Piagam Kesederhanaan Dalam Beragama Di Singapura(1/2)

book  cover2

 

 

(Nota: Dipetik dan diubahsuai dari buku Kesederhanaan Dalam Islam Dalam Konteks Masyarakat Islam Singapura, terbitan Pergas, 2004)

Piagam ini bertujuan untuk mengemukakan butiran-butiran yang akan memandu kehidupan dan amalan beragama masyarakat Islam di Singapura agar sentiasa kekal dalam garis sederhana.
Pendahuluan

Islam menganjurkan sikap kesederhanaan. Pelampauan adalah bertentangan dengan kesederhanaan. Pelampauan menatijahkan pelbagai kesan buruk kepada individu, keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Dengan perkembangan teknologi maklumat yang mewujudkan persekitaran terbuka dalam berkomunikasi, usaha untuk memastikan masyarakat berada di atas garis kesederhanaan semakin mendesak. Oleh itu, satu langkah proaktif perlu di buat sebelum keadaan menjadi memburuk.

Piagam Kesederhanaan Dalam Beragama adalah salah satu inisiatif yang dibuat untuk meletakkan standard kesederhanaan dalam beragama bagi masyarakat agar ia tidak menjadi kabur dan samar-samar.

Dengan kejelasan ini memudahkan bagi usaha pendidikan awam dan pengawalan. Ia juga memudahkan usaha untuk mendekatkan pelbagai perbezaan yang wujud yang kadangkala boleh menjerumuskan pelbagai pihak dalam pertelingkahan yang melampau.

Piagam ini dilakarkan bukan hanya bagi menangani persoalan kesederhanaan dalam rangka hubungan masyarakat Islam dan bukan Islam tetapi yang lebih utama ialah untuk mengukuhkan kesederhanaan dalam hubungan dalaman sesama umat Islam.

Kita berpendapat adalah penting bagi masyarakat Islam untuk mampu bersederhana sesama mereka sebelum bersederhana dengan orang lain. Namun yang lebih penting ialah, masyarakat Islam memerlukan kesatuan dalam kesederhanaan bagi menangani cabaran akan masa hadapan yang amat besar.

Kita mesti belajar dari apa yang berlaku di luar negara dan dari realiti umat Islam di dunia bahawa antara musibah utama umat Islam bukanlah terletak pada kekurangan sumber dari segala segi tetapi ialah kesatuan untuk menangani masalah bersama dan untuk saling bantu membantu antara satu sama lain.

Sememangnya keadaan masyarakat Islam di Singapura boleh dikatakan lebih baik tetapi kita tidak boleh mengambil mudah dan menanti keadaan buruk berlaku untuk bertindak. Kita meyakini arus kebangkitan Islam akan terus meningkat dan peningkatan penghayatan beragama dan pengamalannya akan turut meningkat dan semakin ketara.

Hal ini menjadikan agama Islam menjadi semakin penting dalam kehidupan masyarakat Islam. Lebih ramai manusia yang akan melihat sesuatu isu dari perspektif agama, lebih ramai yang mencari pandangan agama dalam persoalan hidup, lebih ramai yang akan kehadapan menyuarakan pandangan dengan mengambilkira ajaran agama dan lebih ramai yang akan kehadapan berusaha untuk memajukan aspirasi agama.

Tanpa batas-batas yang jelas yang memisahkan antara kesederhanaan dan pelampauan, kemungkinan untuk berlaku pertembungan-pertembungan yang mengakibatkan perselisihan dan salah faham antara anggota masyakarat Islam dan bukan Islam dan antara sesama masyarakat Islam.
Pernyataan Polisi

Islam mendokong kesederhanaan dalam aqidah, ibadah, muamalah dan dakwah.

Apa jua tindakan dan amalan dalam Islam yang dilakukan oleh individu, institusi atau masyarakat umumnya mestilah jauh dari segala bentuk pelampauan.

Sikap melampau ialah tindakan yang melebihi dari apa yang sepatutnya dilaksanakan, baik dari segi syara’, adat atau rasional. Ini melibatkan ciri-ciri berikut:

1. Menafsir nas dengan penafsiran yang ketat dan bercanggah dengan karakter syariat dan tujuan dasarnya sehingga menyukarkan dirinya dan orang lain.

2. Bertakalluf dalam mendalami pengertian-pengertian wahyu dengan cara yang tidak ditaklifkan terhadap seorang Muslim.

3. Mewajibkan atas diri atau orang lain dengan apa yang tidak diwajibkan oleh Allah Ta`ala baik dari segi ibadah atau lain-lain, walaupun amalan berkenaan mempunyai anjuran dalam Islam[1].

4. Mengharamkan atau melarang perkara yang dihalalkan oleh Allah Ta`ala atas tujuan beribadah.

5. Meninggalkan perkara-perkara yang bersifat dharuri dalam kehidupan atau sebahagian darinya seperti tidak mahu makan, minum, tidur, nikah atas dasar beribadah.

6. Berlebihan dalam menyanjung seseorang dan mencela seseorang.

Piagam Kesederhanaan Dalam Beragama

Berikut adalah pendirian yang perlu diambil bagi menjamin kesederhanaan dalam dakwah;

1. Kita beriltizam untuk menghormati prinsip-prinsip demokrasi dalam kehidupan bermasyarakat dan dalam memajukan aspirasi masyarakat Islam. Atas dasar itu juga, kita beriltizam untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan aturan dalam tindak tanduk kita.

2. Kita beriltizam untuk sentiasa memelihara keamanan dan tidak menggunakan jalan-jalan kekerasan dan pengganasan dalam amalan beragama dan dalam menyampaikan aspirasi kita. Kita memahami jihad dalam erti kata yang luas. Jihad bersenjata hanya ke atas mereka yang memerangi kita.

3. Kepelbagaian adalah sebahagian dari lumrah alam yang diciptakan Allah Ta`ala, maka kita menghadapinya dengan sikap yang positif. Kita tidak memusuhi perbezaan dan kepelbagaian dalam apa jua bentuk samada agama, bangsa atau budaya. Kita berhasrat untuk menjalin hubungan dengan kepelbagaian ini atas dasar keamanan dan keharmonian hidup bersama. Hubungan kita dengan atas dasar saling hormat menghormati dan keinginan untuk memupuk kefahaman, toleransi dan keyakinan terhadap satu sama lain.

4. Kita beriman bahawa Islam adalah satu cara hidup yang komprehensif dan kita menolak pemisahan antara urusan dunia dan agama. Namun kita menanggapi secara positif negara sekular yang menjamin kebebasan beragama, mengakui peranan positif agama dalam pembangunan masyarakat, tidak berusaha untuk menyisih peranan agama dan ia adalah wadah yang neutral bagi menjamin keharmonian hidup bermasyarakat dan beragama. Ia adalah pilihan yang praktikal bagi realiti masyarakat minoriti Islam Singapura.

5. Kita mencintai tanahair ini dan berkepentingan untuk bersama memajukannya dan memastikan ia terus membangun dan makmur dalam segala bidang di bawah panduan prinsip agama kita. Kita menerima sifat kesingapuraan seiring dengan identiti bangsa dan agama kita. Kepelbagaian identiti ini pastinya akan menimbulkan percanggahan dalam keadaan tertentu, namun kita beriltizam untuk mencari titik pertemuan bagi kesemuanya secara saksama. Apa jua perbezaan akan ditangani sejajar dengan prinsip demokrasi, mengikut lunas undang-undang dan melalui proses yang aman.

…….. bersambung di sini

[1] Pertimbangan di sini berkaitan dengan kemampuan individu atau kumpulan berkenaan atau masyarakat secara umum atau pertimbangan maslahat dan mudarat yang lain.