Pelajaran 6 – Mengambil Kira Persepsi Umum

Allah taala berfirman

هُمُ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُواْ عَلَىٰ مَنۡ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّواْۗ وَلِلَّهِ خَزَآئِنُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ لَا يَفۡقَهُونَ ٧

“Mereka berkata ‘Sesugguhnya jika kita telah kembali (dari Perang Bani Mustaliq) ke Madinah, benar-benar orang yang kuat (Abdullah b Ubai dan kelompoknya) akan mengusir orang-orang yang lemah (Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabatnya)’. Padahal segala kemulian itu kepunyaan Allah, RasulNya dan orang-orang beriman tetapi orang-orang munafiq itu tidak mengetahui.” (Al-Munafiqun : 7)

Kata-kata di atas adalah tukilan dari kata-kata Abdullah b Ubai b Salul (ketua golongan Munafiqin) ketika dalam perjalanan pulang ke Madinah dari Perang Bani Mustaliq. Apabila kata-kata ini dilaporkan kepada Rasulullah s.a.w oleh sahabat yang mendengarnya, Umar r.a mencadangkan agar Abdullah b Ubai b Salul dibunuh sahaja. Rasulullah s.a.w melarangnya dengan kata-kata “Aku tidak mahu orang berkata Muhammad membunuh sahabatnya sendiri.”

Rujuk sebab turun ayat ini dalam buku tafsir.

Pelajaran

1. Memberi pertimbangan kepada pandangan manusia dan masyarakat terhadap tindakan kita adalah wajar dan pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sebagai sebahagian dari kebijaksanaan dalam melakukan dakwah.

2. Walau pun pertimbangan ini tidak wajib, tetapi kepentingannya bergantung dengan kecil atau besar maslahat yang perlu dijaga dalam mengambil kira pandangan orang lain. Semakin besar mudarat, jika tidak mengambil kira pandangan masyarakat, semakin penting pertimbangan terhadapnya.

3. Walau pun dakwah seharusnya bersifat mengislah (merubah) dan tidak konformis (conformist) tetapi mengabaikan sama sekali pandangan masyarakat terhadap tindakan kita adalah tidak wajar. Yang seperti itu, menggambarkan sikap kepala batu dan egoistik.

4. Sememangnya usaha dakwah tidak akan mampu untuk menjadikan semua pihak gembira dengan kita, maka sebab itu kita memerlukan bimbingan Allah taala dalam membuat pertimbangan seperti ini – bila perlu meraikan pandangan masyarakat dan bila tidak perlu. Untuk itu, hubungan yang rapat dengan Allah taala, doa yang berterusan, istikharah dalam membuat keputusan dan bersyura adalah satu keperluan bagi aktivis dakwah.

Dipetik dari buku Sampaikan Daripadaku… Klik di sini untuk maklumat buku.