(Untuk membaca versi bahasa Inggeris, sila klik di sini.)
Sejak beberapa hari yang lalu, berita bertulis dan gambar-gambar mengenai “orang bot” yang datang dari Myanmar memenuhi media dan menyentuh perasaan ramai.
Bertambah tersentuh hati ramai dari kalangan masyarakat apabila negara-negara di mana bot-bot ini terdampar tidak mahu menerima mereka dan mengembalikan mereka ke perairan antarabangsa.
Walau pun mereka dibekalkan dengan bekalan makanan dan minyak untuk meneruskan perjalanan pulang atau ke mana-mana tempat lain, namun ia tetap satu tindakan yang dianggap tidak ihsan memandangkan keadaan bot yang sesak serta risiko yang bakal dihadapi oleh bot berkenaan seperti cuacu buruk yang boleh mengenggelamkannya, kerosakan bot yang dalam keadaan sedia uzur atau ancaman lanun.
Kesemua ini pastinya amat membahayakan nyawa “orang bot” yang bukan hanya terdiri dari lelaki muda yang kuat tapi juga kaum wanita dan kanak-kanak yang lemah, walaupun dengan bekalan makanan dan minyak yang diberikan.
Pemerintah Singapura melalui Kementerian Hal Ehwal Luar berkata bahawa pemerintah tidak dapat menerima atau menampung para pendatang ini kerana saiz negara ini yang kecil.
Hal ini dapat difahami.
Walau dahulu Singapura pernah menampung ribuan “orang bot” dari Vietnam, tapi hari ini jumlah penduduk Singapura sudah berlipat ganda dari zaman berkenaan.
Walau pun demikian, adalah diharapkan pemerintah Singapura tidak berhenti di situ sahaja dalam menghadapi masalah yang sedang berlaku ini dan berpada dengan sedikit bantuan kemanusiaan kepada “orang bot” berkenaan sebelum melepaskan mereka kembali ke perairan antarabangsa.
Nilai kemanusiaan kita tercabar jika ada tanggapan, “it’s ok to do just that” hingga tergamak membiarkan ribuan nyawa manusia yang lemah terdedah pada bahaya, sedangkan keupayaan untuk melakukan lebih dari itu boleh diteroka.
Saya bukan pakar dalam bidang ini, tapi terpanggil sebagai rakyat yang perihatin untuk memberi cadangan bagi pertimbangan pemerintah Singapura.
Pertama ialah untuk mengambil langkah segera bagi mewujudkan tempat penampungan sementara para pendatang dari bot ini.
Tempat penampungan ini tidak semestinya bersifat jangka panjang.
Ia perlu bagi membolehkan para pendatang ini mendapat rawatan yang diperlukan, bagi melakukan proses yang diperlukan oleh undang-undang antarabangsa terhadap para pelarian atau hingga mereka dapat dihantar ke tempat yang lebih selamat dengan cara yang selamat juga.
Pemerintah Singapura boleh memujuk negara-negara lain yang terkesan oleh krisis ini – Thailand, Malaysia dan Indonesia untuk menyediakan kawasan penempatan sementara bagi para pendatang dari bot ini disebabkan saiz negara mereka yang lebih besar.
Sebagai rakan rongsi dalam masalah ini, pemerintah Singapura boleh menawarkan bantuan kewangan atas dasar kemanusiaan bagi menampung sebahagian dari kos operasi penampungan ini.
Pengurusan operasi tempat penampungan ini boleh diserahkan kepada agensi antarabangsa seperti UNHCR atau organisasi-organisasi bantuan kemanusiaan yang berwibawa.
Kedua, pemerintah Singapura bersama negara-negara yang terkesan oleh masalah ini melakukan sesuatu agar pemerintah Myanmar mengambil tindakan yang konkrit bagi menyelesaikan masalah penindasan yang menimpa “orang bot” ini yang merupakan antara punca perkara ini menjadi krisis.
Ia adalah satu krisis, bukan hanya masalah sampingan, memandangkan jumlah “orang bot” yang terdampar mencecah ribuan nyawa dan mereka ini telah menjadi mangsa pihak-pihak yang mengambil kesempatan dari nasib malang mereka hingga ada yang terkorban sebagaimana yang berlaku di kem-kem haram di hutan Thailand baru-baru ini.
Soal penindasan yang dialami oleh kaum Rohingya dari Myanmar bukan lagi satu mitos atau persepsi sahaja kerana sejumlah biksu Buddha dari merata dunia telah pun mengeluarkan pernyataan umum yang menolak apa yang berlaku ke atas kaum Rohingya di Myanmar bukan ajaran sebenar Buddha sejak tahun 2012 lagi. (lihat di http://www.huffingtonpost.com/2012/12/10/buddhist-leaders-respond-to-violence-against-muslims-in-myanmar_n_2272336.html?utm_hp_ref=tw )
Begitu juga pernyataan National League for Democracy di Myanmar, parti pembangkang di bawah kepimpinan puan Aung San Suu Kyi, yang menyeru pemerintahnya untuk memberi kerakyatan kepada kaum Rohingya sebagai huraian jangka panjang apabila krisis “orang bot” ini semakin mendapat liputan media baru-baru ini dan beliau sendiri berhadapan dengan tekanan antarabangsa untuk membuat pendirian.
Antara isi pernyataan itu yang disampaikan melalui wawancara kepada akhbar The Independent oleh jurubicaranya, U Nyan Win, ialah, “If [the Rohingya] are not accepted as citizens, they cannot just be sent onto rivers. They can’t be pushed out to sea. They are humans. I just see them as humans who are entitled to human rights.” (Peter Popham, “Burma’s opposition demands government gives citizenship to Rohingya refugees adrift on the Andaman Sea”, The Independent, 19 May 2015)
Seorang tokoh biksu Buddha di Myanmar bernama U Pinnyasiha yang terkenal sebagai penentang sikap anti-Muslim di negaranya juga mengakui masalah “orang bot” ini berkaitan dengan masalah dalaman dan polisi di Myanmar.
Beliau memberi tahu akhbar The Independent, “The Burmese government refuses to take responsibility for this problem because the Indonesians and Thais are using the word Rohingya instead of Bengalis. But they must take responsibility….These people in boats are in really big trouble, I feel very sorry for them and as a Buddhist monk I would really like to help them. The government should solve the problem in a dignified manner. Together with the Asean (Association of Southeast Asian Nations) governments, they should decide how to solve the problem peacefully.” (Peter Popham, “Burma’s opposition demands government gives citizenship to Rohingya refugees adrift on the Andaman Sea”, The Independent, 19 May 2015)
Dari segi logik pula, tidak masuk akal untuk ribuan manusia meninggalkan tanah dan rumah mereka hingga merisikokan nyawa semata-mata kerana ditipu oleh sindiket penyeludupan manusia dan bukan oleh masalah penindasan yang kronik.
Adalah diharapkan pemerintah Singapura dapat mengorak langkah berdasarkan prinsip “what is right” sebagai manusia dan bukan hanya “what is the national interest” semata-mata.
Pemerintah Myanmar tidak boleh mendakwa bahawa masalah kaum Rohingya adalah masalah dalaman semata-mata yang tidak seharusnya dicampuri oleh negara-negara lain.
Masalah ini sudah menjadi masalah negara-negara lain disebabkan kehadiran mereka di perairan negara-negara berkenaan yang memaksa pula negara-negara berkenaan mengambil langkah-langkah tertentu dan menampung kosnya.
Akhir kata, saya juga mencadangkan ngo-ngo di Singapura, khususnya badan-badan Islam, agar menulis surat kepada kedutaan Myanmar di sini untuk merakamkan rasa kerpihatinan atas apa yang berlaku dan menuntut satu penyelesaian yang adil bagi kaum Rohingya.
Bagi saudara-saudara Muslim pula berdoalah.
رَبَّنَا أَخْرِجْهُمْ مِنْ هَـذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَّهُمْ مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَّهُمْ مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا
“Ya Tuhan kami, lepaskan mereka dari negeri yang zalim penduduknya dan berilah mereka pelindung dari sisi Engkau, dan berilah mereka penolong dari sisi Engkau!”
[…] This article was translated from the original Malay version (click here), published on 20 May 2015. The translation was made possible with the assistance of bro. Mohammad […]