Harga & Nilai Tsiqah Dalam Perjuangan Ini…………

Tsiqah dalam Ilmu Hadith adalah sifat yang diberikan kepada perawi yang mempunyai sifat-sifat tertentu yang melayakkan periwayatan hadithnya diterima. Dalam amal dakwah, tsiqah adalah sifat yang diberikan kepada seseorang atas keperibadian mulia yang dimilikinya dan kemampuannya untuk menjalankan tugas dakwahnya. Tsiqah dalam amal dakwah mengakibatkan seseorang itu dipercayai untuk melakukan tugas, diterima pendapat dan kata-katanya dan dihormati keperibadiannya.

 

Tsiqah adalah status yang perlu dimiliki oleh semua penggerak dakwah, tidak kira samada dia adalah pemimpin atau pengikut. Kewujudan tsiqah membolehkan pemimpin dihormati dan ditaati oleh pengikutnya dan pengikut diberi kepercayan untuk menjalankan tanggungjawab dakwahnya. Tsiqah jugalah yang memastikan kemesraan antara seorang sahabat dan sahabat yang lain.

 

Jadi bayangkanlah jika tsiqah telah luput dari kalangan kita, pemimpin telah hilang tsiqah terhadap pengikutnya, pengikut telah hilang tsiqah terhadap pemimpinnya, yang muda telah hilang tsiqah dari yang tua, rakan-rakan seperjuangan sudah hilang keyakinan sesama mereka. Organisasi akan porak peranda, amal dakwah akan tergendala, tanggungjawab akan terabai dan setiap pihak yang terlibat pastinya akan dipersoalkan oleh Allah taala.

 

Apakah yang dapat mewujudkan tsiqah pada seseorang?

 

Tsiqah wujud apabila terpancar dari keperibadian seseorang itu segala nilai-nilai murni hasil dari penghayatannya terhadap Islam dan perjuangannya. Di antara nilai-nilai ini, yang paling penting ialah keikhlasan, amanah dan jujur dalam semua hal.

 

Jika sedikit sahaja orang tahu bahawa kita ini tidak ikhlas atau amanah atau jujur, orang tidak akan lagi mempercayai kata-kata kita atau mentaati perintah kita atau menghormati keperibadian kita. Akibat paling buruk dari situasi ini ialah berleluasanya fitnah dan tohmah dan hilangnya hak ukhuwwah.

 

Perlu difahami bahawa tsiqah juga adalah natijah dari ikatan hati antara manusia.

 

Membina keikhlasan, amanah dan kejujuran bukan satu perkara yang mudah bagi kita. Ia menuntut satu mujahadah yang panjang dan sukar. Mengikat hati-hati manusia juga bukan satu perkara yang mudah.

 

Ertinya membina dan memperolehi tsiqah bukan satu usaha yang mudah. Tsiqah menuntut pembayaran harga yang tinggi untuk memperolehinya.

 

Ironisnya tsiqah begitu mudah untuk hilang dari kita. Ia hanya memerlukan sedikit kesilapan dari kita atau sedikit buruk sangka dari orang lain atau fitnah ke atas kita, maka hilanglah apa yang telah dibina selama ini dengan harga yang mahal.

 

Sekali tsiqah hilang sukar untuk diperolehi semula dan jika ini berlaku, yang pertama sekali perlu disalahkan ialah diri kita sendiri.

 

Bagi pejuang dakwah, tsiqah adalah sesuatu yang terlalu bernilai untuk dikorbankan kerana tanpanya bagaimana orang akan menerima ajakannya kepada Islam dan bagaimana organisasinya akan diterima oleh umum.

 

Peliharalah tsiqah orang terhadap kita, berilah tsiqah kepada mereka yang berhak dan layak dan jauhilah dari mencabuli kehormatan orang yang kita merasa sukar untuk mentsiqahinya lagi.