Tujuan Dakwah Tidak Dicapai Dengan Zam.. Zam.. Ala Kazam…

Allah taala mencipta alam ini berserta dengan aturannya – sunnah alam semula jadi.

 

Termasuk dalam sunnah alam ialah setiap satu perkara hanya berlaku apabila tiba masanya. Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada ketentuan masanya” (Ar-Ra`ad : 38)

 

Masa untuk berlaku satu perkara pula hanya tiba apabila sebab-sebab yang membolehkan perkara itu berlaku terpenuhi. Sebab-sebab ini pula tidak tercapai dengan sendiri tetapi harus melalui usaha yang mengikut sunnah alam juga. Umumnya, sebab-sebab ini pula tidak tercapai secara mendadak tetapi melalui proses evolusi (tiada kena mengena dengan Teori Evolusi Darwin) dan bertahap-tahap.

 

Hatta Allah taala sekalipun melaksanakan kehendakNya dengan berdasarkan aturan tertentu, walau pun hakikatnya Beliau tidak berkewajiban untuk tunduk pada aturan itu tetapi sebagai contoh dan pengajaran kepada kita semua.

 

Apabila orang-orang kafir mencabar para rasul di zaman dahulu untuk menurunkan azab ke atas mereka sebagai bukti kebenaran dakwah mereka, Allah taala tidak terus sahaja menurunkan azab itu semata-mata kerana dicabar kerana masanya belum tiba dan syarat-syarat untuk menurunkan azab belum dipenuhi. Dalam hal ini Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan mereka meminta kau agar mempercepatkan azab, jika tidak kerana masa yang telah ditentukan, nescaya akan datang azab ke atas mereka.” (Al-Ankabut : 53)

 

Apabila Allah taala ingin menyelamatkan nabi Nuh dari azab banjir yang akan diturunkan ke atas kaumnya, Allah taala memerintahkan dia untuk membina kapal yang besar. Pada ketika itu nabi Nuh sudah menjangkau usia tua, tidak mempunyai pengikut yang ramai untuk membantunya dan tiada pula pengalaman dalam pembuatan kapal. Mengapakah Allah tidak sahaja menyelamatkannya begitu sahaja tanpa perlu bersusah payah membina kapal? Tidakkah Allah taala berkuasa untuk menerbangkan nabi Nuh dan kaumnya yang beriman sekelip mata sahaja ke tempat lain? Jawabannya ialah kerana Allah taala ingin mengajar nabi Nuh dan kita semua bahawa usaha menegakkan agama ini juga harus mengikuti sunnah alam. Perjuangan menegakkan agama ini tidak boleh dilakukan mengikut pertimbangan magic. Walau pun, Islam adalah agama yang benar dan dijanjikan bantuan dari Allah taala Yang Maha Perkasa tetapi apa jua yang hendak dicapai dari perjuangan ini haruslah dirancang dan melalui proses yang sejajar dengan aturan semula jadi dan pertimbangan logik yang munasabah.

 

Apabila Allah taala mengutus nabi Muhammad s.a.w, Dia boleh sahaja menjadikan semua manusia yang mendengar dakwahnya beriman tanpa melalui proses dakwah selama 23 tahun. Ditinjau dari hakikat bahawa nabi Muhammad s.a.w adalah makhluk yang paling dikasihi oleh Allah taala, sewajarnya usaha dakwah beliau dipermudahkan sahaja. Namun, ini tidak berlaku kerana yang seperti tidak sejajar dengan sunnah alam.

 

Apabila usaha dakwah dilakukan tanpa memberi pertimbangan aspek sebab dan musabab dan kesesuaian masa, maka akan berlakukah kemudaratan dan kesan-kesan buruknya. Mencapai sesuatu tanpa menyediakan sebab musabab yang diperlukan, bererti kita memaksakan sesuatu ke atas alam ini. Natijahnya usaha itu akan kalah kerana tiada siapa yang melawan sunnah alam ini kecuali dia akan kalah. Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadits yang bermaksud

 

“Sesungguhnya agama ini tidak dipersulitkan kecuali, ia akan mengalahkan dia (orang yang mempersulitkan dalam urusan agama).”

 

Begitulah perspektif kita dalam pelbagai perkara yang hendak kita capai dalam usaha dakwah ini. Kita mahu melihat anak-anak perempuan kita memakai tudung di sekolah pemerintah, kita mahu melihat Mahkamah Syariah berfungsi lebih dari hanya mengatur kes-kes rumahtangga dan harta warisan, kita mahu melihat Islam mendasari keadilan sosial, kita mahu melihat institusi kewangan Islam bagi mengelak dari amalan riba, kita mahu melihat media Islam bagi memaparkan erti liputan media yang adil dan bermoral, kita mahu melihat sebuah madrasah yang bukan hanya melahirkan asatizah tetapi karyawaan yang cemerlang dan banyak lagi, tetapi semua ini hanya akan tercapai jika masanya telah tiba. masa itu akan tiba pula, jika kita telah memenuhi segala pra-syarat dan sebab musababnya. Kesemua itu harus pula diusahakan secara bertahap-tahap.

 

Sememangnya kita beriman akan kewujudan mukjizat dan karamah dari Allah taala. Namun janganlah pula keimanan dalam persoalan ini mempercepatkan sesuatu yang belum tiba masanya dengan sangkaan bahawa, insyaAllah, Allah taala akan menurunkan karamah kepada usaha kita.

 

Karamah adalah pemberian Allah taala yang tidak berada dalam kawalan kita. Oleh itu, ia tidak menjadi faktor dalam perancangan dakwah kita. Walau pun kita sentiasa berdoa agar Allah taala membantu usaha kita.

 

Adalah menjadi kesilapan jika kita melakukan yang secara logik tidak sejajar dengan sunnah alam dengan andaian bahawa Allah taala akan membantu kita sebagaimana Dia membantu nabi Musa dengan membelah laut dan nabi Ibrahim dengan menyejukkan api. Nabi Musa a.s tidak merancang membawa lari bani Israil dengan andaian Allah taala akan membelah laut baginya tetapi apabila ia terperangkan dengan situasi terdesak sedemikian, dia berdoa pasrah kepadaNya. Nabi Muhammad s.a.w tidak merancang hijrahnya secara magic tetapi semuanya mengikut pertimbangan yang sejajar dengan lumrah alam.

 

Bukan tujuan dari penulisan ini untuk menjadikan kita para pendakwah kelompok yang pasif dan submisif kepada keadaan. Apa yang dimaksud ialah, jika kita mempunyai cita-cita dan ingin mengubah keadaan, kita perlu kenalpasti apakah keperluan bagi merealisasikan perkara itu mengikut pertimbangan rasional dan berusaha keras untuk memenuhinya. Cepat atau lambat bagi merealisasikan perkara itu tertakluk kepada banyak mana komitmen dan pengorbanan yang kita beri. Jika kita beri sedikit maka lambatlah perkara itu tercapai dan jauhlah perjalanan.

 

Allah taala mencipta setiap sesuatu mempunyai ekologi (ecology). Begitulah juga dakwah, ia harus dioperasikan mengikut ekologinya. Setiap satu makhluk mempunyai ekologi tersendiri. Maka dakwah juga mempunyai ekologi yang berbeza tertakluk di mana ia berada. Jika hukum ekologi ini dilanggar, dakwah boleh pupus dan menyebabkan kesukaran.

 

Kita wajib berusaha sebaik mungkin dan bersabar atas aspirasi yang belum tercapai kerana sebab musabab yang belum dipenuhi. Sesungguhnya bersabar yang sedemikian itu, sama dengan redha terhadap ketentuan Allah taala.