35 – Beberapa Prinsip Dalam Dakwah

Abu Hurairah telah meriwayatkan bahawa seorang Arab Badwi telah datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata ‘Wahai Rasulullah, tunjukkanlah satu amalan yang apabila saya lakukan, saya akan masuk syurga.’ Beliau menjawab ‘Hendaknya kamu menyembah Allah dan tidak menyengutukannya dengan sesuatu, mendirikan solat yang wajib, menunaikan zakat yang diwajibkan dan berpuasa pada bulan Ramadhan.’ Orang itu berkata ‘Demi Tuhan yang menguasai diriku, aku tidak akan menambah dan tidak akan mengurangi dari semua itu.’ Setelah orang itu pergi, Rasulullah s.a.w bersabda ‘Barangsiapa yang ingin melihat seorang yang termasuk dalam ahli syurga, hendaklah dia melihat orang ini.’ (Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Rujuk Al-Lu’lu Wa Al-Marjan, hadits no. 8.)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Sesiapa yang mengkaji syariat yang berkaitan dengan kewajiban seorang Muslim pasti mendapati bahawa kewajiban itu melebihi dari hanya setakat mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa di bulan Ramadhan. Namun dalam hadits ini, Rasulullah s.a.w hanya menyatakan perkara-perkara itu sahaja bagi seorang badwi yang meminta petunjuk darinya dan menjamin syurga jika dia hanya beriltizam dengan itu sahaja. Ini memberi pengajaran berikut bagi kita:

 

a.  beransur-ansur dalam memberi taklif.

b.  awlawiyat (keutamaan) dalam memberi taklif iaitu mengutamakan kewajiban yang penting dahulu dari yang lain-lain.

c.  mengambil kira sasaran dakwah iaitu nasihat dan pedoman diberi sejajar dengan realiti dan keadaan seseorang.

d.   mempermudahkan dalam memberi taklif.

e.   tidak rumit (iaitu simple) dalam menyampaikan isi kandungan dakwah.

 

2. Walau pun berbanyak-banyak dalam amalan adalah seasuatu yang dianjurkan tetapi jangan sekali-kali memandang rendah atau remeh terhadap mereka yang berpada dengan apa yang wajib dan minimum sahaja. Seseorang itu beroleh tempat di syurga kerana iltizam dan jujur dalam beramal.

 

3. Janganlah pula amalan-amalan yang banyak yang dilakukan oleh kita menanam rasa hebat (superior) dalam diri atau mendorong kita untuk membeza-bezakan seseorang atas dasar banyak atau sikit dalam beramal dalam usaha dakwahnya.

 

4. Kita hendaklah tidak merasa segan atau keberatan untuk mengemukakan huraian yang mudah (simple) dan minimum sahaja kepada seseorang yang sememangnya memerlukan sedemikian.

 

5. Kadangkala kita berasa malu dengan sesuatu huraian yang mudah dan minimum kerana ia tidak kelihatan canggih, bersifat ‘simplistik’ atau tidak menggambarkan keluasan ilmu. Sedangkan kesemua itu, tanpa disedari, sebenarnya bangkit dari sifat-sifat yang keji seperti memenuhi kehendak ego diri.