Dalam Menikmati Kemudahan & Keperluan Asas Hidup

Ramai di antara kita pernah mengalami pengalaman untuk melanggan khidmat internet, telefon bimbit, kelui dan mempertingkat telefon bimbit kepada dual band.

 

Dalam ke semua pengalaman itu, penulis merasa kagum akan kelicinan dan kemudahan urusan untuk mendapatkan khidmat teknologi canggih hari ini.

 

Untuk mendapatkan khidmat internet (tolak masa menunggu/beratur), penulis hanya perlu menyerahkan borang dan kad pengenalan sahaja. Dalam tempoh sepuluh minit sahaja, penulis diberi Internet Tools Kit yang sedia untuk di download ke komputer. Penulis memerlukan sekitar sepuluh minit lagi untuk download dan set up komputer yang digunakan, lalu terus boleh melungsur alam maya tanpa banyak kesukaran.

 

Untuk mendapatkan khidmat telefon bimbit, penulis hanya perlu menyerahkan kad pengenalan. Borang diisikan oleh pegawai jualan dan lima minit setelah itu, telefon bimbit yang dibeli sudah sedia untuk digunakan untuk menghubungi sesiapa sahaja di merata dunia. Untuk mempertingkatkan kad SIM telefon bimbit kepada dual band, sekali lagi urusan hanya mengambil lima minit sahaja. Pegawai yang bertugas hanya perlu membuat panggilan dan mengetik sesuatu ke komputer dan kad SIM yang sedia ada telah dipertingkatkan kepada dual band berserta telefon yang baru.

 

Alat komunikasi telefon dan internet menjadi begitu penting hari ini sehingga menjadi seolah-olah sebahagian dari kemudahan asasi bagi kehidupan. Usaha bagi mewujudkan kemudahan telefon bimbit, kelui dan internet untuk kegunaan pengguna pula bukanlah mudah dan ringkas. Bilion dolar dibelanjakan untuk tujuan ini yang mengambil perancangan yang lama dan tenaga yang banyak. Namun akhirnya, pengguna seperti kita hanya memerlukan beberapa minit sahaja untuk menikmati kemudahan berkenaan.

 

Cuba bayangkan betapa kompleks sistem pengurusan sebuah bank. Bayangkan juga kerumitan bagi menyiapkan sistem berkenaan, pelaburan masa, wang dan tenaga pula. Namun berapa lamakah diperlukan bagi kita hari ini untuk membuka akaun, menyimpan dan mengeluarkan wang, di luar waktu sibuk (tolak masa menunggu dan beratur). Dalam konteks Singapura sebagai pusat kewangan dan perniagaan, bank juga adalah satu khidmat dan kemudahan asasi.

 

Kita telah meyakini akan kepentingan Islam bagi kesejahteraan hidup manusia. Islam sebagai satu cara hidup adalah satu perkara yang asasi bagi manusia untuk satu kehidupan yang sejahtera.

 

Dakwah adalah wasilah bagi bagi ‘menjual dan memasarkan’ kepada manusia ‘keperluan asasi’ ini. Gerakan dakwah secara khusus dan umat Islam secara umum sebenarnya adalah syarikat yang menawarkan ‘keperluan asasi’ ini. Para pendakwah bahkan umat Islam semuanya pula ialah jurujual dan pekerja bagi syarikat berkenaan.

 

Dalam kita sebagai pengguna menikmati segala kelicinan dan kemudahan untuk menikmati kemudahan asas kehidupan kita dari syarikat-syarikat berkenaan, kita bertanya kepada diri sebagai pendakwah dan penggerak gerakan dakwah sejauh mana kita telah melicinkan manusia untuk memperoleh Islam sebagai bahan keperluan asasi hidup.

 

Melaksanakan dakwah dan menawarkan program-programnya pada masyarakat juga rumit, serumit untuk menyiapkan segala keperluan bagi menyediakan khidmat telefon bimbit dan internet. Persoalannya ialah apakah yang telah kita lakukan untuk menyembunyikan segala kesulitan itu dari manusia sebagai pengguna sehingga ia dapat memperoleh khidmat dakwah ini dengan mudah, licin dan mesra.

 

Dalam persekitaran seperti ini, ia benar-benar mewujudkan cabaran bagi para pendakwah dan gerakan dakwah. Islam adalah keperluan asasi hidup yang lebih penting bagi manusia dari keperluan yang lain. Oleh itu, manusia seharusnya dipermudahkan semudah-mudahnya bagi memperolehi keperluan ini.

 

Khidmat-khidmat yang disediakan bagi membolehkan manusia memperoleh ‘keperluan’ ini haruslah bersifat mudah, licin dan mesra. Walau pun disebaliknya adalah perancangan dan pengurusan yang merumitkan.

 

Dalam persekitaran seperti ini, gerakan dakwah yang meneriakkan Islam adalah satu cara hidup, Islam adalah penyelesaian, Islam agama yang relevan sepanjang masa dan zaman tercabar untuk menyaingi kecekapan dan keberkesanan dalam khidmat untuk menawarkan ‘keperluan asasi hidup’ ini kerana ia akan sentiasa dibandingkan dengan organisasi-organisasi lain yang menawarkan kemudahan asasi hidup yang lain.

 

Fikirkan!!!! Adakah anda akan melanggan khidmat sebuah syarikat sekiranya jurujualnya membentak-bentak dan meneriak-neriak dengan wajah yang bengis untuk meyakinkan kebaikan barangannya?? Adakah anda akan melanggan khidmat syarikat yang memerlukan anda untuk beratur lama sedangkan di sana ada syarikat yang menyediakan khidmat yang murah dan memudahkan??

 

Siapakah yang akan datang untuk memperolehi khidmat dari kita, jika proses untuk mendapatkan khidmat itu rumit, lembap dan penuh birokrasi??

 

Siapakah yang akan meminta nasihat, bimbingan atau rundingan dari kita jika permohonan untuk itu tidak terjawab atau lambat dijawab, leceh dan sebagainya??

 

Ya Allah kami adukan kepadaMu akan lemahnya keupayaan dan kurangnya strategi kami. Kurniakanlah bantuanMu dan ampunilah kelemahan kami………….