34 – Erti Mengubah Kemunkaran Dengan Tangan

Abu Sa`id Al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud

 

“Barangsiapa di antara kamu melihat kemunkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia mengubahnya dengan mulutnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemahnya iman.” (Riwayat Muslim)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Mengubah kemunkaran dengan tangan bermaksud mengubahnya dengan kuasa yang ada kerana tangan adalah kiasan bagi kuasa. Oleh itu, pelaksanaan langkah ini dalam dakwah perlulah dikaitkan dengan persoalan bidangkuasa (authority / jurisdiction) kerana seseorang itu tidak boleh menjalankan sesuatu atas dasar kuasa kecuali mengikut bidangkuasa yang dia ada.

 

Oleh itu juga, konsep mengubah dengan tangan ini perlulah dikaitkan dengan konsep ulil amri (mereka yang berkuasa). Hanya ulil amri dalam bidangkuasanya sahaja yang berkuasa untuk mengubah kemunkaran dengan tangan. Sebagai contoh, bapa ialah ulil amri dalam keluarga, maka dia mempunyai kuasa untuk mengubah kemunkaran dengan tangan dalam keluarganya setakat bidangkuasa yang syariah berikan kepadanya. Masalah kemunkaran sosial adalah tanggungjawab pemerintah kerana ia adalah bidangkuasanya, maka dialah yang berkuasa untuk melakukan perubahan dengan tangan.

 

2. Sesiapa yang tidak mempunyai bidangkuasa maka dia tidak bertanggungjawab untuk mengubah kemunkaran dengan tangan. Memahami hakikat ini adalah penting kerana kegagalannya boleh mengakibatkan langkah-langkah tindakan yang boleh merosakkan kestabilan serta mengakibatkan pelanggaran prinsip keadilan atas nama dakwah. Atas dasar ini, tindakan kumpulan-kumpulan tertentu menyerang pusat-pusat maksiat dan pelaku maksiat di negara-negara tertentu adalah tindakan yang tidak betul kerana ia tidak mempunyai bidangkuasa untuk melakukannya dan mencetuskan kemudaratan bagi banyak pihak.

 

3. Walaupun, Islam menganjurkan mengubah kemunkaran dengan tangan namun ia mestilah tetap dilakukan dengan hikmah dan beradab. Ia bukan alasan bagi sesiapa untuk menggunakan kekerasan atau keganasan.

 

4. Mengubah kemunkaran dengan tangan juga tidak semestinya dilakukan melalui tindakan bersenjata.

 

5. Untuk mengubah dengan tangan, prinsip tadarruj (beransur-ansur) dalam perubahan juga mestilah dipelihara. Keharusan mengubah dengan tangan bukan bermakna kemunkaran itu mesti dihilangkan dengan segera atau serta merta.

 

6. Proses mengubah dengan tangan juga terikat dengan dasar ikut kemampuan. Tidak boleh melakukan perubahan melebihi dari kemampuan dan keupayaan yang ada kerana ia akan menatijahkan mudarat.

 

7. Anjuran mengubah kemunkaran dengan tangan yang dinyatakan dalam hadits ini mestilah dilihat sebagai salah satu dari banyak pertimbangan dalam melaksanakan dakwah. Ertinya pelaksanaan perintah ini mestilah dilihat bersamaan dengan prinsip-prinsip dakwah yang lain seperti prinsip hikmah, tadarruj, pertimbangan maslahat dan mudarat dan keutamaan sebagaimana yang dicontohkan di atas.