dan peluhnya sahaja dalam menjayakan projek dakwah. Sedangkan pada ketika tertekan kerana mengurus projek dakwah, doanya panjang memohon kemudahan dan bantuan Allah taala.

2. Namun nasr (bantuan) dan fath (kemenangan) dalam dakwah yang penting ialah apabila manusia masuk ke agama Allah beramai-ramai. Ini memberi indikasi bahawa inti pati kejayaan dakwah ialah kesannya terhadap manusia, bukan semata-mata dilihat pada kecanggihannya atau kelicinan pengurusannya. Berpada dengan kecanggihan dan kelicinan pengurusan dalam projek dakwah tanpa mengukur kesan dan sumbangannya kepada manusia akan menjadikan pendakwah tertipu dengan kerjanya.

3. Nasr (bantuan) Allah taala mendahului fath (kemenangan). Tanpa nasr (bantuan), tiada fath (kemenangan). Ramai manusia yang berusaha, hatta dalam perkara yang bercanggah dengan agama, dan berjaya. Namun kita bukan hanya mencari kejayaan tetapi kejayaan yang diperolehi dari bantuan Allah taala. Ini bermaksud bahawa dalam proses mencari kejayaan mestilah mengambil wasilah-wasilah yang sesuai dengan ajaran agama kerana bantuan Allah taala tidak akan disalurkan kecuali melalui wasilah sedemikian.

4. Allah taala mengajar adab apabila menerima kejayaan, iaitu banyak bertasbih dan beristighfar. Tasbih dan istighfar adalah lambang kesyukuran dan kerendahan diri. Kita diminta agar tawadhu’ dalam meraikan kejayaan. Anjuran bertasbih dan beristighfar mendidik pendakwah agar sentiasa mengekalkan hubungan yang baik dengan Allah taala sepanjang masa – waktu susah dan senang.

5. Dianjurkan bertasbih untuk mengakui bantuan Allah taala. Kenapa pula anjurkan istighfar? Sebagai manusia, akan melakukan kesilapan, sedar atau tidak, maka sebab itu kita dituntut agar beristighfar atas kesalahan samada kita tahu atau tidak. Bahkan anjuran istighfar itu menuntut kita untuk mengakui bahawa dia pasti ada melakukan kesilapan, walau pun tidak diketahui secara khusus. Dengan anjuran istighfar, ia menuntut kita untuk bermuhasabah kerana manusia disuruh beristighfar atas dosa. Oleh itu, dalam beristighfar akan mendorong untuk kita berfikir apakah kesilapan yang telah dia lakukan, untuk dipohon keampunannya dan untuk dibaiki.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.