Warna….Warna…..Dalam Dakwah Kita

Antara keupayaan kepimpinan yang penting ialah keupayaan untuk melihat sesuatu secara meluas, terperinci dan jauh dari simplistik.

 

Keupayaan ini menuntut antaranya kemampuan untuk memecahkan sesuatu perkara dan isu itu kepada unit-unit yang kecil dan meletakkan setiap unit itu di tempatnya yang sesuai atau memberi hukum yang sesuai mengenainya.

 

Nilai dan kemampuan seperti ini adalah nilai dan kemampuan Rasulullah s.a.w yang dapat dilihat contohnya dalam banyak lipatan sejarah beliau, yang telah menjadikan beliau seorang pemimpin yang agung yang perlu dicontohi.

 

Dalam sejarah Rasulullah s.a.w tertulis kisah Hatib b. Abi Balta’ah yang melakukan kesilapan dengan mencuba untuk membocorkan rahsia perancangan Rasulullah s.a.w untuk menyerang Mekah. Perbuatan beliau ini kemudiannya terdedah dan beliau mengaku dihadapan Rasulullah s.a.w bahawa beliau melakukannya kerana tekanan untuk menyelamatkan saudara maranya dari sebarang kesusahan jika serangan itu dilancarkan. Kesilapan ini adalah serius kerana ia secara zahirnya adalah satu pengkhianatan. Umar r.a bercadang untuk memenggal kepalanya namun Rasulullah s.a.w memaafkannya kerana beliau pernah memberi sumbangan yang besar kepada Islam dengan menyertai peperangan Badr. Rasulullah s.a.w mencela perbuatan beliau itu dengan tindak tanduknya tetapi kesilapan ini tidak menutup matanya untuk meletakkan pengorbanan Hatib di tempatnya yang sesuai. Beliau tidak menghukum Hatib dengan hukuman yang keras kerana beliau merasakan pengorbanan Hatib lebih besar dari kesilapan yang telah ia lakukan. Rasulullah s.a.w berpendapat cukuplah keaiban yang perlu ditanggung oleh Hatib di hadapan masyarakat umum atas kesilapan ini.

 

Rasulullah s.a.w pernah membetulkan persepsi masyarakat Madinah yang mengejek Khalid b. Al-Walid sebagai melarikan diri dari perang kerana mengundurkan tentera Islam dari meneruskan peperangan Mu’tah, kerana jumlah tentera Islam yang tidak seimbang dengan tentera Rom, dengan mengatakan bahawa Khalid bukanlah melarikan diri dari perang tetapi berundur untuk maju semula di masa akan datang. Rasulullah s.a.w menyatakan sedemikian kerana tidak mahu masyarakat Madinah melihat bahawa di sana hanya ada dua golongan sahaja dalam peperangan; mereka yang terus bertempur atau mereka yang melarikan diri, tetapi di sana ada golongan lain.

 

Apabila perjanjian Hudaibiyah hendak ditandatangani, Rasulullah s.a.w bertolak ansur dengan permintaan orang musyrik Mekah dengan memadam tulisan Bismillahir Rahmanir Rahim dan memadam pernyataan beliau sebagai Rasulullah. Beliau sanggup bersetuju dengan noktah-noktah perjanjian yang secara zahir seperti merugikan orang Islam kerana beliau melihat persoalan ini dalam konteks yang lebih luas dan terperinci. Beliau memisahkan antara prinsip dan bukan prinsip dan meletakkan sesuatu di tempatnya. Hasil dari nilai dan keupayaan seperti ini, kita dapat lihat jatuhnya Mekah ke tangan beliau selepas itu.

 

Dalam peperangan Al-Qaddisiyah, antara tentera Islam dengan Parsi di bawah kepimpinan Sa’ad b. Abi Waqqas terdapat seorang mujahid yang berjihad bersama tentera Islam tetapi melakukan kesalahan minum arak. Beliau dihukum atas kesalahannya tetapi kesalahannya tidak menutup mata Sa’ad untuk melihat sumbangan beliau dalam jihad. Sa’ad bukan hanya membenarkan mujahid ini untuk teruskan sumbangannya dalam medan peperangan bahkan menghadiahkan kuda kepada beliau. Sa’ad dapat melakukan sedemikian kerana keupayan beliau untuk berfikiran luas, mampu untuk memisahkan antara kelemahan dan kekuatan seseorang dan menghukum atas kesalahan seseorang pada waktu yang sama memberi ganjaran atas sumbangannya. Beliau tidak melihat hanya dengan neraca seseorang itu baik atau jahat semata-mata.

 

Kita perlu sedar bahawa hukum Islam bukan hanya halal atau haram tetapi halal, haram, makruh, sunat dan harus. Yang halal pun bukan sentiasa halal sepanjang masa kerana ia boleh menjadi haram dalam keadaan tertentu dan yang haram bukan sentiasa haram sepanjang masa kerana akan ada hukum pengecualian mengenainya.

 

Dalam amal dakwah, kita akan menghadapi pelbagai masalah-masalah dalaman sendiri. Isu-isu semasa seperti keharmonian hubungan kenegaraan, tindakan-tindakan keganasan dan lain-lain. Kesemua ini perlu ditangani dengan nilai dan kemampuan di atas.

 

Dunia ini mempunyai pelbagai warna. Warnailah amal dakwah kita dengan warna yang sesuai untuknya.

 

Nilai dan keupayaan seperti ini penting bagi kita kerana ia akan menjadi pemangkin bagi pengoperasian budaya kerja kita, “Teliti, Terperinci, Berencana dan bukan Simplistik”.