Nabi Musa & Seorang Hamba Allah ………… Tarbiyah & Sabar…………..

Ramai di antara kita mengetahui kisah nabi Musa a.s dengan seorang hamba Allah (yang di kalangan umum menamakannya sebagai Khidr). Sesungguhnya di dalam kisah ini terdapat banyak pengajaran bagi pendakwah.

Eloklah kita mengingat balik kisah ini secara ringkas dan menganalisis pelajaran yang terkandung di dalamnya.

Nabi Musa a.s berharap untuk bertemu dengan lelaki (Khidr) ini kerana mengetahui bahawa dia mempunyai ilmu dan kebijaksanaan yang tidak dimiliki oleh beliau.

Sebelum itu beliau merasa seolah-olah beliau telah memiliki kesempurnaan ilmu kerana hubungannya yang langsung dengan Allah taala.

Setelah bertemu dengan lelaki berkenaan, beliau memohon agar lelaki (Khidr) itu membenarkannya untuk mengikutnya dan belajar dengannya.

Pasa mulanya lelaki (Khidr) berkenaan tidak mahu menerima nabi Musa a.s kerana pada penilaiannya nabi Musa a.s tidak akan mampu bersabar untuk belajar dengannya.

Namun setelah nabi Musa a.s terus meminta, lelaki (Khidr) berkenaan bersetuju agar nabi Musa a.s mengikutnya dengan syarat beliau tidak bertanya apa-apa mengenai perbuatannya sehingga beliau diberitahu.

Sepanjang perjalanan lelaki (Khidr) itu telah melakukan tiga perkara;

· Memecahkan kapal nelayan miskin
· Membunuh seorang budak
· Mendirikan tembok di sebuah kampung tanpa meminta upah sedangkan mereka memerlukan makanan untuk bekalan.

Pada setiap kejadian, nabi Musa a.s telah tidak sabar untuk memenuhi syarat yang dikenakan padanya.

Akhirnya pada kejadian ketiga, lelaki (Khidr) berkenaan lalu memutuskan untuk berpisah dari nabi Musa a.s dan melarang nabi Musa a.s dari mengikutinya lagi.

Pengajaran dari kisah ini untuk pendakwah

1. Setelah kita belajar tinggi-tinggi memperolehi sijil, diploma, ijazah, M.A dan lain-lain serta bertahun-tahun berusrah dan mengikut tarbiyah, jangan sekali-kali seorang pendakwah itu merasa bahawa ia telah memiliki ilmu yang banyak, telah sempurna dan hebat kerana nabi Musa a.s sendiri yang mendapat kelebihan untuk bercakap terus dengan Allah dan menerima wahyu dan ditarbiyah oleh Allah tetap tidak memiliki kesempurnaan ilmu. Allah taala berfirman yang bermaksud;

“Dan sesungguhnya di atas setiap yang berilmu ada yang lebih mengetahui.” (Yusuf : 76)

2. Sikap merasa hebat dengan ilmu yang ada tidak disukai oleh Allah taala. Sebab itulah Allah menyuruh nabi Musa a.s mencari lelaki (Khidr) itu agar beliau sedar akan kelemahannya.

Maka sepatutnyalah pendakwah mengelakkan diri dari sikap yang dibenci oleh Allah taala.

Antara tanda orang yang sedemikian ialah apabila ia merasa tidak perlu lagi ditarbiyah atau ia menggunakan ilmunya untuk menghukum orang lain dari menilai diri sendiri

3. Tarbiyah adalah usaha yang berterusan dan tidak seharusnya terhenti.

Kita seharusnya sentiasa meletakkan diri kita dalam proses pentarbiyahan.

Lihatlah nabi Musa a.s.

Walau pun telah menjadi nabi dan mendapat tarbiyah dari Allah taala, namun beliau masih terus mencari sesuatu yang bermanfaat bagi pentarbiyahan dirinya.

Tidak hina seseorang itu untuk ditarbiyah oleh orang yang lebih rendah martabatnya.

Tidak hina juga untuk berusrah di bawah seseorang yang dinilai lebih rendah dari diri sendiri.

Kita harus menerima hakikat bahawa sebagaimana tiada kesempurnaan dalam tarbiyah, tiada kesempurnaan juga dalam proses dan sistem tarbiyah.

Apa yang penting ialah setiap seorang berusaha untuk belajar dari kelebihan yang lain dan melengkapi kelemahan yang lain juga kerana antara rukun tarbiyah dan usrah ialah Takamul – saling lengkap melengkapi.

4. Pada ketika tertentu, keterbatasan maklumat yang kita ada mengakibatkan kita menilai dan menghukum sesuatu yang pada pandangan kita adalah benar tetapi sebenarnya adalah salah.

Nabi Musa a.s membantah perbuatan lelaki (Khidr) itu kerana ia tidak tahu realiti dan konteks sebenar insiden berkenaan dan ia tidak mempunyai maklumat yang dimiliki oleh lelaki (Khidr) itu.

Oleh itu, pendakwah haruslah berhati-hati dalam membuat penilaian apatah lagi dalam menghukum sesuatu perkara dan individu.

Apabila kita hendak menilai perbuatan seseorang, kita tidak boleh menilai berdasarkan apa yang kita tahu sahaja tetapi juga berdasarkan pada apa yang ada di kepala orang berkenaan, realiti yang ia hadapi dan konteks ia melakukan sedemikian.

Apa yang pada pandangan kita sebagai satu kelemahan, kesalahan dan aib, tidak semestinya sedemikian bila dilakukan oleh orang lain seperti yang berlaku antara nabi Musa a.s dan lelaki (Khidr) itu.

Apabila kita melihat sesuatu yang tidak disenangi dalam masyarakat atau pada individu atau dalam jemaah, carilah penjelasan sebelum membuat hukuman dan penilaian.

5. Kunci kejayaan pentarbiyahan diri kita ialah sabar.

Sabar untuk terus istiqamah menjalani tarbiyah. Sabar terhadap kelemahan dan kekurangan yang ada dalam tarbiyah.

Sabar dalam melihat hasil dari tarbiyah atau usaha dakwah kita.

Sabar terhadap kerenah sahabat-sahabat seperjuangan.

Sabar terhadap naqib kita.

Sabar terhadap kejahilan masyarakat.

Sabar atas keterbatasan maklumat yang diberikan pada kita sehingga tidak mampu memahami realiti di hadapan mata.

Sabar atas lokeknya kepimpinan mengongsi maklumat dalam sesuatu perkara.

Apabila kita melihat sesuatu kelemahan dan kita mahukan ia dibaiki, maka kita juga perlu bersabar untuk melihat natijahnya.

Pastinya kita tidak bermaksud sabar tanpa usaha.

Yang kita maksudkan ialah berusaha di samping itu sabar dalam menghadapi realiti sedia ada dan sabar menanti hasil usaha kita.

6. Sesiapa yang tidak sabar, maka tidak layak bagi dia jalan tarbiyah yang jauh dan berliku ini. Sesiapa yang tidak sabar, maka tidak layak baginya meniti jalan dakwah bersama kita.

Sesiapa yang tidak sabar, akan memikul risiko tinggi gugur di jalan dakwah atau gugur dalam proses tarbiyah.

Sesiapa yang tidak sabar, dia tidak akan mampu untuk berdisiplin.

Sedangkan dakwah tidak layak untuk dimenangkan oleh orang yang tidak berdisiplin dan gopoh.

Sesiapa yang tidak sabar, bolehlah kita memisahkan dia dari jalan ini kerana keretapi dakwah harus terus bergerak menuju ke destinasinya dan tidak mampu menanti orang sedemikian.

Sesiapa yang ingin memisahkan diri dari kita kerana tidak sabar, biarlah ia pergi.

Jika kita meyakini bahawa prinsip perjuangan kita ini benar dan sejajar dengan kehendak Allah taala, kita meyakini bahawa dakwah kita tidak akan termudarat dengan kepergian mereka dan Allah taala akan menggantikan untuk kita dengan yang lebih baik dari mereka.

Sahabat-sahabat sekalian….

Hayatilah tarbiyah.

Bersabarlah dalam menjalaninya.