Petunjuk 45 – Sifat-Sifat Seorang Pemimpin

Allah taala berfirman yang bermaksud

 

“Dan kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami.” (As-Sajdah : 24)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Al-Quran adalah kitab petunjuk dalam semua aspek penting kehidupan manusia. Ia bukan hanya kitab peribadatan atau tata susila. Oleh kerana kepimpinan adalah aspek yang penting dalam kehidupan manusia dan juga dalam usaha dakwah, maka Al-Quran juga memberi petunjuk akan prinsip-prinsip kepimpinan dalam Islam.

 

2. Ayat di atas menjelaskan tiga karakteristik penting bagi seorang pemimpin dalam semua keadaan, khususnya dalam amal dakwah. Iaitu;

 

a. Memberi petunjuk.

b. Sabar.

c. Yakin terhadap apa yang diperjuangkan.

 

3. Memberi petunjuk bermaksud membimbing manusia ke arah petunjuk yang diturunkan oleh Allah taala. Selain itu ia juga bermaksud bahawa pemimpin yang baik ialah seorang yang menunjuk jalan kepada manusia untuk melalui kehidupan ini bukan ‘memimpin tangan’ pengikutnya sepanjang jalan kerana yang sedemikian itu adalah mustahil dan sukar dilakukan oleh mana-mana pemimpin.

 

4. Sifat memberi petunjuk menunjukkan bahawa objek utama kepimpinan ialah

manusia kerana benda dan binatang tidak memerlukan pimpinan manusia. Menyedari hakikat ini, aktivis dakwah yang perlu memainkan peranan kepimpinan perlulah menginsafi akan kepentingan ilmu-ilmu kemanusiaan yang membolehkan mereka berinteraksi dengan manusia secara berkesan. Keagungan seorang pemimpin terletak pada sejauh mana dia mampu memenangi hati manusia bukan sejauh mana dia mempunyai kuasa atas mereka.

 

5. Disebabkan hakikat manusia yang mempunyai bermacam ragam, kerenah dan berubah-ubah, maka sememangnya memimpin mereka adalah satu tugas yang berat dan mencabar. Maka sebab itulah, Allah taala menghendaki pemimpin mempunyai sifat sabar. Siapa yang tidak mampu sabar, dia tidak akan menggunakan petunjuk untuk memimpin manusia tetapi dia akan menggunakan ‘kuasa’. Siapa yang tidak sabar, dia akan sentiasa bersendirian dan jauh dari mana-mana perkumpulan. Dengan itu, ia akan mengabaikan tanggungjawab dakwah secara kolektif. Siapa yang tidak sabar, akan mudah terseleweng dari kebenaran kerana mencari jalan yang singkat.

 

6. Yang membolehkan seorang pemimpin itu sabar pula ialah kerena kejelasan dan keyakinan terhadap apa yang ia percayai dan perjuangkan. Dia sabar menghadapi kerenah manusia kerana dia tahu akan hakikat manusia, kerana dia tahu akan kisah nabi Nuh. Dia sabar dengan lamanya tempoh perjuangan ini kerana dia tahu bahawa dia hanya dituntut untuk berusaha dan ganjaran baginya ialah atas usahanya bukan atas kejayaan yang dicapai. Dia sabar dengan prinsip ajaran yang disampaikan kerana dia tahu di sana ada syurga dan neraka.

 

7. Dalam bahasa kontemporari, ini merujuk kepada kejelasan dan keyakinan terhadap misi dan visi perjuangan. Namun di antara sekian banyak benda yang perlu diyakini, yang paling utama ialah kejelasan dan keyakinan terhadap ‘ayat-ayat Allah taala’. Sebagaimana aktivis dakwah itu fasih dengan ilmu-ilmu kemanusiaan dan pengurusan, ia juga haruslah fasih dengan ilmu berkaitan ‘ayat-ayat Allah taala’.

 

8. Kepimpinan bukan milik mereka yang ikut-ikut sahaja. Oleh kerana Islam menuntut agar seorang pengikut itu mengikut atas dasar ilmu dan keyakinan,

maka pemimpin itu sendiri mestilah sedemikian.