Tahniah buat BH dan saudara Ismail Pantek atas artikel tegas ke atas Israel!!!

Berita Harian (Singapura), 4 Disember 2009

Serangan Israel ke atas bumi Palestin tidak kurang hinanya daripada pengganas
Oleh Ismail Pantek

APABILA Mumbai digegarkan dengan serangan pengganas yang mengorbankan hampir 200 jiwa November lalu, dunia seolah-olah serentak mengutuk serangan tersebut.

Rasa marah meluap-luap terhadap penyerang itu. Kumpulan militan Islam dipersalahkan dan mereka dikecam sebagai pengganas tidak berhati perut.Dalam ruangan ini 30 November lalu, saya sendiri menulis dengan hati yang sedih berbaur geram dan marah yang teramat sangat mengenang tindakan pengganasan yang turut mengorbankan nyawa seorang warga Singapura itu.

Saya amat bersimpati dengan mangsa-mangsa yang terkorban itu walau apa pun kerakyatan atau agama mereka, baik Kristian atau Hindu, mahupun Yahudi.

Kini, satu lagi tindakan pengganasan sedang bermaharaja lela. Kali ini ia berlaku di bumi Palestin yang sedang bermandi darah dek serangan bom bertalu-talu dari Israel yang begitu mudah mengutuk negara dan kumpulan lain yang memusuhinya sebagai pengganas.

Sekurang-kurangnya 436 orang Palestin di Jaluran Gaza – termasuk kanak-kanak dan wanita– terkorban dalam serangan tersebut.Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sekurang-kurangnya 25 peratus daripada mangsa yang terkorban itu adalah orang awam yang tidak berdaya mempertahankan diri mereka.

Ini belum lagi termasuk kira-kira 3,000 warga Gaza yang cedera parah dan hidup sengsara dicengkam ketakutan dengan deruan enjin jet pejuang Israel yang melepaskan bom demi bom dari perutnya, bagaikan orang yang sedang cirit-birit.

Sedang saya menulis rencana ini, darah masih mengalir di Palestin. Menurut laporan agensi berita Perancis, AFP, secara purata jet-jet Israel melancarkan serangan setiap 20 minit.

Kemusnahan kelihatan di mana-mana dan kira-kira 250,000 orang hidup tanpa bekalan elektrik.

Raungan wanita dan kanak-kanak masih lantang kedengaran; cuma tidak tahu, setakat mana masyarakat dunia mendengar ratapan tersebut.Mereka menanti, dan menanti ihsan dunia untuk datang membantu mereka dan menghentikan serangan kejam Israel ke atas mereka.

Israel telah memberi amaran bahawa perang habis-habisan yang dilancarkannya itu boleh berlarutan sampai berminggu-minggu lamanya.

Ia telah pun menghimpunkan kereta-kereta kebal ke sempadan Gaza dan memanggil 9,000 askar kerahannya untuk bersiap sedia melancarkan serangan darat pula.

Pejuang Palestin, yang dicap sebagai kumpulan pengganas dalam media-media Barat, hanya mampu membalas dengan serangan mortar dan roket buatan rumah ke atas bandar-bandar Israel yang tidak mampu meninggalkan apa-apa kesan.

Bayangkanlah apa akan terjadi jika serangan-serangan Israel itu dibiar berterusan.

Semakin banyak darah akan mengalir di bumi Palestin dan kesengsaraan akan bertali arus.
Apakah reaksi dunia ke atas tragedi yang menimpa Gaza itu?

Saya amat-amati. Rasanya, kecaman yang dilemparkan terhadap Israel tidak sehebat kecaman terhadap serangan oleh mana-mana tindakan pengganasan yang kononnya dilakukan oleh kumpulan militan Islam.

Tidak pula kedengaran ada mana-mana kuasa besar yang hendak menghantar tentera bagi membasmi pengganasan Israel itu.

Tiada mana-mana negara kuasa besar, baik Eropah, Russia, lebih-lebih lagi Amerika Syarikat, berani melabel Israel sebagai Paksi Syaitan sebagaimana mereka melabel Iran.

Bahkan Amerika membidas pula kumpulan Hamas kerana kononnya mengambil tindakan provokasi ke atas Israel.

Tiada kuasa besar yang beriya-iya benar hendak merang Israel atau menyeru rakyat negara itu agar bangkit menjatuhkan kepimpinan negara mereka yang hauskan darah, sebagaimana yang mereka lakukan ke atas Iraq dan Syria.

Ada tidaknya kelihatan para diplomat di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang cuba membuat resolusi agar dihentikan serangan tersebut.

Libya dan kumpulan negara-negara Arab cuba mengemukakan rangka resolusi mengutuk tindakan Israel itu.

Ada tidaknya, kita melihat Perancis sedang mempelopori usaha mencari gencatan senjata antara Hamas dengan Israel.

Presiden Nicolas Sarkozy dari Perancis mengumumkan rancangan untuk melawat Mesir, Israel dan Tebing Barat esok dalam usaha melakar “peta perjalanan ke arah kedamaian’’.

Seseorang tidak perlu menjadi pakar untuk meramalkan apa hasilnya kelak.Berdasarkan pengalaman-pengalaman masa lalu, kesemua usaha itu berkemungkinan besar akan gagal.
PBB tidak berdaya menghentikan tindakan Israel ke atas Palestin.

Setiap resolusi akan ditolak oleh Amerika Syarikat yang mempunyai kuasa veto.
 
Akhirnya tiada apa-apa tindakan yang diambil ke atas Israel.Israel mendakwa ia melancarkan serangan tersebut sebagai balas dendam ke atas kumpulan Hamas yang menguasai Gaza.

Tel Aviv mendakwa ia perlu berbuat demikian untuk menghentikan serangan-serangan roket Palestin ke atas bandar-bandar Israel yang bersempadankan Palestin.

Memang mudah untuk Israel menggunakan alasan tersebut bagi menghalalkan tindakan mereka ke atas rakyat Palestin.

Namun bagi yang mengikuti sejarah pergolakan Israel-Palestin, serangan ganas askar-askar Tel Aviv sudah bermula sejak dahulu lagi, sejak sebelum adanya Hamas.

Jika ditimbangkan, rakyat Israel yang menjadi mangsa masih terlalu kecil jika dibandingkan dengan korban dan kesengsaraan yang ditimpakan ke atas rakyat Palestin.

Apakah dunia akan terus berdiam diri melihat serangan ganas Israel itu?

Sampai bila Amerika yang menjadi sekutu Israel akan buka mata dan bertindak tegas mencari huraian terhadap konflik tersebut?Saya bukan seorang pakar.

Namun saya cukup berkeyakinan bahawa serangan Israel ke atas bumi Palestin itu adalah satu tindakan pengganasan yang tidak kurang hinanya daripada serangan-serangan nekad kumpulan pengganas yang selama ini menerima kutukan demi kutukan daripada masyarakat antarabangsa.

Jika kita bersimpati dengan orang yang terkorban dalam serangan nekad kumpulan-kumpulan pengganas, kita juga harus bersimpati, bahkan lebih bersimpati lagi, dengan nasib rakyat Palestin. Ini bukan pertentangan antara Yahudi detara Israel dengan Palestin yang sedang berjuang mendapatkan kedaulatan tanah air mereka.

Masyarakat dunia, tidak kira Muslim, Kristian, Hindu, Buddha atau apa sahaja agama anutan mereka, harus mengutuk tindakan Israel itu. Mereka juga harus mendesak Amerika agar lebih tulus dalam mencari huraian damai ke atas sengketa Israel-Palestin itu.

Jika tidak, lebih banyak darah akan mengalir dan tindakan keganasan akan berleluasa di bumi ini.

Israel pula bagaikan mengata dulang paku serpih, mengata orang mereka sendiri yang lebih.
Mereka begitu lantang mengecap kumpulan-kumpulan Palestin dan kumpulan lain sebagai pengganas, sedangkan mereka sendiri lebih teruk lagi dengan tindakan ganas dan membuli musuh kerdil dengan senjata-senjata serba moden mereka.