Petunjuk 8 – Manusia Berbeza-Beza, Setiap Satu Ada Hukumnya

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka itu satu sama lain lindung-melindungi. Dan terhadap (terhadap) orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, maka tidak ada kewajiban sedikit pun atasmu melindungi mereka, sebelum mereka berhijrah. (Akan tetapi) jika mereka meminta pertolongan kepada mu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan kecuali terhadap kaum yang telah ada perjanjian antara kamu dnegan mereka. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

 

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad, dan orang-orang yang memberi tempat kediaman dan memberi pertolongan (kepada orang-orang Muhajirin), mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan rezeki (nikmat) yang mulia.

 

Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian berhijrah dan berjihad bersamamu, maka orang-orang golonganmu juga (juga). Orang-orang yang mempunyai kerabat itu sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (daripada yang bukan kerabat) di dalam Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Al-Anfaal : 72, 74 & 75)

 

Petunjuk-petunjuak

 

1. Allah taala menyebut beberapa kelompok orang beriman dalam kumpulan ayat ini

 

a. mereka yang beriman, berhijrah bersama nabi dan berjihad.

b. mereka yang memberi perlindungan kepada mereka yang berhijrah.

c. mereka yang tidak dapat berhijrah.

d. mereka yang berhijrah dan berjihad terkemudian.

e. mereka yang beriman dan mempunyai hubugan kerabat.

 

2. Setiap satu dari kelompok ini, Allah taala menyatakan kelebihan, hak dan tangungjawab masing-masing atau mempunyai hukum yang berbeza-beza.

 

3. Ini mengajar kita akan kepentingan untuk sentiasa melihat manusia sebagai kelompok-kelompok tertentu (human segmentation) yang setiap satu mempunyai karakteristik yang berbeza dan perlu dilayan dan diberi hukum yang berbeza.

 

4. Ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa hukum alam kehidupan manusia ialah mereka bukan makhluk yang homogenous – serupa dalam semua perkara. Kita haruslah sentiasa meraikan hakikat ini dalam berinteraksi dengan manusia. Orang beriman itu berbagai-bagai kedudukan dan orang kafir juga berbagai-bagai kedudukannya.

 

5. Kegagalan untuk memahami hakikat ini boleh menatijahkan pelaksanaan dakwah yang tidak berkesan bahkan boleh menimbulkan kemudaratan. Begitulah juga dalam memberi hukum secara sama rata (generalisation). Ia boleh menatijahkan hukum yang tidak wajar bagi sekelompok manusia.

 

6. Allah taala meraikan dan menerima semua orang beriman dalam keadaan perbezaan sumbangan dan peranan mereka, maka wajarlah kita mencontohiNya.

 

7. Dengan ini, badan dakwah haruslah mengambil iktibar bahawa dakwah haruslah bersifat inklusif – menerima sesiapa sahaja yang mahu beriman dan memainkan peranan dan meletakkan mereka ditempat yang sesuai, bukan ekslusif – mengkhusus hanya kepada kelompok tertentu sahaja. Lebih buruk lagi, jika badan dakwah secara sedar sentiasa berusaha menyisih (marginalising) orang lain.

 

8. Dakwah kita ialah menyeru kepada Islam yang hakiki dan meraikan kepelbagaian yang mungkin lahir darinya. Kita tidak menyeru manusia untuk hanya menjadi Umar (seorang yang berani) atau Abu Bakar (seorang yang taat

tanpa berbelah bahagi) atau Abu Zar (seorang yang zuhud) atau Abdul Rahman b. Auf (ahli niaga yang jutawan) tetapi sesiapa yang ingin menjadi seperti Umar, silakan dan siapa yang ingin menjadi Abu Zar, silakan dan sesiapa yang ingin menjadi Abdul Rahman b. Auf, silakan. Asal sahaja, tidak menjadi Abu Jahal, Abu Lahab, Firaun atau Namrud.