Sekadar berkongsi – Majalah Internet khusus bagi belia Islam (Berita Harian, 14 Sep. 2007)

Boleh dimuat turun secara percuma dengan tujuan tarik belia ke masjid

Oleh Nadzri Eunos

 

DENGAN penggunaan media baru seperti catatan (blog) dan video siber seperti YouTube semakin berleluasa di kalangan belia, majalah elektronik atau e-majalah menjadi wadah semula jadi bagi mendekati golongan tersebut.

 

Justeru, sebuah e-majalah bulanan bertajuk La Mezquita (sempena nama sebuah masjid di selatan Sepanyol) yang disasarkan khusus untuk belia Islam telah dilancarkan baru-baru ini.

E-majalah terbitan syarikat setempat, Alnitak, itu bertujuan menjadi wadah hubungan belia yang secara tidak langsung menyuntik nilai-nilai keislaman, khususnya mendekatkan belia kepada masjid, dalam suasana santai dan tidak formal.

 

Menjelaskan demikian, editor La Mezquita, Encik Muhammad Kamit, 23 tahun, berkata buat masa ini kandungan e-majalah itu lebih cenderung kepada kegiatan dan isu-isu setempat.

Namun, dengan jangkauan sejagat Internet, kandungan itu dijangka berkembang dari masa ke masa.

 

‘E-majalah sekarang menjadi antara media utama yang semakin digemari di Internet.

‘Ini kerana berbeza daripada majalah tradisional, ia boleh memanfaatkan media-media baru seperti video dan juga blog. Ia juga mudah diakses dan hanya perlu dimuat turun. Lebih penting lagi, ia adalah percuma,’ jelas Encik Muhammad, lulusan Nanyang Politeknik dalam bidang Kejuruteraan Maklumat.

 

La Mezquita memuatkan pelbagai jenis kandungan – daripada hiburan, pelajaran bahasa Arab lengkap dengan video dan catatan video hinggalah kepada laporan kegiatan masjid.

Sebuah laman blog juga disediakan untuk pengunjung berbincang dalam talian.

‘Sejauh ini, La Mezquita telah dimuat turun lebih 750 kali.

 

‘Lebih menarik lagi ialah ia dimuat turun oleh pengguna Internet di serata negara dunia termasuk Turkey, Australia, Mesir, Amerika Syarikat dan Bosnia,’ kata Encik Muhammad.

Beliau berkata e-majalah tersebut diusahakan bersama oleh sekumpulan kakitangan Alnitak yang mendapat sokongan daripada beberapa teman.

 

‘Sesuatu yang menarik mengenai majalah ini ialah kami menerima sumbangan mana-mana pihak.

 

‘Misalnya, sekiranya pertubuhan-pertubuhan setempat ada kegiatan yang ingin diwartakan, mereka boleh menghubungi kami,’ tambah Encik Muhammad.

 

Majalah La Mezquita boleh dimuat turun secara percuma di laman web lamezquita.alnitak.com.sg.

 

Ia diterbitkan pada 7 hari bulan setiap bulan.