46 – Jangan Bersikap Eksklusif

Usamah b. Zaid r.a berkata “Satu ketika Nabi s.a.w menaiki seekor keldai yang berpelana permaidani dari Fadak dan memboncengkan Usamah di belakangnya. Tujuannya ialah untuk menziarahi Sa`ad b. Ubadah di Bani Al-Harits bin Al-Khazraj, sebelum berlaku perang Badr. Di tengah jalan, Nabi bertemu dengan majlis orang-orang Yahudi dan di antara mereka Abdullah b. Ubay bin Salul dan ada juga Abdullah b. Rawahah. Apabila majlis itu terkena debu dari keldai Nabi s.a.w, Abdullah b. Ubay menutup hidungnya dengan serbannya sambil berkata “Jangan hamburkan debu kepada kami.” Lalu Nabi s.a.w berhenti, turun dari kenderaannya, lalu mengajak mereka kepada Allah dan membacakan kepada mereka beberapa ayat Al-Quran. Abdullah b. Ubay berkata “Wahai saudara! Tiada yang lebih baik dari ini. Jika apa yang kau katakan itu benar, maka janganlah ganggu majlis kami. Kembalilah ke tempatmu. Siapa yang datang kepadamu ceritakanlah kepadanya. Abdullah b. Rawahah menjawab “Ya Rasulullah! Datanglah ke majlis kami ini. Kami suka kedatangan tuan.” Lalu bertengkarlah kaum Muslimin dengan Musyrikin dan Yahudi serta saling memaki, sehingga hampir berkelahi. Nabi s.a.w berusaha untuk menenangkan mereka. Beliau s.a.w lalu menaiki kenderaannya sehingga sampai di rumah Sa`ad b. Ubadah. Lalu Nabi s.a.w bersabda “Wahai Sa`ad! Tidakkah anda mendengar apa yang dikatakan oleh Abu Hubab (Abdullah b. Ubay). Dia berkata begini dan begitu.” Sa`ad berkata “Maafkanlah dia, wahai Rasulullah! Demi Allah, sesungguhnya Allah telah memberikan kepadamu apa yang Dia telah berikan, sedang waktu itu orang-orang di daerah ini telah sepakat untuk melantik dia sebagai pemimpin. Apabila Allah memberikan kepadamu apa yang Dia telah berikan (kepimpinan), dia (Abdullah) berasa marah. Itulah sebab bagi perbuatannya itu. Nabi s.a.w lalu memaafkannya.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim. Rujuk kitab Al-Lu’lu’ Wa Al-Marjan, hadits no. 1176)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Hadits ini memberi gambaran akan kehidupan sosial masyarakat Islam di Madinah yang mempunyai pengajaran bagi kita. Jelas dalam hadits ini bahawa masyarakat Islam Madinah hidup bergaul dengan masyarakat umum. Para sahabat menghadiri majlis-majlis pertemuan dan sosial yang dihadiri sama oleh orang-orang Musyrik di Madinah dan orang-orang Yahudi. Ertinya, umat Islam bukanlah satu masyarakat yang menyendiri dalam kumpulan atau masyarakat sendiri.

2. Namun hadits ini juga mengajar bahawa dalam proses pergaulan sosial, kita tidak seharusnya mengabaikan tugas untuk membela kebenaran dan menolak kebatilan, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemunkaran. Maka sebab itulah, apabila sahaja Rasulullah s.a.w diperlekehkan, para sahabat segera membelanya, walaupun baru tadi mereka duduk bersama dalam majlis pertemuan dengan Abdullah b. Ubay dan orang-orang Yahudi.

3. Perhatikan sikap Rasulullah s.a.w sejurus berlaku pertengkaran antara para sahabat dan kumpulan Abdullah b. Ubay serta orang-orang Yahudi. Beliau tidak terus memihak kepada sahabat-sahabatnya yang bangkit membelanya. Sebaliknya, beliau menumpu kepada usaha untuk menenangkan semua pihak dan berdamai sehingga keharmonian hidup sebagai umat yang satu (Perlembagaan Madinah menggunakan istilah umat yang satu dalam perjanjian antara umat Islam dan kabilah-kabilah Yahudi dan Arab yang bukan Islam) di Madinah dapat dijaga dan tidak rosak. Dengan ini, Rasulullah s.a.w meletakkan dirinya sebagai pemimpin bagi semua pihak, bukan pemimpin bagi masyarakat Islam sahaja. Ini memberi pengajaran bagaimana sepatutnya seorang Muslim itu meletakkan dirinya sebagai pemimpin dalam satu masyarakat majmuk.

4. Sikap pemaaf dan sabar atas gangguan orang terhadap dakwah bukan hanya dipegang pada ketika kita lemah tetapi juga pada ketika kita kuat dan berada dalam tampuk kuasa. Hadits di atas menggambarkan jiwa besar (magnanimity) Rasulullah s.a.w. Dia tidak menggunakan kuasanya atau menggunakan kebenaran dakwahnya sebagai justifikasi untuk menekan suara pembangkang. Walau pun suara itu adalah suara kebatilan. Tindakan Rasulullah s.a.w ke atas orang-orang Yahudi dengan menyerang kubu mereka dan menghalau mereka dari Madinah bukan kerana sifat mereka yang sering membangkang, mengkritik dan menyakiti umat Islam tetapi kerana mereka telah melanggar perjanjian yang dipersetujui bersama. Sepanjang kekuasaan Rasulullah s.a.w di Madinah, orang-orang munafik yang diketuai oleh Abdullah b. Ubay kekal sebagai ‘kelompok pembangkang’ di Madinah tanpa apa-apa tekanan terhadap perbuatan mereka.

 

5. Kezaliman dan sikap kuku besi yang dikenakan oleh orang-orang bukan Muslim ke atas Rasulullah s.a.w di Mekah tidak menjadikannya kemudian sebagai seorang yang ‘kuku besi’ pula apabila berada di tampuk kuasa kerana dendam atau prasangka ke atas mereka. Ini sekali lagi menuntut minda yang objektif dari kita dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.