Menegak keadilan dan menghapuskan kezaliman adalah prinsip utama agama Islam bagi manusia sejagat. Islam tidak akan bersama dengan sesiapa sahaja yang melakukan kezaliman ke atas orang lain atau bangsa lain. Apabila berlaku kezaliman, Islam menganjurkan umatnya untuk bangkit menentang kezaliman itu, tanpa mengira siapa yang melakukannya atau siapa yang menjadi mangsanya.
Islam juga mensyariatkan bahawa setiap muslim adalah bersaudara dan diikat dengan ikatan ukhuwwah tanpa kira bangsa atau kerakyatan mereka.
Ukhuwwah menuntut setiap muslim mengambil berat persoalan saudaranya dan memberi bantuan pada yang memerlukan. Kesedihan dan kesusahan seorang muslim adalah kesedihan dan kesusahan semua muslim.
Islam juga mensyariatkan umat Islam agar membela agamanya dari segala bentuk permusuhan dan pencerobohan. Termasuk dalam permusuhan dan pencerobohan ke atas Islam ialah tindakan merampas dan menjajah tanah suci Islam dan tanah umat Islam.
Atas dasar ini, isu Masjid Al-Aqsa adalah isu bagi seluruh umat Islam. Ini kerana
- Di sebalik isu Masjid Al-Aqsa, terdapat pencabulan hak asasi manusia yang telah diperakui oleh dunia antarabangsa dan pencabulan pada prinsip keadilan sejagat.
- Masjid Al-Aqsa adalah tanah yang dirampas dengan cara yang tidak sah bukan hanya dari segi syariat tapi dari segi undang-undang antarabangsa.
- Di sebalik isu Masjid Al-Aqsa, terdapat penderitaan umat Islam yang lain kerana diperlakukan dengan cara yang zalim dan tidak bertamaddun.
- Masjid Al-Aqsa adalah tanah suci umat Islam yang telah dicemari oleh satu umat yang mengganas.
Sesiapa yang menganggap bahawa isu ini hanyalah isu rakyat Palestin atau pertelingkahan antara bangsa Arab dan Yahudi atau masalah rantau Timur Tengah, maka sesungguhnya ia adalah jahil dan naif.
Sesiapa yang dihatinya tiada rasa pilu terhadap apa yang berlaku dan tidak pernah menyumbang atau berazam untuk menyumbang bagi mengembalikan kebenaran dan keadilan dan menolak kezaliman yang berkaitan dengan isu Masjid Al-Aqsa, maka sesungguhnya dia adalah tercela di sisi Allah taala dan pada pandangan manusia yang bertamaddun.
Kita marah dan menyuarakan kemarahan bukan hanya kerana sentimen agama. Kita bangkit menentang bangsa pengganas itu bukan kerana bangsanya. Umat Islam bukan umat yang racist, facist atau berfahaman seperti nazi. Umat Islam bukan pula umat yang fanatik agama, yang tidak bersedia untuk co exist dengan bangsa atau umat beragama lain.
Demi Allah, hatta sekiranya kezaliman yang sama dilakukan oleh se kumpulan orang Islam ke atas sesiapa sahaja dari kalangan umat manusia, di bumi mana sekali pun ia berlaku, kita harus bangkit untuk membaiki keadaan itu sehingga keadilan dikembalikan dan kezaliman dihapuskan kerana Allah taala memerintahkan kita menjadi rahmat pada seluruh alam. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Dan tidak kami utus engkau (Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Al-Anbiya’ : 107)
Umat Islam dituntut untuk merealisasikan apa yang Allah taala telah nyatakan dalam Al-Quran yang bermaksud
“Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas sekalian alam.” (Al-Baqarah : 251)