Tunang tidak mahu bersanding

Soalan

 

Saya telah bertunang dengan seorang gadis. Beliau tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan mengikut adat istiadat orang Melayu seperti bersanding, berinai dan bertukar-tukar pakaian. Beliau hanya ingin bernikah dan mengadakan jamuan kecil buat saudara dan kenalan terdekat sahaja. Saya tidak mengerti mengapa beliau berkeras tidak mahu berinai dan bersanding atas alasan tidak mahu dirinya ditayangkan dikahalayak ramai. Saya rasa pendirian beliau tidak munasabah kerana beliau bertudung dan terdapat khidmat Mak Andam yang menyediakan pakaian menutup aurat.

 

Keluarga saya juga tidak bersetuju dengan beliau. Ibu saya merasakan bahawa majlis akan hilang serinya tanpa mempelai di atas pelaamin dan dia kecewa kerana tidak dapat melihat anak bongsunya bersanding seperti anak-anaknya yang lain.

 

Saya dan tunang saya sering berselisih faham tentang perkara ini. Malah dia menolak dengan baik tawaran saya untuk menanggung kos perbelanjaan Mak Andam kerana dia menyifatkannya sebagai satu pembaziran?

 

Apakah pandangan Islam tentang keputusan tunang saya?

 

Jawaban

 

Menganjurkan jamuan pernikahan adalah satu perkara yang dianjurkan oleh agama. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Adakanlah walimah (jamuan pernikahan) walau dengan seekor kambing sahaja.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

 

Mengikuti adat masyarakat Melayu dalam menganjurkan jamuan pernikahan dibenarkan sekiranya adat berkenaan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Tidak semua adat Melayu yang bercanggah dengan Islam dan tidak semua pula yang boleh diikuti. Adat yang tidak boleh diikuti kerana bercanggah dengan Islam ada yang boleh diubah suai, sehingga dapat memenuhi tuntutan Islam.

 

Ruang ini tidak mampu untuk menghuraikan apakah adat yang bercanggah dengan Islam berkaitan perkahwinan dalam masyarakat Melayu. Oleh itu, sebaiknya anda merujuk perkara ini secara langsung kepada seorang ustaz bagi huraian yang mendalam atau membaca buku mengenai pandangan Islam terhadap amalan adat dan budaya Melayu yang terdapat di kedai-kedai buku.  Oleh kerana anda menyebut berkaitan bersanding, berinai dan bertukar pakaian, saya hanya memberi ulasan pada perkara ini sahaja.

 

Bersanding hanya dibenarkan dalam Islam jika persandingan itu hanya dilakukan bagi mahram kedua belah pihak bukan untuk tontotan ramai. Ini adalah bagi menjaga perintah hijab ke atas pengantin perempuan. Perlulah difahami bahawa hijab bagi wanita dalam Islam bukanlah hanya dengan memakai tudung atau menutup aurat. Wanita yang memakai tudung dan menutup aurat tetap tidak boleh dipertontonkan kepada ramai secara sedar apatah lagi dalam keadaan bersolek dan berhias. Islam juga menetapkan walau pun seorang wanita telah menutup aurat, tidak bermakna lelaki yang bukan mahram boleh melihatnya dengan sengaja. Allah taala berfirman yang bermaksud “Dan katakana kepada orang-orang beriman hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka.” (An-Nur : 30)

 

Berinai untuk pengantin perempuan adalah satu perkara yang dibenarkan dengan syarat ia tidak disertai jampi-jampi yang menyesatkan atau upacara yang bercanggah dengan Islam. Bertukar-tukar pakaian bukan satu perkara yang dilarang pada asalnya. Sekiranya saudara ingin melakukan persandingan, berinai dan bertukar pakaian, pastikanlah saudara melakukannya mengikut adab yang diajarkan oleh Islam.

 

Namun dalam melakukan perkara di atas khususnya bersanding dan bertukar pakaian, perkiraan bukan hanya dilihat samada ia dapat dilaksanakan mengikut adab Islam tetapi juga dilihat pada keperluan terhadap amalan sedemikian kerana dalam kehidupan sekarang ini, untuk melakukan persandingan dan bertukar-tukar pakaian memerlukan kos yang bukan murah, walau pun jika seseorang itu berkemampuan.

 

Yang nyata bersanding dan bertukar pakaian bukanlah satu syarat bagi mensahkan nikah. Dalam banyak hal ia bukan satu keperluan. Bahkan ramai yang melakukannya hanya semata-mata kerana mengikut emosi seperti malu dengan saudara mara, ingin menunjukan sesuatu kepada orang lain, untuk berseronok dan mengembirakan hati sahaja dan kesemua itu mungkin adalah dorongan nafsu belaka.

 

Persoalannya bukanlah kerana kita mampu tetapi apabila seseorang itu membelanjakan hartanya bukan atas dasar keperluan dan hanya mengikut nafsu maka besarlah kemungkinan akan terjatuh dalam pembaziran. Sedangkan Allah taala berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya mereka yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan.” (Al-Isra’ : 27). Maka melakukan sedemikian, sehingga menyebabkan berhutang adalah lebih dicela dalam Islam.

 

Alangkah lebih jika wang yang diperuntukkan untuk berbelanja bagi upacara bersanding, menyewa pakaian, menyewa deejay dan alat hiburan yang tidak diperlukan bagi sebuah majlis pernikahan disalurkan untuk membiayai kerja-kerja kebajikan seperti mewakafkan sesuatu untuk masjid atau madrasah yang hendak dibina atau menanggung biaya kehidupan anak yatim yang dikendalikan oleh pelbagai agensi bantuan kemanusian Islam. Inisiatif seperti ini bukan hanya memberi manfaat kepada masyarakat tetapi juga akan menambah keberkatan rumahtangga yang baru dibina. Sebaliknya membelanjakan wang untuk tujuan sedemikian hanya memenuhi hasrat peribadi. Tersilap langkah, akan tercebur pula dalam perkara yang dilarang oleh Islam sehingga menghalang keberkatan rumahtangga yang baru dibina.

 

Hari ini, masyarakat Islam Singapura dan umat Islam sedunia memerlukan dana yang banyak bagi membantu mereka yang susah dan membangun umat Islam yang ketinggalan dari bangsa-bangsa lain. Adalah malang jika kelebihan harta yang Allah kurniakan dibelanja semata-mata bagi memenuhi rasa hati atau mengikut emosi.

 

Jika kita anggarkan perbelanjaan majlis perkahwinan hari ini pada purata $10,000 bagi satu majlis, kita akan dapati masyarakat Islam membelanjakan jutaan dolar setahun bagi membiayai majlis-majlis perkahwinan yang kebanyakannya melibatkan kos-kos yang tidak perlu dan penting. Sedangkan pada waktu yang sama madrasah-madrasah dan pelbagai institusi masyrakat Islam miskin dan tidak dapat membangun sebagaimana sepatutnya kerana ketiadaan dana.

 

Pendirian tunang saudara adalah wajar dan benar dalam Islam. Saudara seharusnya bersyukur kerana mempunyai tunang yang faham akan agamanya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Berkahwinlah dengan wanita yang memiliki agama, nescaya selamatlah diri kamu.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

8 komentar untuk “Tunang tidak mahu bersanding”

  1. saya setuju sangat ustaz, tapi masih ramai yang melakukan walau mereka sedar sepertimana yang ustaz jelaskan diatas pembaziran2 dan bagaimana kita boleh manfaatkan wang itu untuk masadepan mempelai dan keperluan bagi yang memerlukan. Ini disebabkan malu kalau orang kata kita tak mampu buat majlis besar-besaran, kecil pun majlis, besar pun majlis dan jugak ada yang berkata kawin hanya sekali dalam hidup mengapa tak berhabis-habisan.

    p/s: beruntungnya dapat tunang yang faham soal hukum agama, sepatutnya penaya soalan ini lebih arif kerana dia lah yang bakal meneraju masadepan rumahtangganya, ya ustaz.

  2. saya pun mengalami benda yang sama…saya mnolak utk bersanding…cukup hanya sekadar angkat nikah..dan masjil doa selamat…saya ada 2 soalan….setelah selesai angkat nikah mesti pihak lelaki akan men sarung kn cincin di jari kita….ada kh di boleh kh ustaz?…dan soalan ke 2, semasa majlis doa selamat mesti lh ada merinjis kabur putih di dahi dan mnabur daun pandan…tidak ada bacaan tertentu lh…saja rinjis2 je org tua cakap…ada kh boleh ustaz?….

    1. Muhammad Haniff Hassan

      bila sudah nikah dah menjadi suami isteri, tal salahlah si suami pegang tangan isteri utk pakaikan cincin.
      merenjis kapur putih dan tabur daun pandan tanpa ada jampi2 tertentu atau niat2 yg berbau khurafat dan tahyul, cuma saja2 je, tak mengapa.

  3. ya kh ustaz?…sebab saya ada terbaca 1 actikel ni…myata kan adat msarung cincin tak boleh lepas nikah…ustaz saya ada bberapa soalan hendak di tanye…(1.),blh kh kita mengada kn majlis hari jadi dan mniup lilin di kek..dan mnerima hadiah dr kwn2..(2.)boleh kh kita mhadiri majlis rumah terbuka mcm tahun baru cina di tmp keja ustaz?…(3.)saya di faham kn aurat kita dgn yg bukan islam perempuan wajib tutup seluruh bdn…tapi jika kita hendak bsalaman mcm mana?….blh kh tak?…,kalau dok satu hostel mcm mana tak kn nk 24jam tutup aurat ustaz?….(4.)jika ada majlis kahwin ke..ada tak keringanan utk kaum perempuan utk melipat lengan baju dan tidak mmakai stoking…takut basah jika kita di dapo…

  4. saya ada terdgr satu ceramah ni tentang syirik dgn allah…bukan hanya dr murtad saja…dari segi percakapan pun blh tanpa kita sedari…cnth kita mintak tumpang lalu jika kita b’ada di dlm hutan…bkn nya mintak perlindungan dr allah…saya ingin kn penjelasan dari ustaz jika kita berkata begitu mintak izin dari mahluk lain…2kalimah syahadah kita dh terbatal betul tak ustaz?…dan jika betul terbatal bagaimana cara nya kita hendak kembali ke agama asal kita…perlu kh kita pergi ke jabatan agama utk mlafaz kn kembali 2kalimah syahadah?…dan bagaimana dgn amal ibadat saya ustaz??..ada kh di terima perlu kh saya qadaq kn smula solat puasa saya?????

    1. Muhammad Haniff Hassan

      seperti yg telah saya katakan dulu, awak hendaklah pergi belajar agama secara tetap. setelah itu, tanyakan segala soalan2 yg awak tanyakan itu kepada ustaz arau ustazah awak.

Komentar ditutup.

Scroll to Top