7 – Mengalahkan Lawan Bukan Matlamat Utama Dakwah

Abdullah b Amr r.a berkata “Ketika Nabi s.a.w mengepung Taif dan tidak dapat berbuat apa-apa terhadap mereka, beliau lalu bersabda ‘Kami akan pulang, insyaAllah.’ Berita ini diterima dengan berat oleh para sahabat sehingga mereka berkata ‘Apakah kita tinggalkan tanpa membukanya (mengalahkannya)?’ Maka Nabi s.a.w bersabda ‘Mari kita berperang.’ Ketika berperang, mereka menderita luka-luka, sedang musuh bertahan dalam benteng mereka yang tidak dapat ditembus. Nabi s.a.w bersabda ‘Kami akan pulang esok hari.’ Maka para sahabat merasa gembira. Nabi s.a.w tertawa.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Petunjuk-petunjuk

 

1. Rasulullah s.a.w ingin mengajar para sahabat bahawa perjuangan atau jihad mereka tidak semestinya berakhir dengan kekalahan musuhnya. Beliau juga mengajar mereka bahawa erti kemenangan dalam dakwah bukanlah semestinya dengan kekalahan musuh. Sebaliknya tujuan utama dakwah ialah untuk menarik mereka kepada Islam bukan menewaskan dan menguasai mereka. Rasulullah s.a.w menganjurkan agar para sahabat pulang kerana pada ketika itu tiada manfaat untuk meneruskan kepungan sedangkan objektif untuk menarik musuh kepada Islam boleh dicapai melalui cara lain.

 

2. Hadits ini juga mengajar kita akan kepentingan seorang pemimpin itu untuk sentiasa peka akan persekitarannya. Pemimpin dakwah hendaklah bersedia merubah strategi, perancangan dan gerak kerja dakwahnya, jika di dapati strategi yang ada tidak membawa kepada kejayaan usaha. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w setelah melakukan pengepungan beberapa lama ke atas Taif dan menyedari bahawa strategi berkenaan tidak berkesan.

 

3. Kita hendaklah tidak takut untuk berundur, membatalkan sesuatu usaha atau mengubah perancangan awal, demi melakukan strategi yang lebih baik. Mengubah perancangan dalam bentuk berundur tidak bermakna kalah atau gagal, apatah lagi jika langkah itu sendiri akan membawa kepada objektif yang dikehendaki. Apa jua perancangan dakwah mestilah dinamik mengikut objektif yang hendak dicapai dan perubahan faktor-faktor kritikal.

 

4. Perhatikan bagaimana Rasulullah s.a.w dengan bijak memberi peluang para sahabat untuk meneruskan pengepungan, walau pun beliau s.a.w mencadangkan agar kepungan dihentikan. Sikap Rasulullah s.a.w sekali lagi menunjukkan gaya kepimpinan yang terbuka.

 

5. Apabila para pengikut susah untuk menerima perubahan, tidak salah untuk membiarkan mereka mengalami sendiri kelemahan perancangan yang ada, jika tidak mengakibatkan mudarat yang terlalu besar. Perbuatan itu menunjukkan bagaimana Rasulullah s.a.w menggunakan satu teknik pentarbiyahan bagi para sabahatnya. Melihatkan sikap para sahabat yang kuat ingin meneruskan pengepungan, sedangkan pada penelitian beliau ia tidak lagi bermanfaat, beliau s.a.w tidak menolak bulat-bulat kehendak itu sebaliknya dia s.a.w memberi peluang bagi para sahabat untuk belajar dengan mengalami sendiri hasil dari ‘kedegilan’ mereka. Hanya setelah para sahabat merasakan kesukaran, barulah mereka menerima cadangan untuk berundur.

 

6. Keberkesanan perubahan strategi Rasulullah s.a.w terbukti apabila para penduduk Taif beramai-ramai memeluk Islam setelah beliau s.a.w berundur. Rujuk kisah Perang Taif dalam buku-buku sirah.