Dakwah Kita : Penuh Hormat, Sopan, Menjaga Kemuliaan Orang, Jauh Dari Gelaran-Gelaran Yang Buruk

 

 

Oleh Muhammad Haniff Hassan

 

Islam menganjurkan dakwah secara berhikmah. Allah taala berfirman yang bermaksud

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan contoh yang baik dan berdebatlah dengan cara yang terbaik.” (An-Nahl : 125)

Hikmah tidak semestinya dengan cara yang lembut. Ia boleh juga meliputi tindakan tegas dan keras. Ini kerana Allah taala membolehkan sikap tegas dalam keadaan tertentu. Allah taala berfirman yang bermaksud

“Muhammad adalah Rasulullah. Dan mereka yang bersamanya amat tegas terhadap orang-orang kafir dan amat pengasih sesama mereka….” (Al-Fath : 29)

Hikmah ialah meletakkan sesuatu sesuai dengan keadaan yang menimbulkan natijah yang baik kepada dakwah. Yang pasti, hikmah tidak meliputi sikap biadab dan kurang sopan.

Termasuk dalam biadab dan kurang sopan dalam dakwah ialah tidak mengiktiraf kedudukan, pangkat dan kebangsawanan seseorang dengan perlakuan yang merendahkan dan menghina orang berkenaan dalam komunikasi dakwah kita dengannya.

Islam sememangnya menganjurkan kita berkata benar kepada pemerintah yang zalim. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

“Sebaik-baik jihad ialah berkata benar di hadapan pemimpin yang menyeleweng.” (Riwayat Abu Daud)

Berkata benar bukan bererti dengan cara yang kasar dan tanpa adab kesopanan. Kezaliman seseorang bukan alasan untuk tidak menghormati kedudukan seseorang. Allah taala berfirman yang bermaksud

“Dan janganlah kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kau tidak berlaku adil terhadap mereka. Berlaku adillah. Ia lebih hampir kepada ketakwaan.” (Al-Maidah : 8)

Ayat ini boleh difahami bahawa kejahatan seseorang ke atas kita, bukan alasan untuk kita bersikap tidak sopan terhadapnya atau menafikan penghormatan yang ia layak terima ke atas kedudukannya.

Bahkan dalam ayat lain, Allah taala menganjurkan Rasulullah s.a.w membalas sesuatu perlakuan dengan perlakuan yang lebih baik lagi. Firma Allah taala yang bermaksud

“Tolaklah kejahatan dengan sesuatu yang lebih baik” (Al-Mukminun : 96)

Lihat juga firman Allah taala di Fussilat : 24.

Dalam dakwah, Islam menganjurkan agar kita menghormati kedudukan orang lain. Lihatlah bagaimana nabi Musa berkomunikasi dengan Firaun melalui firman Allah taala yang bermaksud

“Dan berkata Musa, Wahai Firaun! Sesungguhnya aku adalah seorang utusan dari Tuhan sekalian alam.” (Al-A’araf : 104)

Firaun bukanlah nama bagi raja Mesir tetapi adalah gelaran bagi raja yang memerintah Mesir. Musa memanggilnya dengan gelaran dan kedudukannya yang mulia dalam berdakwah kepada Firaun. Begitu juga Allah taala. Ia membahasakan raja Mesir ketika itu dengan kedudukannya yang mulia bukan dengan panggilan yang menghina.

Walau pun Firaun itu sombong, jahat dan zalim, namun Allah tetap memerintahkan Musa agar berdakwah dengannya dengan cara yang baik dan lunak. Firman Allah taala yang bermaksud

“Pergilah kepada Firaun kerana sesungguhnya ia telah derhaka. Berkatalah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang baik. Moga-moga ia beringat atau takut.” (Taha : 43)

Lihatlah bagaimana Rasulullah s.a.w membahasakan raja-raja di dalam suratnya kepada mereka.

“Ini adalah surat dari Muhammad yang menjadi nabi kepada Najasyi pemerintah agung negeri Habsyah. Selamat sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk ….”

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Daripada Muhammad, hamba Allah dan RasulNya kepada Muqauqis, pemerintah agung orang-orang Qibti…”

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Daripada Muhammad, hamba Allah dan RasulNya kepada Kisra, pemerintah agung negeri Parsi…”

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Daripada Muhammad, hamba Allah dan RasulNya kepada Hercules, pemerintah agung negeri Rum…”

Lihat kitab-kitab sirah mengenai surat Rasulullah s.a.w kepada para pembesar.

Dalam ke semua surat-surat ini, Rasulullah menyebut nama raja-raja berkenaan bersama dengan kedudukan dan pujian yang mulia di samping memberi ucap selamat terhadap mereka.

Jika kita membaca hadits, kita akan dapati Rasulullah s.a.w sentiasa memanggil orang-orang kafir yang berkomunikasi dengannya dengan gelaran mereka yang disukai dan baik. Lihat tafsir dan Asbabun Nuzul bagi Al-Qalam : 10 – 15.

Jika kita meletakkan diri kita pada perspektif orang-orang Kristian, kita sebenarnya adalah kafir. Apakah kita suka jika dipanggil kafir oleh orang Kristian? Apakah kita akan menyahut seruan dakwah Kristian jika kita dibahasakan dengan panggilan kafir?? Pastinya tidak!!!

Jika sedemikian, apakah wajar kita memanggil seseorang dengan panggilan kafir untuk menerangkan pandangan Islam kepadanya?? Apabila Allah taala menggunakan perkataan kafir dan musyrik, ia mempunyai tujuan-tujuan lain antaranya ialah untuk membezakan antara orang Islam dan orang kafir dan musyrik. Lagi pula Al-Quran bukan hanya difahami begitu sahaja tetapi ia memerlukan pentafsiran dari sunnah Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w tidak pernah atau jarang sekali membahasakan seseorang atau kumpulan tertentu secara khusus dengan gelaran kafir dan komunikasinya. Lihat dalil-dalil yang dinyatakan di atas.

Kita sememangnya dituntut untuk mengkufurkan kekufuran dari segi hukum tetapi bukan bermakna membahasakan seseorang dengan kafir dalam komunikasi.

Dasar yang sama juga berlaku dalam kata-kata munafiq dan fasiq. Allah taala berfirman yang bermaksud

“Wahai orang-orang beriman! Janganlah satu kaum mentertawakan satu kaum yang lain. Boleh jadi kaum itu (yang ditertawakan) lebih baik dari mereka. Dan janganlah kaum wanita mentertawakan kaum wanita yang lain. Boleh jadi kaum wanita berkenaan (yang ditertawakan) lebih baik dari mereka. Dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan fasiq (yang buruk) setelah beriman. Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itu orang-orang yang zalim.” (Al-Hujurat : 11)

Jika kepada orang kafir tidak wajar membahasakannya dengan panggilan kafir, munafiq dan fasiq apatah lagi kepada sesama muslim. Mengaitkan individu muslim dengan sifat kafir, munafiq dan fasiq adalah sesuatu yang berat. Rasulullah s.a.w bersabda yang bemaksud

“Barang siapa berkata kepada saudaranya; hai kafir! sesungguh berlakulah kafir itu kepada salah seorang dari keduanya .” (Riwayat Al Bukhari)
Kenapa???? Kerana bukan adab Islam mengkhususkan panggilan-panggilan berkenaan secara khusus kepada individu.

Sekiranya Allah taala menganjurkan ihsan (lunak dan tidak menyakitkan) ketika melakukan penyembelihan dan pembunuhan, bagaimana mungkin berdakwah secara kurang sopan dan menyakitkan hati dapat dibenarkan???