Sudut Dakwah Yang Terabai

belajar menulisDakwah dapat diertikan dengan pengertiaan yang luas. Apa jua usaha yang dilakukan demi untuk menyumbang di jalan Allah dapat dikira sebagai usaha dakwah.

Dakwah bukan hanya melalui lisan bahkan melalui pelbagai media lain.

Oleh kerana media dakwah itu banyak maka kita perlu membuat pemilihan berdasarkan keutamaan.

Kriteria pemilihan kita ialah keperluan masyarakat terhadapnya dan kesan jangka panjang yang disumbangkan oleh media ini.

Pendakwah-pendakwah ulung dahulu ramai yang telah pergi tetapi kita masih menikmati sumbangan dan pemikiran mereka.

Ini kerana selain dari usaha-usaha dakwah dalam bentuk lisan dan kerja-kerja organisasi yang dilakukan, mereka sentiasa memastikan untuk meninggalkan bahan-bahan penulisan sebagai sumbangan yang berkekalan yang akan menjadi saham pahala yang berterusan.

Bahan-bahan penulisan ini memenuhi khazanah ilmu dalam tamaddun Islam dan memberi kesan yang besar begi umat Islam.

Hari ini media penulisan adalah sudut dakwah yang terabai.

Ramai pendakwah mengiktiraf akan kepentingannya tetapi rasa hanya tinggal rasa, sedar hanya tinggal sedar.

Usaha sungguh-sungguh untuk melaksanakannya amat dangkal.

Yang membimbangkan ialah kedangkalan ini bukan hanya menjadi fenomena individu tetapi juga fenomena pertubuhan dakwah juga.

Ya, sememangnya tidak semua pendakwah mampu menulis tetapi kita boleh berusaha melalui organisasi yang kita berada padanya untuk menjayakan dakwah melalui penulisan.

Bertahun sudah usaha dakwah ini digerakkan, namun berapa banyakkah penulisan dakwah dalam bentuk buku, majalah, akhbar dan lain-lain yang merupakan media-media penting untuk mengubah masyarakat.

Sebahagian dari usaha dalam bidang penulisan dakwah merupakan fardu kifayah yang tidak lagi tertunai.

Kita sebenarnya dicabar oleh lambakan penulisan-penulisan yang hanya layak dimuatkan dalam bakul sampah untuk menjadi alternatifnya.

Sudah cukupkah perancangan kita untuk menjayakan dakwah yang terabai ini?

Sudah cukup keraskah usaha kita dalam bidang ini? atau kita langsung tidak peduli mengenainya atau berkata tak apa, tak apa akan ada orang lain melakukannya.

Ini adalah satu pertanggungjawaban yang akan dipersoalkan.

Kita perlu melakukan sesuatu agar kita mempunyai alasan kemudian.