Petunjuk 11 – Memanfaatkan Anasir Soleh Dalam Lingkungan Jahiliyah

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan Allah membuat isteri Fir`aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata ‘Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga dan selamatkanlah aku dari Fir`aun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku dari kaum yang zalim’.” (At-Tahrim : 11)

 

“Dan seorang lelaki yang beriman di antara pengikut-pengikut Fir`aun yang menyembunyikan imannya berkata ‘Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki kerana dia menyatakan Tuhanku ialah Allah padahal dia telah datang kepadamu dengan membawa keterangan-keterangan dari Tuhanmu. Dan jika ia seorang pendusta maka dialah yang menanggung (dosa) dustanya itu; dan jika ia seorang yang benar nescaya sebahagian (bencana) yang diancamkannya kepadamu akan menimpamu’ Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta.” (Al-Mukmin / Ghafir : 28)

 

Pertunjuk-petunjuk

 

1. Berlatarbelakang keluarga yang fasiq dan zalim, tidak bermakna seseorang itu tidak berkemungkinan untuk mendapat hidayah dan menjadi anasir yang baik bagi dakwah. Oleh itu, jangan sekali-sekali menyisihkan individu yang datang dari keluarga sedemikian dari usaha dakwah.

 

2. Sesiapa yang hidup di tengah-tengah keluarga atau persekitaran yang fasiq dan jahat, janganlah berputus asa dan kecewa atas keadaan yang dihadapinya.

 

3. Di tengah-tengah kefasiqan, mungkin ada anasir baik yang boleh menjadi aset bagi dakwah. Sejarah akan sentiasa berulang. Manusia seperti isteri Fir`aun dan lelaki dalam ayat kedua akan sentiasa wujud sepanjang zaman. Oleh itu, adalah menjadi kebijaksanaan pendakwah untuk mencari dan memanfaatkan mereka. Namun ini tidak akan dapat dilakukan jika pendakwah

terikat dengan mentaliti ‘judgmental’ atau bersifat menyisih.

 

4. Kewujudan individu di tengah kefasiqan bukan alasan untuk mencela mereka. Yang penting ialah bagaimana kita merangkul dia dalam usaha dakwah dan bagaimana dia dengan keterbatasan yang ada masih dapat menyumbang untuk dakwah. Allah taala tidak membebankan seseorang lebih dari kemampuannya.

 

5. Anasir yang soleh di tengah kefasiqan ada manfaat dan peranannya dalam dakwah. Jangan disisih mereka itu.

 

6. Walau pun berada di tengah kefasiqan mempunyai peranan dalam dakwah tetapi jangan lupa akan peringatan Allah taala dalam surah Hud : 113.