Tunjukkanlah Keperihatinan

Setiap seorang dari kita, sebagai seorang mukallaf, memikul tanggungjawab di bahu sendiri. Sebagai seorang yang bertanggungjawab, kita perlu perihatin dan peduli. Perihatin terhadap apakah sebenarnya tanggungjawab kita dan bagaimana kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita sebaik mungkin.

 

Seorang aktivis dakwah, pastinya mempunyai tanggungjawab dan peranan dalam perjuangan ini. Kita juga perlu perihatin apakah tanggungjawab dan peranan kita dan bagaimana kita dapat menjayakannya sebaik mungkin.

 

Dalam konteks kerja berorganisasi, kita bukan sahaja perlu perihatin terhadap pelaksanaan tanggungjawab kita tetapi kita juga perlu perihatin dan peduli terhadap tanggungjawab sahabat kita. Kita perlu perihatin apakah tanggungjawabnya dan adakah ia telah menunaikannya sebaik mungkin.

 

Kejayaan kerja berorganisasi bukan tergantung ke atas usaha kita sahaja tetapi juga atas usaha sahabat-sahabat kita. Kegagalan sahabat kita untuk menunaikan tanggungjawabnya boleh menyebabkan kegagalan usaha kita.

 

Islam amat mendorong umatnya untuk memiliki rasa keperihatinan dan kepedulian bukan hanya terhadap diri sendiri tetapi juga terhadap orang lain.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Perumpamaan orang-orang beriman dalam berkasih sayang, berbelas kasihan dan bertolongang sesama mereka adalah seperti satu tubuh. Jika satu anggota merasa sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasakannya dengan berjaga malam dan demam.”(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Sesungguhnya urusan orang Islam yang paling layak untuk kita mengambil berat ialah urusan dan tanggungjawab sahabat yang terdekat kepada kita.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Bantulah sahabat kamu samada ia zalim atau dizalimi”(Riwayat Al-Bukhari)

 

Membantu sahabat yang zalim ialah dengan menyelamatkannya dari kezaliman yang ia lakukan. Pengabaian tanggungjawab dan tugas dalam organisasi adalah sebahagian dari kezaliman yang perlu kita pelihara sahabat kita dari melakukannya.

 

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Barangsiapa melepaskan saudaranya dari kesusahan di dunia ini, Allah akan melepaskannya dari kesusahan di akhirat kelak”(Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Bagaimana mungkin dapat kita melepaskan saudara kita dari segala kesusahan tugasnya jika kita tidak perihatin terhadap tugas dan beban tanggungjawabnya atau kita tidak peduli samada dia mampu atau sudah menunaikan tanggungjawabnya atau tidak.

 

Kita perlu perihatin dan peduli. Perihatin bukan bermakna kita tidak yakin atau percaya terhadap sahabat kita. Kita perihatin kerana sahabat kita adalah manusia biasa seperti kita yang kadang kala juga boleh tersilap, leka, terlupa dan berdosa. Kita perihatin agar kita dapat memelihara dirinya dari berlaku zalim dan membantunya jika kesusahan. Kita perihatin kerana ia adalah sebahagian dari hak ukhuwwah sahabat kita.

 

Oleh itu pastikanlah perkara-perkara berikut;

 

·         Sebagaimana kita kenali tanggungjawab kita, kita perlu kenali juga tanggungjawab sahabat-sahabat kita.

·         Sebagaimana kita mahu menunaikan tanggungjawab kita sebaik mungkin, kita juga mahu sahabat kita menunaikan tanggungjawabnya juga.

·         Sebagaimana kita mahu orang membantu tugas-tugas kita, kita perlu bantu tugas-tugas sahabat kita.

 

Janganlah kita biarkan sahabat-sahabat kita begitu sahaja. Kejayaan mereka adalah kejayaan kita dan kegagalan mereka adalah kegagalan kita.

 

Tunjukanlah keprihatinan dan kepedulian. Mulakanlah ia dengan bertanya.

 

Sesungguhnya setiap seorang dari kita bertanggungjawab di hadapan Allah terhadap apa yang kita lakukan dan apa yang kita abaikan