Pesanan Dari Al-Quran #36 – Berilmu dan Kelulusan Tinggi Tidak Memadai Untuk Bertakwa

Diterbitkan di Mimbar Darul Tafsir, 17 November 2021, di sini.

“Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan membenarkannya, mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (Al-Zumar: 33)

Pelajaran

  1. Ayat ini mengandungi pelajaran tentang sifat golongan yang bertakwa supaya dapat dijadikan sebagai panduan bagi membina takwa (tunduk dan patuh pada perintah Allah taala dengan melaksanakan apa yang diperintah dan menjauhi segala yang dilarang) dalam diri seorang Muslim.

  2. Dapat difahami dari ayat ini bahawa takwa dicapai dengan membenarkan kebenaran (tasdiq) bukan hanya dengan membawa atau menyampaikan kebenaran.

  3. Hanya mempunyai ilmu tentang kebenaran atau menyampaikan kebenaran sahaja tanpa membenarkannya dalam diri, tidak akan menjadikan seseorang itu bertakwa.

  4. Ilmu itu mungkin bermanfaat bagi si pemiliknya dalam sudut tertentu dalam hidupnya dan bermanfaat bagi sesiapa yang mendengar dan menerimanya, tapi ilmu tentang kebenaran tanpa dibenarkan oleh diri tidak akan memandu seseorang untuk menjadi manusia yang bertakwa.

  5. Bukti bagi apa yang dinyatakan di atas ialah kewujudan ramai sarjana yang memiliki banyak ilmu yang benar tentang Islam dan mengajarkannya kepada manusia lain di universiti-universiti tetapi kehidupan peribadinya jauh dari ajaran Islam sebagai contoh dia tidak menganut Islam sebagai agama dan tidak mengamalkan ajaran Islam yang baik kerana dia tidak membenarkan ajaran Islam yang dia tahu dan ajarkan. Ilmu itu hanya sesuatu yang mengisi ruang kognitifnya dan fungsinya hanya untuk tujuan akademik, bukan sebagai panduan untuk mencapai takwa.

  6. Kebenaran perlu datang dulu baru timbul kewajiban untuk membenarkannya hingga takwa dapat dicapai.

    Oleh itu, orang yang belum sampai kepadanya ilmu tentang kebenaran, tidak terbeban ke atasnya kewajipan membenarkan dan mengamalkan kebenaran.

    Oleh itu juga, orang itu tidak diboleh dipersalahkan jika dia tiada takwa (laksanakan perintah Tuhan dan tinggalkan laranganNya).

  7. Takwa mestilah dibina atas ilmu yang benar, bukan dogma dan ikut-ikutan, kerana Allah taala mensifatkan apa yang dibawa oleh Nabi s.a.w dalam ayat di atas dengan kebenaran. Yang menjadi dasar bagi ilmu yang benar pula ialah sejauh mana ia menepati dengan apa yang dibawa dan disampaikan oleh Nabi s.a.w, iaitu Al-Quran dan penjelasan dari beliau dalam bentuk kata-kata atau perbuatan yang dikenali dengan Sunnah.

  8. Hal ini menjadi pelajaran juga bagi ibubapa dan para guru yang memikul tangungjawab mendidik anak-anak muda agar menjadi Muslim yang soleh dan bertakwa.

    Pendidikan anak-anak tidak boleh menjurus hanya pada pengumpulan ilmu dalam akal dan intelek dan ijazah pendidikan tinggi. Tanpa keyakinan yang membenarkan ilmu yang diperolehi dari pendidikan yang tinggi, seseorang tidak akan terdorong untuk menjadikannya sebagai panduan bagi tingkah lakunya dalam kehidupan.

  9. Oleh itu, seseorang itu jangan setakat dinilai hanya ilmu dan kelulusan yang dia ada sebagai ukurtara kesolehannya.