Sekadar berkongsi – Penangkapan Terbaru Bukti Perlu Lebih Giat Kawal Pengaruh Internet (Berita Harian (Singapura), 25 Jan 2008)

Oleh
Azahar Mohd

 

TERBONGKARNYA kes tiga belia Muslim Singapura yang dipengaruhi fahaman radikal di Internet menunjukkan betapa besarnya pengaruh Internet dalam membentuk dan mempengaruhi pemikiran golongan lebih muda.

 

Walaupun usaha pencegahan adalah sukar, usaha bagi memastikan golongan muda sedar tentang bahaya pengaruh radikal di Internet masih perlu terus digiatkan.

 

Demikian rata-rata pandangan sebilangan warga Singapura Islam yang diminta mengulas kes tiga warga muda itu – Muhammad Zamri Abdullah, Maksham Mohd Shah dan Mohammad Taufik Andjah Asmara – yang kesemuanya berumur 26 tahun.

 

Pada pertengahan tahun lalu, terdedah kes seorang lulusan undang-undang dan pensyarah, Abdul Basheer Abdul Kader, 28 tahun. Dia menjadi radikal selepas terpengaruh oleh propaganda ganas di Internet.

 

Ustaz Muhammad Haniff Hassan, siswazah program kedoktoran di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), berkata mereka yang terpengaruh dengan ideologi kumpulan pengganas itu sememangnya ramai daripada kalangan anak-anak muda.

 

‘Ini mempunyai kaitan dengan media yang digunakan oleh kumpulan pengganas dalam mempropagandakan ideologi mereka iaitu melalui Internet dan teknologi digital yang mana anak-anak muda lebih berkemahiran dan gemar untuk menggunakannya,’ ujarnya.

 

Menurut Ustaz Muhammad Haniff, agak sukar untuk menghapuskan pengaruh radikal ini kerana keadaan politik antarabangsa yang bergolak menyumbang kepada radikalisasi dan wadah Internet yang menjadi wadah propaganda utama, tidak dapat dikawal.

 

Ustaz Mohamed Ali, seorang penyelidik isu pengganasan dan anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), berkata berita penangkapan itu tidak sekali-kali menunjukkan bahawa usaha RRG, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan badan-badan Islam yang lain tidak berkesan.

 

‘Bagaimanapun, memandangkan ideologi ganas ini merupakan satu cabaran besar dan baru bagi kita di sini, kita perlu menggiatkan lagi usaha kita.

 

‘Antaranya adalah mempertingkatkan pendidikan di peringkat sekolah rendah hingga menengah dan membaik pulih laman-laman web yang memerangi fahaman radikal supaya ia lebih menarik.

 

‘Lebih baik lagi sekiranya kita mampu membangunkan teknologi atau satu sistem yang tuntas yang dapat mengesan dan menjaring laman-laman web radikal seperti yang dilakukan bagi laman web lucah,’ ujarnya lagi.

 

Anggota Parlimen GRC Jurong, Cik Halimah Yacob, berkata walaupun sukar untuk menghalang orang ramai daripada mengakses laman web yang radikal, usaha memerangi ajaran sedemikian perlu diteruskan.

 

‘Umat Islam tahu bahawa fahaman radikal tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

‘Mujurlah tindakan golongan kecil ini tidak mewakili penduduk majoriti lain yang cintakan keamanan,’ ujar beliau lagi.

 

Mengulas pula mengenai pembebasan lima tahanan JI dan seorang tahanan anggota Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Presiden Persatuan Bertindak Ginjal bagi Masyarakat Islam (Persatuan MKAC), Encik Ameerali Abdeali, pula berkata beliau gembira tahanan itu diberi peluang kembali ke pangkuan masyarakat.

 

‘Mereka yang terpengaruh dengan fahaman radikal mungkin mahu melancarkan jihad di negara-negara seperti di Afghanistan dan Iraq.

 

‘Padahal jihad yang lebih besar ialah dalam menjalankan amanah seperti menjaga keluarga dan memastikan kita berusaha mencapai kemaslahatan di Singapura,’ ujarnya lagi.