Petunjuk 4 – Kepentingan Kepekaan Terhadap Persekitaran Dakwah & Perkembangan Semasa

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Alif Laam Miim. Telah dikalahkan bangsa Rumawi. Di negeri yang terdekat, dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang. Dalam beberapa tahun (lagi). Bgai Allahlah urusan sebelum dan sesudah (mereka menang). Dan di hari (kemenangan bangsa Rumawi) itu bergembiralah orang-orang yang beriman. Kerana pertolongan Allah, Dia menolong siapa yang dikehendakiNya. Dan Dialah Yang maha Perkasa lagi Maha Penyayang.” (Ar-Rum : 1-5)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Islam menganjurkan kepekaan terhadap isu dan perkembangan semasa. Dalam keadaan teknologi dan sistem komunikasi yang tidak canggih, Rasulullah tetap mengambil tahu akan peristiwa yang berlaku di tempat lain. Pendakwah adalah kelompok yang paling utama untuk bersifat peka terhadap isu semasa.

 

2. Kita bukan hanya mengambil berat akan apa yang berlaku terhadap umat Islam tetapi juga terhadap umat lain kerana Rasulullah s.a.w mengambil berat terhadap nasib bangsa Rumawi.

 

3. Simpati kita terhadap nasib buruk bukan hanya kepada umat Islam tetapi juga umat lain.

 

4. Bersimpati dan menyokong musuh yang lebih ringan mudaratnya adalah dibenarkan asalkan sahaja tidak menyebabkan mudarat yang lebih besar. Rasulullah s.a.w bersimpati terhadap bangsa Rumawi yang bukan Islam kerana sebagai penganut agama Kristian mereka lebih dekat dengan Islam dari bangsa Parsi yang beragama Majusi.

 

5. Aktivis dakwah haruslah bijak untuk mengenal pasti golongan bukan Muslim, yang mana seperti Majusi dan yang mana seperti Rumawi dalam konteks yang dihadapinya kerana orang bukan Muslim bukan semuanya sedarjat.

 

6. Aktivis dakwah haruslah sentiasa dinamik dalam melayani golongan bukan Muslim. Musuh hari ini tidak semestinya menjadi musuh akan datang. Memberi sokongan hari ini tidak semestinya memberi sokongan berterusan pada masa akan datang kerana walau pun Rasulullah pernah bersimpati kepada bangsa Rumawi tetapi apabila kedaan telah berubah, ia memerangi mereka sebagaimana yang berlaku dalam Perang Mu’tah dan Tabuk.