Apa dia hudud yang dilaporkan dalam media?

Soalan

 

Apakah erti hukum hudud dalam Islam sebagaimana yang dilaporkan dalam media-media baru-baru ini dan apakah kaitannya dengan masyarakat Islam Singapura?

 

Jawaban

 

Hukum hudud adalah salah satu dari cabang undang-undang jenayah Islam. Asal ertinya bermaksud batas atau apa jua larangan yang ditegah oleh Allah taala sebagaimana yang difirmankan oleh Allah taala yang bermaksud “Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya.” (Al-Baqarah : 187).

 

Dalam konteks undang-undang jenayah Islam, hudud bermaksud segala kesalahan bukan ke atas diri manusia yang telah ditetapkan hukumannya oleh Allah taala secara khusus. Kesalahan jenayah yang tidak ditetapkan hukumannya secara khusus oleh Allah taala dinamakan ta`zir seperti kesalahan rogol dan merosakkan harta benda awam. Kesalahan yang telah ditetapkan hukumannya pula tetapi berkaitan ke atas diri manusia seperti membunuh dan mencederakan tubuh dinamakan qisas.

 

Hudud, Qisas dan Ta`zir membentuk undang-undang jenayah Islam.

 

Kesalahan-kesalahan yang digolongkan dalam kesalahan hudud ialah

 

·         melakukan zina yang dihukum dengan sebat 100 kali bagi pesalah lelaki dan perempuan yang belum berkahwin, rujuk firman Allah taala di An-Nur : 2 dan rejam sehingga mati jika ia dilakukan oleh pesalah yang telah berkahwin sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadits yang bermaksud “Lelaki dan perempuan tua apabila mereka berzina, maka kamu rejamlah kedua-dua mereka sebagai satu amaran daripada Allah.” (Riwayat Ibn Majah) dan hukuman yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ke atas Ma`iz dan Al-Ghamidiyyah yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim.

·         menuduh orang lain berzina tanpa bukti yang dihukum dengan 80 kali sebat,  rujuk firman Allah taala di An-Nur : 4.

·       minum arak yang dihukum dengan 40 kali sebat. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang minum arak, maka sebatlah dia.” (Riwayat At-Turmuzi).

·         mencuri yang dihukum dengan memotong tangan, rujuk firman Allah taala di  Al-Maidah : 38.

·         merompak yang hukumannya mengikut kadar keseriusan perbuatan ialah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah taala di Al-Maidah : 33, rujuk tafsir bagi ayat ini.

Sebahagian ulama memasukkan kesalahan memberontak ke atas negara dan murtad di dalam jenayah hudud. Untuk memahami jenayah hudud secara komprehensif adalah perlu juga memahami aspek cara pembuktian, cara pelaksanaan, falsafah disebaliknya serta hikmahnya agar tidak timbul salah faham terhadap hokum Allah taala. Disebabkan ruang yang terhad, kesemua itu tidak dapat disertakan di sini. Oleh itu, dicadangkan agar merujuk kepada buku seperti Undang-undang Jenayah Islam oleh Paizah Haji Ismail, terbitan Dewan Pustaka Islam, tahun 1991 atau Undang-Undang Jenayah Islam – Jenayah Hudud oleh Dr Mat Saat Abdul Rahman, terbitan Hizbi, tahun 1993.

 

Pelaksanaan hudud haruslah dilakukan setelah segala infrastruktur dipersiapkan seperti tenaga-tenaga yang terlatih dan sistem kehakiman yang berkesan. Selain itu, masyarakat umunya juga haruslah telah bersedia untuk menerimanya kerana cara hidup Islam bukan dibina atas kekuasaan undang-undang tetapi atas aqidah dan iman dalam diri manusia.

 

Yang penting pula, hukuman hudud hanya boleh dilaksanakan oleh Ulil Amri (kuasa politik Islam). Hudud tidak boleh dilaksanakan oleh individu atau organisasi Islam. Seorang ayah tidak boleh melaksanakan hudud ke atas anaknya yang minum arak dan organisasi Islam tidak boleh menyerang pelaku kesalahan hudud di jalan-jalan.

 

Mereka yang ingin memperkenalkan hudud dalam masyarakat yang telah lama meninggalkan Islam juga haruslah memerhatikan prinsip tadarruj (bertahap-tahap). Hudud tidak semestinya dilaksanakan semuanya sekali gus kerana Allah taala mensyariatkan hudud juga secara bertahap-tahap.

 

Walau bagaimana pun bagi melaksanakannya perlulah difahami bahawa hukum hudud adalah hanya sebahagian dari banyak kewajiban agama yang perlu ditunaikan oleh umat Islam. Oleh itu, perlulah diperhatikan urutan keutamaan-keutamaan kewajiban yang perlu dipenuhi mengikut keadaan sesuatu tempat dan masa. Dalam konteks inilah masyarakat Islam Singapura yang hidup sebagai kelompok minoriti melihat isu hukum hudud iaitu walau pun kita beriman dengannya, tetapi kita mempunyai realiti dan keutamaan yang berbeza berbanding umat Islam yang lain.

 

Walau pun kita dituntut menegakkannya tetapi ketidakupayaan kita untuk melakukannya tidak bermakna keIslaman atau martabat kita lebih rendah dari umat Islam yang lain di sisi Allah taala kerana kita dituntut untuk berusaha mengikut keterbatasan yang ada. Allah taala berfirman yang bermaksud “Allah tidak membebankan sesuatu jiwa kecuali mengikut keupayaannya.” (Al-Baqarah : 286).

 

Wallahu A`alam